Minda Madani Online

MINDA MADANI Online, menyediakan medium bagi tujuan penyaluran maklumat serta penyebaran pemikiran-pemikiran segar mengenai dakwah, pembinaan keperabadian Muslim dan asas-asas Tarbiah Islamiah. Kesemua artikel dan pendapat yang disiarkan di dalam laman sesawang ini tidak semestinya mencerminkan pendirian ABIM.

Visitors Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday442
mod_vvisit_counterYesterday470
mod_vvisit_counterThis week4109
mod_vvisit_counterThis month2506
mod_vvisit_counterAll444321

Artikel Pilihan

Dar Al-Hadith Al-Asrafiyah Di Damsyiq : Pelopor Dan Pemelihara Sunnah Sepanjang Zaman

Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali;

Damsyiq  merupakan bandar yang banyak mempunyai sejarah Islam dan tempat tumpuan ilmuan dulu dan kini. Antara tempat pengajian yang masyhur adalah Dar al-Hadith al-Asrafiyyah yang dibina pada tahun 630H/1233M oleh Raja  al-Asraf Musa dan Abu Umar bin Salah atau terkenal dengan nama Ibn Salah yang merupakan syeikh pertama bagi Dar al-Hadith. Dar al-Hadith ini melahirkan ramai ulamak yang menjadi penjaga dan benteng dalam mempertahankan hadith-hadith nabi sepanjang zaman sehingga buku-buku mereka menjadi rujukan sehingga kini. Namun Dar al-Hadith ini telah mengalami kemerosotan dalam kurun 16 dan 17M yang lalu sepertimana yang berlaku di institusi-institusi pendidikan yang lain di Damsyiq. Namun takdir Allah telah mengutuskan seorang ulamak yang bernama Yusuf Abdul Rahman al-Hasani yang datang dari Maghribi untuk membantu menghidupkan institusi ini bersama-sama dengan Abdul Qadir al-Jaza’iri. Yusuf Abdul Rahman ini mempunyai anak  yang bernama Muhammad Badaruddin al-Hasani yang bertanggungjawab memajukan Dar al-Hadith pada zamannya.

Raja al-Asraf Musa  merupakan raja dari pemerintahan Ayyubi yang terkenal dengan pemerintahan yang adil dan amat menyayangi golongan miskin dan sentiasa menziarahi dan menolong mereka. Nama penuhnya ialah Muzafaruddin Abu Fatah Musa bin Abu Bakar Muhammad bin Ayyub. Beliau dilahirkan pada tahun 576H di Kaherah dan meninggal dunia pada 4 Muharram tahun 635H/1237M. Antara kesan peninggalannya yang kekal hingga kini ialah Masjid al-Taubat, Masjid al-Jarah, Masjid Abi Darda’ dan Dar al-Hadith. Dar al-Hadith al-Asrafiyyah ini melahirkan ramai ulamak yang terkemuka sejak Ibn Salah sehingga Muhammad Badaruddin al-Hasani. Antaranya Imam al-Nawawi, Abi Shamah, al-Mazzi, al-Subki, Ibn Hajar, Ibn Kathir, Ibn Jamaah serta lain-lain lagi. Antara yang menyebabkan kemasyhurannya ialah mereka yang mengajar di sini disyaratkan seorang yang pakar dalam bidang hadith di kota Damsyiq atau dunia Islam ketika itu. Oleh itu, jika kita melihat nama-nama syeikh di sini didapati mereka adalah terdiri daripada ulamak yang masyhur pada zaman itu, bukan sahaja di Damsyik tetapi juga dunia Islam. 

 
Tuntutan Menganjurkan Dialog Antara Agama PDF Print E-mail

Oleh: Muhamad Razak Idris

Dialog antara agama sebagai satu disiplin ilmu dan kebudayaan merupakan satu tuntutan yang paling mendesak dalam konteks negara Malaysia masa kini. Inilah antara kesimpulan utama hasil perbincangan Bengkel Dialog Antara Agama: Pengalaman Lalu dan Cabaran Masa Kini anjuran Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya pada 12 Mac 2005.

Bengkel tersebut dianggap sebagai satu titik permulaan yang baik dalam menyahut seruan Dato’ Seri Abdullah Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang menyeru agar diperbanyakkan acara pertemuan antara agama. Ia telah dihadiri wakil-wakil dari kalangan tenaga akademik dan pertubuhan dan institusi agama antaranya Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Belia Sikh Malaysia, Persatuan Hindu Sangam Malaysia, Majlis Perundingan Agama-agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh, Majlis Gereja-gereja dan Malaysia dan Persatuan Taoist Malaysia.
 
Pembentang utama pada bengkel tersebut, Dr. Ghazali Basri dari Akademi Kajian Ketamadunann(AKK) menganggap, dialog antara agama dalam erti kata yang sebenarnya masih `sesuatu yang baru’ bagi masyarakat Malaysia dan ia `masih belum lagi menduduki tempat di hati umat Islam di negara ini’.

Menurut beliau, dialog antara agama boleh difahami sebagai `kesediaan dan keupayaan satu-satu kelompok agama memberi respon dan reaksi terhadap sebarang permasalahan yang berbangkit samada perkara tersebut melibatkan kelompoknya sendiri atau pun orang lain. Dalam memberikan tindakbalas tersebut, ia hendaklah mengambil kira kepentingan bersama, menerusi rundingan dan persetujuan. Dalam hal-hal yang tidak dapat dipersetujui bersama (atas sebab-sebab tertentu) hendaklah ada sikap berlapang dada dan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

Bagi tujuan mewujudkan keadaan demikian, maka dua syarat asas yang perlu dipenuhi oleh setiap kelompok agama terbabit iaitu kesediaan untuk bersikap `jujur’ dan `ikhlas’. Ini bagi memastikan agar tidak ada agenda tersirat dalam setiap dialog yang dijalankan. Dalam ertikata lain, dialog bukan dakwah atau mission bagi tujuan mengajak penganut lain menukar agamanya.

Bagi menjalankan kegiatan dialog antara agama, menurut Dr. Ghazali, setiap kelompok harus mempunyai persediaan dan keupayaan ilmu. Ini meliputi kemampuan pengentahuan tentang asas dan tasawwur agamanya sendiri serta juga memahami dengan sempurna konsep dan asas citra agama rakan dialognya. Di samping itu, setiap pihak harus benar-benar menyedari tentang permasalahan yang berbangkit berhubung persoalan dan permasalahan yang ingin didialogkan.

Terdapat beberapa bentuk dialog yang cuba dikembangkan oleh pembentang yang boleh diamalkan dalam konteks negara ini. Bentuk-bentuk dialog ini dikutip dari pandangan rakan penggiat dialog dari Indonesia yang telah membahagikan kepada:

a. Dialog Kehidupan - iaitu pertemuan antara umat berlainan agama dalam kehidupan seharian seperti gotong royong menjayakan aktiviti sosial, ekonomi dan seumpamanya.

b. Dialog Kerja Sosial – suatu bentuk kesinambungan dari dialog kehidupan di mana penekanan terhadap kesedaran dan kepentingan betapa perlunya hidup secara beragama dalam pertemuan yang dikelolakan.

c. Dialog Teologi – iaitu lebih merupakan perbincangan yang menyangkut tentang aspek doktrin dan keimanan. Tujuan dialog ini ialah bagi membangunkan kesedaran diri bahawa di luar keyakinan dan keimanan yang kita anuti, terdapat bentuk keimanan, kepercayaan dan tradisi yang dimiliki oleh orang lain. Kefahaman yang mendalam terhadap situasi kepercayaan dan keimanan orang lain menghasilkan perasaan hormat dan jalinan hubungan keagamaan yang tulin sesama anggota masyarakat.

d. Dialog Spiritual – iaitu berlegar di alam esoteric (alam kerohanian) yang melibatkan orang tertentu sahaja dari kalangan pengamal mistik.

Memandangkan dialog yang berbentuk teologi dan spiritual bersifat berat dalam realiti masyarakat yang menganggap tradisi dialog sebagai suatu yang baru, dianjurkan agar usaha dialog dalam bentuk kehidupan dan kerja sosial dipergiatkan.

Kegiatan sedemikian tidaklah begitu sukar dikelolakan dan harus dikelolakan bersama oleh pertubuhan agama di negara ini dengan kesedaran bagi merapatkan persefahaman dan kerjasama sesama penganut agama. Ia boleh dijelmakan dalam bentuk kegiatan gotong royong, kerja amal dan sukarela serta kebajikan.

Sejajar dengan tahap asas disiplin dialog dalam konteks masyarakat kita, usaha awal yang perlu ditumpukan ialah memecahkan perspektif serong dan negatif penganut agama terhadap yang lain. Ini merupakan antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi oleh pemuka dialog di di negara ini. Dr. Ghazali di dalam kertas kerjanya telah melakarkan beberapa cabaran yang perlu didepani, antaranya:

Pertama, sikap eksklusif penganut terhadap agamanya. Sikap eksklusif suatu yang fitrah dan ada pada setiap agama. Malah penganut agama harus mempertahankan keyakinan dan keunikan ajaran agama yang dianuti dengan serius dan bersungguh-sungguh.

Namun, ia tidak harus sehingga mendakwa agama lain sebagai suatu yang tidak relevan dan berguna dalam menyumbang kepada kehidupan masyarakat. Ini kerana, sikap memandang agama lain sebagai suatu yang tidak berguna merupakan benteng yang melambatkan proses pemupukan keharmonian antara penganut agama. Kita memerlukan semangat eksklusif agama yang bersifat rasional yang memberi ruang untuk menerima kepelbagaian agama.

Kedua, sikap inklusif terhadap agama. Sikap ini muncul sebagai reaksi terhadap amalan eksklusif dalam beragama. Inklusif mengarah penganut untuk menyamakan semua agama dari segi rupa, bentuk dan kepercayaan. Sikap ini harus ditolak sepenuhnya kerana ia bakal mendatangkan musibah dan penentangan yang lebih lebar.

Pada pandangan pembentang, setiap agama perlu mempertahankan tradisi kepercayaan masing-masing sebagai suatu ciri yang unik lagi tersendiri. Usaha bagi menyeragamkan agama-agama sehingga mencairkannya atas dasar toleransi dan akomodasi perlu ditolak dalam konteks dialog antara agama. Apa yang harus dikemukakan ialah konsep kesatuan dalam kepelbagaian.

Ketiga, Sikap memandang rendah terhadap dialog antara agama sebagai suatu yang tidak bersifat penting dan mustahak Sebahagian besar masyarakat merasakan ia bukanlah suatu yang banyak menyumbang kepada kemajuan negara kerana yang lebih utama ialah dari segi pencapaian ekonomi dan profesionalisme.

Masyarakat Malaysia secara khusus perlu menyedari bahawa tuntutan terhadap usaha mengembeleng kelompok beragama di negara ini amat mendesak sekali memandang dunia hari ini sedang berdepan dengan cabaran modenisme yang sedang meruntuhkan nilai-nilai agama dalam amalan dan kehidupan masyarakat.

Hal ini dibangkitkan oleh seorang peserta iaitu Dr. Amran Muhamad dari Unversiti Malaya yang menegaskan, dialog antara agama harus menjadi asas ke arah mengukuhkan komuniti agama di negara ini. Ini bagi memastikan nilai-nilai agama tidak mudah luntur akibat serangan pemodenan yang mementingkan kebendaan dan budaya berbelanja secara berlebihan atau consumerisme yang sedang menghantui budaya hidup masyarakat kita.

Kes-kes seperti penggodolan bukit-bukit secara keterlaluan dan kegiatan mencampurkan bahan najis dalam makanan yang didakwa halal jelas menggambarkan kemusnahan nilai agama dalam peribadi dan pemikiran sebahagian masyarakat kita hari ini. Untuk itulah, dialog antara agama harus menjadi instrument bagi mengukuhkan prinsip, nilai dan budaya beragama dalam kehidupan masyarakat di negara ini.
 
< Prev   Next >