Minda Madani Online

MINDA MADANI Online, menyediakan medium bagi tujuan penyaluran maklumat serta penyebaran pemikiran-pemikiran segar mengenai dakwah, pembinaan keperabadian Muslim dan asas-asas Tarbiah Islamiah. Kesemua artikel dan pendapat yang disiarkan di dalam laman sesawang ini tidak semestinya mencerminkan pendirian ABIM.

Visitors Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday143
mod_vvisit_counterYesterday410
mod_vvisit_counterThis week2514
mod_vvisit_counterThis month5946
mod_vvisit_counterAll174305
SIRI 1: Pertubuhan Sukarela Islam Dan Pembinaan Negara Bangsa PDF Print E-mail

Peranan Abim Dalam Usaha Penerbitan Sepanjang 33 Tahun Penubuhannya

Oleh:
Prof. Madya Dr. Mohammed Redzuan Othman, UM
Prof. Madya Shaharuddin Badaruddin, UiTM
Muhamad Razak Idris,Kolej Dar al-Hikmah (Kini UKM)

1.0 Pengenalan : Pertubuhan Sukarela Islam

Segenap sektor masyarakat terlibat menyumbang terhadap proses pembinaan negara bangsa semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957. Sektor-sektor tersebut mewakili kumpulan kaum, gerakan pekerja, budayawan, warga pendidik, agensi media, pertubuhan agama dan pergerakan belia dan pelajar. Mereka merupakan antara kumpulan teras dalam masyarakat sivil yang terbentuk berasaskan idealisme dan kepentingan pelbagai sejajar dengan fitrah kerencaman citra bangsa Malaysia.

Sektor-sektor ini menggunakan dua wadah utama yang diiktiraf oleh undang-undang negara sebagai saluran bagi tujuan menyampaikan pandangan dan sikap terhadap isu-isu kemasyarakatan dan kenegaraan iaitu pertama, parti politik dan kedua, pertubuhan sukarela.
 
Di negara ini, pertubuhan sukarela dikenali sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Setiap perkumpulan masyarakat berhak menubuhkan pertubuhan sukarela bagi memperjuangkan pegangan, cita-cita dan kebudayaan yang menjadi identiti kumpulan. Oleh kerana itu, orientasi pertubuhan sukarela bersifat pelbagai meliputi kepentingan kaum dan agama atau bersifat khidmat sosial.

Bagi pertubuhan sukarela yang berorientasikan agama Islam, ia dikenal juga sebagai Pertubuhan Sukarela Islam (PSI). Peranan PSI dalam proses pembinaan negara bangsa boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu pertama, PSI yang mempunyai single mindness of purpose atau matlamat khusus, kedua, PSI yang berteraskan program yang menyalurkan khidmat kebajikan dan penerangan mengenai Islam secara menyeluruh dan ketiga, PSI yang berteraskan massa yang bertujuan memperjuangkan cita-cita Islamiyyah secara bersepadu berdasarkan kesedaran Islam yang menyeluruh.

Dalam kerangka yang lebih luas, PSI dilihat sebagai `sektor ketiga’ yang wujud secara terpisah dari struktur pemerintahan dan pergerakan politik yang memiliki signifikannya yang tersendiri serta berpengaruh di mana peranannya mencakupi bidang politik, ekonomi, sosial dan pembinaan intelektualisme bangsa dan negara.

Pembinaan Negara Bangsa: ABIM dan Agenda Pembudayaan Islam

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ialah Pertubuhan Sukarela Islam (PSI) yang ditubuhkan berasaskan aspirasi agama. Falsafah perjuangan ABIM ialah bagi merealisasikan cita-cita Islamiyyah dalam segenap aspek dan struktur dalam sistem kemasyarakatan dan ketatanegaraan. Ia merujuk kepada cita-cita menjadikan dasar kerohanian Islam dan nilai-nilai utamanya yang bersifat universal tercerna di dalam seluruh ruang dan dimensi kehidupan meliputi minda, akhlak dan sistem. Perjuangan ini adalah satu aspirasi yang terbit dari penghayatan makna yang hakiki terhadap pengertian Islam sebagai satu `nizam al-hayat’ – satu cara hidup yang syumul, lengkap dan sempurna atau a way of life .

Bagi tujuan mencapai cita-cita tersebut, ia menuntut satu proses yang bersifat massa iaitu pengembelengan seluruh elemen yang menjadi entiti – entiti utama sebuah bangsa dan negara. Massa dalam pengertian ini merujuk khusus kepada individu-individu atau entiti insan yang merupakan teras utama yang membentuk dan menggerakkan sistem kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan dalam struktur kehidupan. Insan sebagai warga harus berinteraksi dengan entiti-entiti lain termasuklah sejarah, budi dan nusa sebagai elemen pelengkap kesempurnaan sebuah peradaban yang dikenal sebagai Negara Bangsa.

Bagi ABIM, Islam ialah acuan terbaik yang perlu dijadikan landasan utama bagi pembinaan negara bangsa. Ia diasaskan pada keyakinan terhadap kesyumulan dasar kerohanian Islam dan kedinamikaan prinsip nilainya dalam memberi pentafsiran terhadap kerencaman sesuatu latar budaya sesebuah masyarakat. Dalam kata lain, ABIM berkeyakinan bahawa jati diri negara bangsa Malaysia akan lebih utuh, dinamik dan berdaya saing sekiranya dasar dan prinsip utama ajaran Islam dapat dijelmakan secara praktik di dalam sistem dan tatacara kenegaraan.

Namun, penjelmaan cita-cita Islamiyyah secara praktik dalam satu sistem kenegaraan yang luas dan kompleks menuntut ABIM berinteraksi secara dinamik dan kreatif dengan latar sejarah dan sosial masyarakat Malaysia. Ini memandangkan, penjelmaan cita-cita Islamiyyah tidak mungkin tercapai sekiranya ia dibina dari luar ruang sosial masyarakat setempat. Untuk itu, tahap kesediaan yang diukur dari segi kualiti kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap cita-cita tersebut, sikap dan pendirian pemimpin-pemimpin politik, institusi pentadbiran, prasarana pendidikan serta penggerak-penggerak Islam sendiri. Kesemua ini adalah cabaran yang berupa hambatan-hambatan yang perlu didepani ABIM dalam rangka menjayakan cita-cita dan aspirasi perjuangannya.

Pada sekitar awal tahun 70an semasa ABIM ditubuhkan secara rasmi, struktur sosial masyarakat Malaysia berada keadaan yang rapuh. Negara baru sahaja mengalami pergolakan kaum yang diingati sebagai `Tragedi Berdarah 13 Mei’. Ia adalah antara kesan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia akibat dari dasar-dasar penjajahan yang diamalkan oleh British.

Antara kesan lain yang ditinggalkan penjajah ialah pemikiran dualisme yang membentuk kerangka berfikir masyarakat Malaysia. Pemikiran ini yang diasaskan dari faham sekularisasi telah memberi impak yang besar terutama kepada umat Melayu dalam menanggapi agama Islam yang dianutinya. Islam sebagai satu agama yang berpengaruh dalam segenap aspek kehidupan masyarakat sebelum kedatangan penjajah telah terpinggir dan tersudut sebagai agama yang berfungsi bagi tujuan-tujuan peribadi yang bersifat ritual serta bagi memenuhi tuntutan adat istiadat pada acara-acara keraian. Islam telah ditanggapi secara sempit dan tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam membentuk dan mempengaruhi sistem dan tatacara kehidupan bermasyarakat dan bernegara dalam pengertian dan maksud yang luas.

Proses sekularisasi tidak sahaja telah memecahkan kerangka berfikir masyarakat malah terjelma dalam sistem dan struktur pemerintahan. Bidang pendidikan mendapat kesan yang paling parah apabila di negara ini terbentuk dua aliran pendidikan yang dikenal sebagai pendidikan aliran agama dan pendidikan aliran kebangsaan. Kedua aliran ini menggunakan kurikulum pengajian yang berbeza memandangkan produk generasi yang ingin dilahirkan bagi tujuan mengisi sistem dan struktur dualisme yang diwarisi.

Implikasi sekularisasi juga telah mengikis jatidiri umat Islam terhadap tradisi dan sejarah peradaban Islam sebagai satu tamadun yang unggul dipentas sejarah dunia. Akibatnya, umat Islam mudah terhimbau dengan pesona idea dan model yang dikembangkan oleh tamadun Barat. Makna dan konsep kemajuan didasarkan kepada citra masyarakat Barat dan untuk itu, umat Melayu-Islam secara khusus digalakkan untuk menjadikan tokoh dan masyarakat Barat sebagai idola dan model bagi mencapai kemajuan memandangkan Barat dianggap sebagai penggerak kepada kehidupan yang moden.

Pemikiran ini tidak sekadar dihayati oleh rakyat terbanyak malah beberapa tokoh dan pemimpin utama negara pada waktu itu. Oleh kerana itu, idea-idea dan citra kehidupan Barat berkembang dengan amat pesat di negara ini di mana mafestasinya dapat dilihat dalam kurikulum pengajian, fesyen dan hiburan. Dalam kata lain, walaupun sebahagian besar umat Melayu di negara ini beragama Islam, namun kebudayaan Barat menjadi satu amalan yang dominan dalam kehidupan mereka.

Dalam berdepan dengan latar sosial yang diwarisi dari penjajah ini, ABIM memulakan langkah dalam rangka memperjuangkan cita-cita Islamiyyahnya menerusi proses yang dikenal sebagai `agenda pembudayaan Islam’. Ia digubal atas kesedaran bahawa cita-cita bagi merealisasikan Islam dalam segenap sistem kehidupan memerlukan suatu pembudayaan baru masyarakat berteraskan dasar, prinsip dan nilai ajaran kerohanian Islam yang bersifat syumul, dinamik dan sejagat. Agenda pembudayaan Islam tertumpu kepada usaha pemurnian pandangan hidup, perubahan sikap, keyakinan dan jatidiri, dan pembinaan akhlak umat Islam serta penciptaan dan pengukuhan model-model Islam dalam pelbagai bidang dan sistem kehidupan yang praktik meliputi seluruh dimensi ketamadunan.

ABIM menyedari bahawa tanpa agenda pembudayaan ini, Islam tidak akan mampu difungsikan secara realistik dalam latar sosial yang kompleks. Untuk itu, agenda pembudayaan Islam memerlukan usaha pembaharuan pemikiran dan pengislaman semula ilmu-ilmu yang diwarisi. Sebagai sebuah gerakan massa, agenda ini perlu digerakkan ke segenap lapisan struktur diperingkat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Manakala wahana pembudayaan Islam bersifat pelbagai meliputi pendidikan, latihan, khidmat sosial dan penerbitan.
 
< Prev   Next >