Minda Madani Online

MINDA MADANI Online, menyediakan medium bagi tujuan penyaluran maklumat serta penyebaran pemikiran-pemikiran segar mengenai dakwah, pembinaan keperabadian Muslim dan asas-asas Tarbiah Islamiah. Kesemua artikel dan pendapat yang disiarkan di dalam laman sesawang ini tidak semestinya mencerminkan pendirian ABIM.

Visitors Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday121
mod_vvisit_counterYesterday599
mod_vvisit_counterThis week1898
mod_vvisit_counterThis month4465
mod_vvisit_counterAll446281

Artikel Pilihan

Dar Al-Hadith Al-Asrafiyah Di Damsyiq : Pelopor Dan Pemelihara Sunnah Sepanjang Zaman

Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali;

Damsyiq  merupakan bandar yang banyak mempunyai sejarah Islam dan tempat tumpuan ilmuan dulu dan kini. Antara tempat pengajian yang masyhur adalah Dar al-Hadith al-Asrafiyyah yang dibina pada tahun 630H/1233M oleh Raja  al-Asraf Musa dan Abu Umar bin Salah atau terkenal dengan nama Ibn Salah yang merupakan syeikh pertama bagi Dar al-Hadith. Dar al-Hadith ini melahirkan ramai ulamak yang menjadi penjaga dan benteng dalam mempertahankan hadith-hadith nabi sepanjang zaman sehingga buku-buku mereka menjadi rujukan sehingga kini. Namun Dar al-Hadith ini telah mengalami kemerosotan dalam kurun 16 dan 17M yang lalu sepertimana yang berlaku di institusi-institusi pendidikan yang lain di Damsyiq. Namun takdir Allah telah mengutuskan seorang ulamak yang bernama Yusuf Abdul Rahman al-Hasani yang datang dari Maghribi untuk membantu menghidupkan institusi ini bersama-sama dengan Abdul Qadir al-Jaza’iri. Yusuf Abdul Rahman ini mempunyai anak  yang bernama Muhammad Badaruddin al-Hasani yang bertanggungjawab memajukan Dar al-Hadith pada zamannya.

Raja al-Asraf Musa  merupakan raja dari pemerintahan Ayyubi yang terkenal dengan pemerintahan yang adil dan amat menyayangi golongan miskin dan sentiasa menziarahi dan menolong mereka. Nama penuhnya ialah Muzafaruddin Abu Fatah Musa bin Abu Bakar Muhammad bin Ayyub. Beliau dilahirkan pada tahun 576H di Kaherah dan meninggal dunia pada 4 Muharram tahun 635H/1237M. Antara kesan peninggalannya yang kekal hingga kini ialah Masjid al-Taubat, Masjid al-Jarah, Masjid Abi Darda’ dan Dar al-Hadith. Dar al-Hadith al-Asrafiyyah ini melahirkan ramai ulamak yang terkemuka sejak Ibn Salah sehingga Muhammad Badaruddin al-Hasani. Antaranya Imam al-Nawawi, Abi Shamah, al-Mazzi, al-Subki, Ibn Hajar, Ibn Kathir, Ibn Jamaah serta lain-lain lagi. Antara yang menyebabkan kemasyhurannya ialah mereka yang mengajar di sini disyaratkan seorang yang pakar dalam bidang hadith di kota Damsyiq atau dunia Islam ketika itu. Oleh itu, jika kita melihat nama-nama syeikh di sini didapati mereka adalah terdiri daripada ulamak yang masyhur pada zaman itu, bukan sahaja di Damsyik tetapi juga dunia Islam. 

 
Kikis Sikap Fanatik Pemikiran PDF Print E-mail
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Antara kelemahan yang paling mengkhuatirkan sedang melanda umat Islam ketika ini ialah perpecahan yang diakibatkan oleh kepelbagaian aliran pemikiran. Walaupun Islam tidak pernah menolak hakikat kerencaman pendapat, namun perselisihan yang menimbulkan pertentangan tajam sehingga menenggelamkan hakikat persamaan risalah dan matlamat ditentang sama sekali.
 
Jika diperhatikan secara objektif, kebanyakan perselisihan yang membawa kepada pertentangan dan perpecahan amat terkait dengan sikap fanatik terhadap pendapat sendiri, lantas cuba memonopoli pemikiran dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan orang lain. Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-`ijab bi al-ra’yi’ atau penyakit mengkagumi pendapat sendiri ini bagaikan wabak merbahaya yang sedang menjalar dalam urat saraf umat sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendokong Islam terdahulu.
 
Para imam mazhab umpamanya turut berselisih pendapat dalam pelbagai persoalan semasa namun mereka tidak pernah mendabik dada sebagai pemonopoli kebenaran. Sebaliknya berpendirian: “Pendapatku betul tetapi masih berkemungkinan salah. Pendapat orang lain salah tetapi mungkin juga betul”.
Ungkapan seperti ini adalah manifestasi adab dan etika dalam perbezaan pendapat yang telah diwarisi sejak zaman para sahabat lagi. Sebab itulah jika disingkap tabir sejarah, kita akan dapati bagaimana para sahabat turut berselisih dalam banyak perkara cabang namun tidak pernah melunturkan iman apa lagi melemahkan mereka walau sedikitpun.

Diriwayatkan bahawa Khalifah Umar Abdul Aziz juga tidak pernah mengimpikan supaya para sahabat tidak berselisih faham sama sekali. Ini kerana baginya, perselisihan faham akan membuka pintu keluasan, keanjalan dan kemudahan kepada umat yang mempunyai tabiat dan keperluan yang berbeza (Al-Qaradawi, Fatawa Mu’asarah).
 
Pelbagai bukti sejarah mengenai perselisihan di kalangan sahabat dapat disaksikan sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi seperti perselisihan mereka mengenai arahan Nabi berkenaan sembahyang Asar sewaktu pergi ke Bani Quraizah. Ini adalah peristiwa terkenal yang mengungkapkan hakikat perselisihan tetapi Rasulullah s.a.w. sedikitpun tidak mencela kedua-dua kumpulan yang berselisih faham itu.

Perselisihan tidak hanya berlaku di zaman Rasulullah sahaja, namun seawal kewafatan baginda, para sahabat sekali lagi berselisih mengenai tempat sewajarnya di mana Rasulullah s.a.w. patut dimakamkan. Ada yang berpendapat baginda wajar dikebumikan bersama sahabat-sahabatnya, manakala sebahagian yang lain berpendapat agar dipusarakan jasad Nabi s.a.w. di dalam masjid. Namun setelah dirujuk kepada sebuah hadis Nabi s.a.w. yang disampaikan oleh Abu Bakar: “Tidaklah diwafatkan seorang Nabi melainkan ia dikebumikan di tempat ia diwafatkan itu”, para sahabat terus mengangkat tikar tempat Rasulullah diwafatkan dan digalikan pusara untuknya.

Banyak lagi contoh-contoh lain perbezaan dan perselisihan pendapat yang berlaku dikalangan sahabat seperti persoalan politik, pemilihan Khalifah, isu memerangi golongan yang enggan membayar zakat dan pelbagai perselisihan dalam masalah fekah yang kesemuanya ditangani tanpa mengikut hawa nafsu dan emosi melulu.
Begitulah tingginya adab dan etika perbezaan pendapat yang didokongi para sahabat Nabi s.a.w. yang kemudiannya diwariskan kepada generasi selepasnya, sehinggalah umat dihinggapi penyakit baru yang cepat membarah, sekaligus meranapkan akal budi dan peribadi umat.

Gara-gara penyakit inilah maka kita menyaksikan suasana umat yang amat menyayat hati dan meruntun emosi. Gamatnya pertelagahan di kalangan pendokong-pendokong wadah Islam sehingga mengakibatkan terabainya tanggungjawab utama menyelesaikan pelbagai masalah umat yang melanda kini. Sebaliknya seluruh tenaga dihabiskan dan tertumpu kepada polemik, “politiking”, adu-domba dan perlumbaan menambah bilangan penyokong pendapat masing-masing.

Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam terutamanya dalam menangani fenomena perbezaan pendapat.
 
Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub atau fanatik kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Mungkin jalan keluar dari belitan konflik kefanatikan pemikiran yang melanda kini terumus dalam ungkapan keramat tokoh reformis Islam, Jamaluddin al-Afghani: Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berkompromi dalam hal-hal yang diperselisihkan.

Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andainya kita bersedia menghadapinya secara dewasa. Tetapi andainya kita menanganinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sealiran sebagai musuh, maka perbezaan pendapat pasti menjadi bahan bakar penyemarak api persengketaan yang membinasakan.
 
< Prev   Next >