Minda Madani Online

MINDA MADANI Online, menyediakan medium bagi tujuan penyaluran maklumat serta penyebaran pemikiran-pemikiran segar mengenai dakwah, pembinaan keperabadian Muslim dan asas-asas Tarbiah Islamiah. Kesemua artikel dan pendapat yang disiarkan di dalam laman sesawang ini tidak semestinya mencerminkan pendirian ABIM.

Visitors Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday487
mod_vvisit_counterYesterday470
mod_vvisit_counterThis week4154
mod_vvisit_counterThis month2551
mod_vvisit_counterAll444366

Artikel Pilihan

Dar Al-Hadith Al-Asrafiyah Di Damsyiq : Pelopor Dan Pemelihara Sunnah Sepanjang Zaman

Oleh Dr Mohd Rumaizuddin Ghazali;

Damsyiq  merupakan bandar yang banyak mempunyai sejarah Islam dan tempat tumpuan ilmuan dulu dan kini. Antara tempat pengajian yang masyhur adalah Dar al-Hadith al-Asrafiyyah yang dibina pada tahun 630H/1233M oleh Raja  al-Asraf Musa dan Abu Umar bin Salah atau terkenal dengan nama Ibn Salah yang merupakan syeikh pertama bagi Dar al-Hadith. Dar al-Hadith ini melahirkan ramai ulamak yang menjadi penjaga dan benteng dalam mempertahankan hadith-hadith nabi sepanjang zaman sehingga buku-buku mereka menjadi rujukan sehingga kini. Namun Dar al-Hadith ini telah mengalami kemerosotan dalam kurun 16 dan 17M yang lalu sepertimana yang berlaku di institusi-institusi pendidikan yang lain di Damsyiq. Namun takdir Allah telah mengutuskan seorang ulamak yang bernama Yusuf Abdul Rahman al-Hasani yang datang dari Maghribi untuk membantu menghidupkan institusi ini bersama-sama dengan Abdul Qadir al-Jaza’iri. Yusuf Abdul Rahman ini mempunyai anak  yang bernama Muhammad Badaruddin al-Hasani yang bertanggungjawab memajukan Dar al-Hadith pada zamannya.

Raja al-Asraf Musa  merupakan raja dari pemerintahan Ayyubi yang terkenal dengan pemerintahan yang adil dan amat menyayangi golongan miskin dan sentiasa menziarahi dan menolong mereka. Nama penuhnya ialah Muzafaruddin Abu Fatah Musa bin Abu Bakar Muhammad bin Ayyub. Beliau dilahirkan pada tahun 576H di Kaherah dan meninggal dunia pada 4 Muharram tahun 635H/1237M. Antara kesan peninggalannya yang kekal hingga kini ialah Masjid al-Taubat, Masjid al-Jarah, Masjid Abi Darda’ dan Dar al-Hadith. Dar al-Hadith al-Asrafiyyah ini melahirkan ramai ulamak yang terkemuka sejak Ibn Salah sehingga Muhammad Badaruddin al-Hasani. Antaranya Imam al-Nawawi, Abi Shamah, al-Mazzi, al-Subki, Ibn Hajar, Ibn Kathir, Ibn Jamaah serta lain-lain lagi. Antara yang menyebabkan kemasyhurannya ialah mereka yang mengajar di sini disyaratkan seorang yang pakar dalam bidang hadith di kota Damsyiq atau dunia Islam ketika itu. Oleh itu, jika kita melihat nama-nama syeikh di sini didapati mereka adalah terdiri daripada ulamak yang masyhur pada zaman itu, bukan sahaja di Damsyik tetapi juga dunia Islam. 

 
Model Kepimpinan Rabbani: Menyorot Pemerintahan Berhikmah Gaya Sulayman Al-Hakim `A.S. PDF Print E-mail
Oleh : Prof. Dato' Dr. Siddiq Fadzil (Siri Kuliah Tafsir Maudhui' Siri ke - 56)

''Surah al-Naml yang memaparkan citra pemerintahan Sulayman `a.s. menyebut kurnia besar yang sekaligus menjadi tonggak utama pemerintahannya, iaitu kurnia ilmu. Demikianlah ayat yang yang mengisyaratkan sebuah pemerintahan berasaskan ilmu (knowledge based). Memang pemerintahan profetis adalah model pemerintahan knowledge based par excellence.''  Surah al-Naml: 15 – 19.
 
Pemimpin, pemerintah dan pentadbir terbaik tidak lain adalah Allah s.w.t. sendiri. Dialah Tuhan yang bernama al-Hakim, al-Wali dan al-Mudabbir yang Maha Sempurna. Manusia adalah makhluk pengembang amanat al-istikhlaf, yang mewakili Allah melaksanakan misi `imarat al-ard (membangun bumi dengan ilmu, sains dan teknologi) dan islah al-ard (mengislahkan bumi dengan pendaulatan nilai-nilai murni: kebenaran, keadilan, kejujuran, kasih-sayang, dan lain-lainnya). Sebagai wakil Tuhan dalam menjayakan misi tersebut manusia dituntut memperlengkapkan diri dengan sifat-sifat unggul al-takhalluq bi akhlaqi ‘Llah (berakhlak dengan akhlak Allah). Manusia yang berjaya menghayati sifat-sifat dan nama-nama Tuhan (al-Asma’al-Husna) dalam batas-batas kemanusiaannya itulah yang disebut manusia rabbani, manusia yang dekat dengan Tuhan dari segi sifat-sifatnya.
Dalam kaitan inilah relevannya tema al-qiyadah al-rabbaniyyah atau kepimpinan rabbani. Jelmaan paling ideal manusia rabbani adalah para anbiya’ dan mursalin. Dalam konteks al-qiyadah al-rabbaniyyah (kepimpinan rabbani) mungkin kepimpinan Nabi Sulaiman `a.s. dapat diangkat sebagai salah satu model yang cukup mengesankan. Pengkisahan tentang nabi-pemerintah (raja) tersebut banyak termuat dalam surah al-Naml, Saba’ dan Sad. Surah al-Naml yang memaparkan citra pemerintahan Sulayman `a.s. menyebut kurnia besar yang sekaligus menjadi tonggak utama pemerintahannya, iaitu kurnia ilmu. Demikianlah ayat yang yang mengisyaratkan sebuah pemerintahan berasaskan ilmu (knowledge based). Memang pemerintahan profetis adalah model pemerintahan knowledge based par excellence.

Kata ilmu dalam ayat 15 surah tersebut tidak secara khusus merujuk jenis ilmu tertentu. Dengan demikian ia dapat diertikan secara inklusif meliputi segala cabang ilmu yang relevan dengan kenabian dan kenegaraan, ilmu yang dapat meningkatkan kualiti dan mengangkat martabat. Selain itu ia juga meliputi makna hikmah yang dapat diertikan sebagai kurnia kefahaman yang mendalam tentang sesuatu. Para ilmuwan yang memiliki hikmah disebut juga dengan kata al-rasikhuna fi ‘l-`ilm dan ulu ‘l-albab. Kata albab adalah bentuk jamak dari kata lubb yang bererti inti terdalam atau the core of things, termasuk makna tersirat di balik yang tersurat.

Hakikat pengurniaan ilmu dan hikmah kepada Sulayman dan ayahandanya Dawud `a.s. dipertegaskan dalam surah al-Anbiya’:79 “…dan kepada kedua-duanya Kami kurniakan hikmah dan ilmu…” (…wa kullan atayna hukman wa `ilma…). Dengan kurnia ilmu dan hikmah (wisdom) itulah Sulayman `a,s. dapat membaca dan menganalisis sesuatu fenomena dengan tepat, menyikapinya dengan tepat dan memilih tindakan yang tepat. Memang kata hikmah mengandungi makna kebenaran dan ketepatan (al-sawab wa al-sadad). Surah al-Naml menyebut bahawa mereka (Dawud dan Sulayman `a.s.) menyatakan tahmid kesyukuran atas segala kurnia, terutama kurnia ilmu. Mereka amat menginsafi bahawa sumber hakiki ilmu, kebenaran dan segala kebaikan adalah Allah s.w.t., dan kerananya hanya Dia yang layak dan berhak menjadi tumpuan syukur.

Ungkapan al-hamdu li ‘Llah adalah ekspresi terbaik untuk menghargai sesuatu yang bernilai. Dengan menyebut kata-kata tersebut bererti mereka adalah pemimpin-pemerintah yang cukup menyedari tentang ilmu sebagai nilai hidup yang utama, dan kerananya cukup komited dengan budaya ilmu.
Memang demikianlah hakikat nilai ilmu menurut perspektif profetis sebagaimana yang diperlihatkan oleh Nabi Musa ‘a.s. yang sanggup meredah daratan dan mengharung lautan walau sampai ke titik temu dua lautan (majma` al-bahrayn) semata-mata demi ilmu. Malah lebih daripada itu sanggup berjalan bertahun-tahun mencari Khidr `a.s. untuk berguru kepadanya (surah al-Kahf).

Mungkin hakikat inilah juga yang mengilhami al-Farabi, failasuf ulung penyandang gelar al-Mu`allim al-Thaniy menegaskan dalam karya agungnya al-Madinat al-Fadilah bahawa antara kriteria utama pemimpin negara termasuk kecintaan terhadap ilmu (muhibban li ‘l-`ilm). Yang disebut secara eksplisit dalam surah al-Naml adalah ilmu kebahasaan, khususnya mantiq al-tayr (bahasa burung). Mesej tersirat di sebaliknya adalah pemerintahan prihatin dan pentadbiran yang komunikatif. Bahasa sebagai alat komunikasi dimanfaatkan dengan berkesan untuk memahami masalah dan aspirasi rakyat. Demikianlah sebuah model pemerintahan berjiwa rakyat, kepimpinan yang dapat merasakan denyut nadi dan degup jantung rakyat.

Bahasa dan alat-alat komunikasi lainnya digunakan untuk berdialog dengan rakyat dari pelbagai sektor dan golongan, bukan untuk menyumbat bahan-bahan propaganda dan indoktrinasi kepartian. Dukungan rakyat diraih menerusi sikap prihatin dan komunikatif, bukan diperoleh secara licik dengan tipu daya memperbodoh dan mengabui mata. Peristiwa di lembah semut (wadi al-naml) mengangkat satu lagi contoh pemerintahan prihatin dan komunikatif, wujudnya interaksi antara raja besar (Nabi Sulayman `a.s.) dengan makhluk kecil (semut). Demikianlah, lewat kisah yang cukup sederhana dan mudah, al-Qur’an mengungkapkan sebuah konsep penting: a listening government, pemerintahan yang mengamalkan keterbukaan dan memiliki tahap kepedulian yang cukup tinggi. Rakyat kecil mempunyai hak untuk didengar. Pesan dari lembah semut ini mempunyai erti yang sangat penting terutama dalam konteks zaman leluasanya pengaruh kelompok-kelompok pelobi bayaran dan nyaringnya suara ringgit sehingga lahir ungkapan sinis when the money speaks, the rest will be silent.

Disebut juga tentang angkatan tentera kerajaan Nabi Sulayman `a.s. yang terbentuk dari gemblengan pelbagai unsur kekuatan rakyat: jin, manusia dan burung. Kisah ini menyerlahkan kualiti kepimpinan yang mampu memadu dan menggembleng potensi yang pelbagai untuk mencipta kekuatan raksaksa yang tak terkalahkan. Mungkin ini adalah jelmaan wisdom kepimpinan dan kepengurusan Nabi Sulayman `a.s. yang melihat kepelbagaian sebagai kekuatan. Memang pasukan yang baik tidak terbentuk dari unsur-unsur yang sejenis (keahlian dan kemahirannya), tetapi yang pelbagai. Kepelbagaian dapat membentuk pasukan yang saling melengkapi, di samping dapat pula menciptakan dialog yang kreatif.

Ternyata Nabi Sulayman `a.s. ditampilkan untuk membawa model qiyadah rabbaniyyah (kepimpinan rabbani) dan dawlah imaniyyah (pemerintahan berasaskan iman). Pelbagai kurnia yang melengkapinya dengan segala ingredients pemimpin-pemerintah unggul tidak pernah menjadikan Sulayman `a.s. lupa daratan - mabuk kuasa dan mengagumi kehebatan diri. Sulayman al-Hakim `a.s. tetap memohon petunjuk dan pertolongan Tuhan bagaimana ia seharusnya menggunakan segala kurnia itu demi kebaikan dan kesejahteraan makhluk yang menjadi rakyatnya. Suara semut menyedarkannya agar kesibukan mengurus persoalan-persoalan besar kenegaraan tidak melalaikan tanggungjawabnya terhadap rakyat kecil yang terpencil. Melihat makhluk kecil dan lemah yang memerlukan belas kasihan menginsafkan dirinya betapa kerdilnya ia di hadapan Allah, dan betapa perlunya ia kepada rahmat-Nya.

Timbunan kurnia yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa selainnya, tidak menenggelamkannya dalam kemabukan glamour. Yang diinginkan adalah pengabdian yang mendapat keredhaan Ilahi dan khidmat kenegaraan yang bernilai amal salih. Pemerintahannya tidak hanya rancak dengan projek pembangunan fizikal-material, tetapi juga bersemarak dengan syi`ar dan amal pengabdian kepada Tuhan. Demikianlah pengabadian sebuah keunikan pada kepimpinan rabbani, bahawa kuasa dan harta tidak memadam nyala sebuah idealime imani - menjadi hamba Allah yang salih.
 
Next >