| |
Artikel Pilihan
|
Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali; Damsyiq merupakan bandar yang banyak mempunyai sejarah Islam dan tempat tumpuan ilmuan dulu dan kini. Antara tempat pengajian yang masyhur adalah Dar al-Hadith al-Asrafiyyah yang dibina pada tahun 630H/1233M oleh Raja al-Asraf Musa dan Abu Umar bin Salah atau terkenal dengan nama Ibn Salah yang merupakan syeikh pertama bagi Dar al-Hadith. Dar al-Hadith ini melahirkan ramai ulamak yang menjadi penjaga dan benteng dalam mempertahankan hadith-hadith nabi sepanjang zaman sehingga buku-buku mereka menjadi rujukan sehingga kini. Namun Dar al-Hadith ini telah mengalami kemerosotan dalam kurun 16 dan 17M yang lalu sepertimana yang berlaku di institusi-institusi pendidikan yang lain di Damsyiq. Namun takdir Allah telah mengutuskan seorang ulamak yang bernama Yusuf Abdul Rahman al-Hasani yang datang dari Maghribi untuk membantu menghidupkan institusi ini bersama-sama dengan Abdul Qadir al-Jaza’iri. Yusuf Abdul Rahman ini mempunyai anak yang bernama Muhammad Badaruddin al-Hasani yang bertanggungjawab memajukan Dar al-Hadith pada zamannya.
Raja al-Asraf Musa merupakan raja dari pemerintahan Ayyubi yang terkenal dengan pemerintahan yang adil dan amat menyayangi golongan miskin dan sentiasa menziarahi dan menolong mereka. Nama penuhnya ialah Muzafaruddin Abu Fatah Musa bin Abu Bakar Muhammad bin Ayyub. Beliau dilahirkan pada tahun 576H di Kaherah dan meninggal dunia pada 4 Muharram tahun 635H/1237M. Antara kesan peninggalannya yang kekal hingga kini ialah Masjid al-Taubat, Masjid al-Jarah, Masjid Abi Darda’ dan Dar al-Hadith. Dar al-Hadith al-Asrafiyyah ini melahirkan ramai ulamak yang terkemuka sejak Ibn Salah sehingga Muhammad Badaruddin al-Hasani. Antaranya Imam al-Nawawi, Abi Shamah, al-Mazzi, al-Subki, Ibn Hajar, Ibn Kathir, Ibn Jamaah serta lain-lain lagi. Antara yang menyebabkan kemasyhurannya ialah mereka yang mengajar di sini disyaratkan seorang yang pakar dalam bidang hadith di kota Damsyiq atau dunia Islam ketika itu. Oleh itu, jika kita melihat nama-nama syeikh di sini didapati mereka adalah terdiri daripada ulamak yang masyhur pada zaman itu, bukan sahaja di Damsyik tetapi juga dunia Islam. |
|
|
Resensi : World on Fire ( 19 Jun 2008) |
|
|
|
 Buku ini telahpun berada di pasaran seawal tahun 2004. Tesis utama yang dibawa oleh pengarangnya, Amy Chua adalah sistem demokrasi pasaran bebas yang dilaksanakan pada hari ini, khususnya di negara-negara kumpulan minoriti menjadi dominan , mampu mencetuskan ketegangan antara kumpulan minoriti dan majoriti. Sebagaimana yang pernah dihujahkan oleh Francis Fukuyama lewat karyanya The End Of History bahawa seakan-akan sistem kapitalisma-pasaran bebas akan menjadi sistem terakhir yang akan menjadi the order of the day, garapan Amy Chua sebaliknya mendedahkan keburukan yang akan berlaku di negara-negara yang mempunyai latar belakang seperti yang telah dijelaskan. Bermula daripada tragedi pembunuhan ibu saudaranya di tangan penduduk peribumi Filipina akibat rasa benci terhadap etnik minoriti Cina yang menguasai ekonomi di Filipina, Amy Chua terus cuba menampilkan beberapa pola yang sama di seluruh dunia. Beliau berjaya mendedahkan pola sama yang sedang berlaku di Indonesia, Bolivia, Rusia , Burma dan Rwanda. Apa yang perlu diambil iktibar adalah dalam latar belakang sosio ekonomi yang menyaksikan kaum minoriti, lazimnya kaum pendatang berjaya menguasai ekonomi dan menjadi dominan, kemungkinan akan tercetusnya pergaduhan kaum adalah satu faktor yang tidak boleh ditolak.
Seandainya kita mengekstrapolasikan trend ini ke dalam skala yang lebih besar, Amy Chua menyatakan bahawa pada hari ini, Amerika Syarikat-lah yang sedang menjadi kumpulan dominan-minoriti dan sedang mengautkan kekayaan, sedangkan seluruh dunia kini menjadi kumpulan majoriti yang sedang tertindas. Inilah sebab mengapa di dunia banyak negara yang membenci dan tidak menyukai AS. Seperkara yang menarik, penulis turut mendedahkan bahawa sistem kapitalisma dan pasaran bebas yang diperkenalkan ke seluruh dunia pada hari ini merupakan model yang telahpun dikenalpasti mempunyai kelemahan dan masalah, dan tidak lagi dikut sepenuhnya oleh dunia Barat, khususnya AS sendiri. Namun dunia Barat tetap mencanangkan agar seluruh dunia mengambil model ini sebagai sistem utama. Sebaliknya di dunia Barat, dengan mengetahui bahawa sistem ini merupakan sistem yang bermasalah, Barat telah memperkenalkan pelbagai institusi pengagihan kekayaan (redistributive institutions) bagi mengurangkan dampak sistem pasaran bebas ini di negara masing-masing.
|
|
|
|