|
Oleh: Muhammad Nuruddin Bashah.
Melakar kekuatan dan keunggulan ummah masa depan bukanlah suatu yang mudah. Teorikal yang konkrit dan praktis perlu disediakan oleh generasi pemula keunggulan Islam masa depan iaitulah kita sendiri. Walaupun di dalam graf ketamadunan sendiri, pernah ditandai oleh kegemilangan Islam serta hegemoni keglobalan Islam sekitar pemerintahan Umayyah dan Abbasiyyah dahulu. Dan sedarkah kita sistem perundangan antarabangsa kini juga adalah melalui sumbangan oleh dunia Islam kepada barat melalui tamadun di Sepanyol? Pada kali ini penulis ingin membawa pembaca dan penggerak Islam sekalian menerokai secara futuristik berkenaan kegemilangan masa depan Islam.
Pada asasnya bagaimanakah caranya bagi kita untuk meyakinkan umat Islam sendiri berkenaan masa depan gemilang agamanya sendiri? Inilah “homework” terbesar umat Islam seluruhnya. Sekiranya kita memerhatikan maksud ayat 140 daripada surah Ali Imran serta Hadis Rasulullah berkenaan kegemilangan tentera Islam termasuklah ramalan baginda berkenaan pemuda yang menyerupai nama baginda yang akan memimpin dunia. Sekiranya kita melihat pandangan Ibnu Khaldun dalam al Muqaddimah, beliau menegaskan tentang cyclical history yang akan menyakinkan kita lagi. Ia terbukti dengan asal kegemilangan ketamadunan manusia diwarnai oleh tamadun timur iaitu Mesir kuno, Venessia, Persia dan lainnya. Kemudian ketamadunan ini diganti pula oleh kegemilangan intelektualan Yunani dan Rom daripada barat. Kegemilangan manusiawi beralih kepada tamadun Islam di timur dan kembali dengan cepatnya kepada barat selepas zaman kegelapan barat berakhir. Jika penelitian jauh dibuat melalui tesis Samuel Huntington iaitu The Clash Of Civilization and The Remaking of World Order, beliau menggagaskan kekuatan suatu blok baru selain barat dan komunis iaitu blok islam-confucius. Blok ini adalah konklusi kepada kekuatan China, Korea dan kekuatan Islam itu sendiri yang dilihatnya ada keserasian. Maka wajarlah kita meyakini peralihan hegemoni ini.
Dimanakah kita selaku pembawa syiar ketamadunan Islam? Apabila kita memerhatikan dari sudut Geo-Politik, kita melihat 2 blok superpower (Bipolar) yang dominan iaitulah blok Amerika dan sekutunya dan Blok Komunis iaitu Soviet dan seangkatan. Polarisasi ini sudah cukup memeritkan kekuatan umat Islam dengan keterhimpitan ekonomi dan sistem pentadbiran negara. Selepas tahun 1991 iaitu pembubaran Warsaw Pact anjuran komunis, kita melihat NATO anjuran Amerika masih utuh dan teruskan keglobalan melampau serata dunia.
Adakah period kekuatan ummah Islam berdasarkan period-period yang disebut oleh Alvin Toffler? Toffler ,mengatakan gelombang ketamadunan dunia dimulakan dengan Gelombang pertama iaitu Pertanian, Gelombang Kedua iaitu Perindustrian dan Gelombang Ketiga iaitu Informasi atau IT. Namun ia berasaskan graf kebangkitan barat. Sebaliknya penyepaduan elemen rohani dan penghasilan masyarakat madani yang tidak mengenepikan unsure kemajuan adalah resepi pengunggulan tamadun manusia anjuran Islam. Kita melihat pembawaan Usamah Bin Zaid yang membawa Islam ke alam Melayu, Tariq bin Ziad ke Afrika Utara serta di China oleh Saad Abi Waqqas RA adalah membawa unsur utama ini. Namun kelemahan berfikir dan berijtihad dikalangan tokoh muslim serta budaya taqlid membabai buta menyebabkan kemerosotan graf tamadun ini secara drastik.
Diantara cabaran umat Islam yang perlu untuk peroses membina semula (re-emmergence) adalah;
1. Cabaran untuk mewujudkan perpaduan dikalangan umat Islam. Solidariti unggul hanya tercapai dengan pemahaman secara sederhana menegnai firqah-firqah yang wujud di dunia ini. Resepi unggul Al banna dalam Risalah Ta’limnya adalah sebahagian sumbangan kepada tenaga keunggulan tamadun Islam.
2. Cabaran untuk membina semula dinamika Islam itu sendiri. Unsur Sawwabit wa mutaghayyirat perlu disebatikan dalam minda umat Islam. Kerigidan pergerakan Islam, pertelingkahan perkara murahan dala gerakan Islam membantutkan proses membina imej ini. Keterbukaan ijtihad fiqh yang memudahkan ibadah masa kini akan menyemarakkan lagi proses ini. Disini kesepaduan kerja ulama’ semasa, pemimpin umat Islam dan pemimpin gerakan Islam adalah perlu.
3. Cabaran seterusnya adalah bagaimanakah tawaran model tamadun Islam yang sebenarnya. Kita akan semakin jauh dengan realiti kemenangan Islam sekiranya pembawaan umat Islam masih tersimpul dengan pemikira 500 tahun yang silam. Renovasi dan nafas baru perlu untuk gerakan Islam seterusnya menjana kekuatan Islam itu sendiri.
Persoalan nya sekarang, siapa yanga kan memulakan, bagaimana ingin bermula, dan bilakan masa yang sesuai untuk bermula. Jawapan untuk kesemua soalan ini bergantung kepada konteks pelaksana atau penggerak kekuatan Islam iaitu Institusi dakwah, negara, komuniti kecil masyarakat mahupun individu yang memahami tanggungjawab sosial ini.
Pada asasnya maudhuk atau isi kandungan “perubahan” ini dimulakan dengan pemurnian aqidah as salimah yang bersih daripada influensi pembaratan dan karat neo-jahiliyyah yang merosakkan perpaduan umat Islam.
Seterusnya usaha kita membina kekuatan intelektualan Islam. Walaupun saban tahun produk intelek islam bercambah serata dunia, kelihatan semacam tiada keterikatan dan pemantauan daripada institusi Islam tertentu. Ini juga adalah disebabkan kesedaran intelegensia Islam untuk berada dibawah mana-mana pemantauan gerakan Islam dan institusi Islam tertentu amat rendah.
Ini diikuti dengan kesediaan umat Islam untuk menerima kepelbagaian pendapat dan methodology dakwah. Ia terangkum dalam skop adabul Ikhtilaf yang memungkinkan umat Islam mewarnai kegemilangan ini dengan sikap mahabbah, nusrah (saling membantu) dan sangkaan baik sesama Islam. Inilah sebahagian kecil isi kandungan bagi pemulaan (start-up) keterujaan ummah. Moga Islam kian gemilang. |