Minda Madani Online

MINDA MADANI Online, menyediakan medium bagi tujuan penyaluran maklumat serta penyebaran pemikiran-pemikiran segar mengenai dakwah, pembinaan keperabadian Muslim dan asas-asas Tarbiah Islamiah. Kesemua artikel dan pendapat yang disiarkan di dalam laman sesawang ini tidak semestinya mencerminkan pendirian ABIM.

Visitors Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday483
mod_vvisit_counterYesterday470
mod_vvisit_counterThis week4150
mod_vvisit_counterThis month2547
mod_vvisit_counterAll444363

Artikel Pilihan

Kebangkitan Rakyat: Haluan dan Cabaran Gerakan Islam

Oleh: Hariz Zulkapli

Kebangkitan gerakan Islam era kebangkitan
Sejak tercetus kebangkitan yang membawa kepada kejatuhan pemerintah republik Tunisia, dunia Islam, terutama rantau Afrika Utara dan Asia Barat menjadi perhatian masyarakat dunia. Bersama perkembangan ini, kemunculan dan kemenangan parti-parti berideologi Islam dalam arena politik dan pilihan raya juga mencetuskan satu minat baharu terhadap gerakan Islam dan parti berasas Islam.

Satu konsensus kelihatan dicapai di media Barat dan dalam kalangan pemerhati, melibatkan haluan baharu kumpulan politik Islam. Satu pendekatan yang disifatkan moderat dan lebih liberal dikemukakan sebagai haluan yang tidak dapat dielakkan daripada diambil oleh parti-parti berasas Islam. Wacana agak dominan kebelakangan ini – yang boleh disifatkan sebagai era “pasca-911” atau “zaman teror” meletakkan beban kepada gerakan Islam untuk bersikap “moderat.”

Kebangkitan pasca-Islamisme
Satu pendekatan, wacana dan fasa yang dinamakan pasca-Islamisme dicetuskan oleh pengkaji gerakan Islam Asef Bayat semakin mendapat perhatian baharu dan menerima penilaian yang lebih mendalam. Asef mentakrifkan pasca-Islamisme dengan penjelasan berikut: “By ‘post-Islamism’ I mean a condition where,  following a phase of experimentation, the appeal, energy, symbols and sources of legitimacy of Islamism get exhausted, even among its once-ardent supporters.” Asef dalam satu rencana pada awal tercetus kebangkitan di seluruh dunia Arab-Afrika menegaskan bagaimana tesis pasca-Islamisme yang dicetuskan kini kelihatan terlaksana, dan bakal menjadi satu ciri penting perkembangan politik di wilayah tersebut.

Wacana pasca-Islamisme ini mengiringi tesis “kegagalan Islam politik” yang dibawa oleh Olivier Roy, pengkaji Islam politik dari Perancis dalam bukunya, The Failure of Political Islam. Beberapa parti yang dilihat mencapai kejayaan dalam sistem politik demokrasi seperti Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia, Parti Keadilan dan Pembangunan di Maghribi dan Parti Wasat, pecahan daripada gerakan Ikhwan al-Muslimin di Mesir disifatkan sebagai parti pasca-Islamis. Kebanyakan parti selain AKP – yang dikemukakan sebagai model pasca-Islamisme paling berjaya – mengambil pendekatan terpilih pasca-Islamisme dan/atau hanya sebahagian ahli parti yang memilih pendekatan tersebut.


Di Malaysia, PAS sebagai contoh menunjukkan beberapa pendekatan pasca-Islamisme, walaupun wacana dalaman berkaitan hal ini masih berjalan dan belum wujud satu konsensus. Fokus terhadap “negara Islam” dan isu seperti pelaksanaan syariah kelihatan diambil tempatnya oleh isu pentadbiran yang bersih, politik dalam masyarakat plural dan isu kehidupan harian lain. Satu perkembangan terkini ialah keputusan PAS mengemukakan gagasan “negara berkebajikan” yang merupakan penyampaian ide berasaskan Islam PAS dalam bahasa mudah difahami orang ramai.

 
Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam PDF Print E-mail
   Buku Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Al-Aqsa ke Pangkuan Islam karya Dr. Majid Irsan al-Kaylani bukanlah sebuah buku yang mengisahkan tentang biografi tokoh popular dalam Perang Salib iaitu Salahuddin Al-Ayyubi semata-mata, tetapi ia lebih dari itu. Ia bermakna buku ini memaparkan fenomena gerakan kebangkitan umat Islam secara menyeluruh selama 50 tahun sehingga mampu melahirkan tokoh yang berwibawa itu. Tidak ada di kalangan ahli sejarah yang menolak bahawa kekalahan kaum Muslimin dalam Perang Salib yang berlaku pada akhir tahun ke 5 Hijrah, merupakan satu tragedi besar yang melanda umat Islam. Namun demikian, kita tidak sekadar untuk menangisi tragedi tersebut. Sebaliknya, kita perlu merenung dan melihat kembali secara kritis, apakah faktor yang menyebabkan umat yang terbaik (khaira ummah) ini tewas, bahkan gagal untuk menghalang tentera Salib untuk mengalahkan kerajaan Islam pada waktu itu. Kesimpulannya, mungkin ada sesuatu yang 'tidak kena' dengan umat Islam pada zaman tersebut. Kemungkinan terdapatnya penyelewengan atau berkurangnya penghayatan Islam yang dilakukan oleh generasi Islam ada waktu itu.
Pengabaian agama yang mungkin dilakukan oleh pemerintah, ulama, golongan bangsawan ataupun rakyat biasa. Namun demikian, sejarah juga telah mencatatkan bahawa 90 tahun kemudian muncul Salahuddin yang memimpin tentera Islam telah berjaya merebut Hiththin yang sekali gus sebagai pembuka jalan untuk merebut kembali Palestin. Apakah sebenarnya yang terjadi? Apakah Salahuddin al-Ayyubi seorang yang diutus oleh Allah sebagai seorang pahlawan yang berjuang secara bersendirian? Jawapannya adalah tidak. Ini kerana Salahuddin juga manusia biasa yang telah dididik oleh Nuruddin Zanki pada waktu itu yang ternyata telah mempunyai visi dan misi untuk menyelamatkan Masjid al-Aqsa pada satu hari nanti. Di pihak yang lain, sejarah tentunya tidak melupakan peranan dan sumbangan ramai tokoh dan ulama yang hidup pada zaman itu seperti al-Ghazali, Abdul Qadir Jailani, Ibnu Qudamah al-Maqdisi dan sejumlah nama-nama ulama besar lain, yang telah berjaya mendidik dan melakukan perubahan dalam bentuk revolusi mental ke arah paradigma pemikiran dan pendidikan umat.

Tokoh-tokoh ulama dan pemerintah pada waktu itu telah berjaya mengikis sifat-sifat buruk umat, mengekang berlakunya perpecahan di kalangan umat dalam pelbagai bentuk seperti aliran kebatinan, mazhab, perbezaan aliran fikah ataupun tasauf. Segala perbezaan yang besar dan boleh memecahbelahkan umat telah berjaya diketepikan demi membentuk umat yang bersatu dan menghayati nilai-nilai Islam dan boleh membawa kemenangan Islam dan untuk mengalahkan musuh Islam. Sesungguhnya pengarang buku ini telah membicarakan tentang Salahuddin al-Ayubbi yang merupakan 'salah seorang' tokoh dari satu generasi yang telah mengalami proses pendidikan dan perubahan. Satu generasi yang lahir bagi mengubati kesilapan lampau yang telah dilakukan oleh umat sebelumnya.

Sehubungan itu, siapakah lagi tokoh-tokoh yang turut menyumbang dalam proses pengukuhan umat yang ternyata berjaya mengembalikan kegemilangan umat? Dari manakah perubahan itu dimulakan? Bagaimanakah cara mereka menghalang merebaknya penyakit-penyakit umat yang tersebar melalui fanatik mazhab, sufisme pasif, tasawuf, kebatinan dan juga penyimpangan pengajaran dari tokoh-tokoh ulama yang berwibawa? Bagaimanakah mereka berjaya membina penyatuan amal dan fikir sehingga melahirkan perpaduan yang kukuh dan mantap dalam segenap generasi dan mengubahnya ke arah kekuatan yang terbilang?

Ini adalah di antara perkara-perkara yang dibincangkan dalam buku ini dan ternyata jawapan-jawapan yang dihuraikan oleh pengarang boleh dilakukan oleh kita. Sesungguhnya buku ini adalah buku wajib oleh setiap Muslim sekali gus juga sebagai buku awal yang perlu dibaca untuk mengerakkan tindakan ke arah 'berubah atau rebah' seperti mana yang disebutkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.
 
''Pengarang buku ini telah membicarakan tentang Salahuddin al-Ayubbi yang merupakan 'salah seorang' tokoh dari satu generasi yang telah mengalami proses pendidikan dan perubahan. Satu generasi yang lahir bagi mengubati kesilapan lampau yang telah dilakukan oleh umat sebelumnya"
 
Oleh Burhanuddin Abdul Jalal, Utusan Malaysia 5 Jun 2009.
 
Next >