|
Oleh: Hariz Zulkapli Kebangkitan gerakan Islam era kebangkitan Sejak tercetus kebangkitan yang membawa kepada kejatuhan pemerintah republik Tunisia, dunia Islam, terutama rantau Afrika Utara dan Asia Barat menjadi perhatian masyarakat dunia. Bersama perkembangan ini, kemunculan dan kemenangan parti-parti berideologi Islam dalam arena politik dan pilihan raya juga mencetuskan satu minat baharu terhadap gerakan Islam dan parti berasas Islam. Satu konsensus kelihatan dicapai di media Barat dan dalam kalangan pemerhati, melibatkan haluan baharu kumpulan politik Islam. Satu pendekatan yang disifatkan moderat dan lebih liberal dikemukakan sebagai haluan yang tidak dapat dielakkan daripada diambil oleh parti-parti berasas Islam. Wacana agak dominan kebelakangan ini – yang boleh disifatkan sebagai era “pasca-911” atau “zaman teror” meletakkan beban kepada gerakan Islam untuk bersikap “moderat.”
Kebangkitan pasca-Islamisme Satu pendekatan, wacana dan fasa yang dinamakan pasca-Islamisme dicetuskan oleh pengkaji gerakan Islam Asef Bayat semakin mendapat perhatian baharu dan menerima penilaian yang lebih mendalam. Asef mentakrifkan pasca-Islamisme dengan penjelasan berikut: “By ‘post-Islamism’ I mean a condition where, following a phase of experimentation, the appeal, energy, symbols and sources of legitimacy of Islamism get exhausted, even among its once-ardent supporters.” Asef dalam satu rencana pada awal tercetus kebangkitan di seluruh dunia Arab-Afrika menegaskan bagaimana tesis pasca-Islamisme yang dicetuskan kini kelihatan terlaksana, dan bakal menjadi satu ciri penting perkembangan politik di wilayah tersebut. Wacana pasca-Islamisme ini mengiringi tesis “kegagalan Islam politik” yang dibawa oleh Olivier Roy, pengkaji Islam politik dari Perancis dalam bukunya, The Failure of Political Islam. Beberapa parti yang dilihat mencapai kejayaan dalam sistem politik demokrasi seperti Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia, Parti Keadilan dan Pembangunan di Maghribi dan Parti Wasat, pecahan daripada gerakan Ikhwan al-Muslimin di Mesir disifatkan sebagai parti pasca-Islamis. Kebanyakan parti selain AKP – yang dikemukakan sebagai model pasca-Islamisme paling berjaya – mengambil pendekatan terpilih pasca-Islamisme dan/atau hanya sebahagian ahli parti yang memilih pendekatan tersebut. Di Malaysia, PAS sebagai contoh menunjukkan beberapa pendekatan pasca-Islamisme, walaupun wacana dalaman berkaitan hal ini masih berjalan dan belum wujud satu konsensus. Fokus terhadap “negara Islam” dan isu seperti pelaksanaan syariah kelihatan diambil tempatnya oleh isu pentadbiran yang bersih, politik dalam masyarakat plural dan isu kehidupan harian lain. Satu perkembangan terkini ialah keputusan PAS mengemukakan gagasan “negara berkebajikan” yang merupakan penyampaian ide berasaskan Islam PAS dalam bahasa mudah difahami orang ramai.
|