|
Oleh: Mohd Rumaizuddin Ghazali - Ketua Biro Dakwah Perpaduan Melayu : Antara Pendekatan Dakwah dan Pemikiran Ekstrim.
Kehadiran nabi Muhammad ke dunia ini membawa rahmat untuk sekelian alam. Nabi pernah bersabda yang bermaksud : “ saya adalah nabi pembawa rahmat dan bukan nabi pembawa kecelakaan.” Hadis ini memberi mesej yang cukup jelas betapa pentingnya kesejahteraan, kedamaian dan perpaduan. Pendekatan kekerasan dan sikap ekstrim bukan sahaja berlawanan dengan kehendak al-Quran tetapi juga akan mengakibatkan wujudnya pertentangan-pertentangan di tengah umat yang akan menghancurkan kekuatan yang sedia ada.
Oleh itu, usaha mempertahankan kekuasaan dan kekuatan umat harus berteraskan kepada kebijaksanaan, kasih sayang dan sikap berlapang dada. Dalam konteks yang sama usaha mempertahankan kekuatan dan wibawa umat Melayu di negara ini, mestilah juga berasaskan pendekatan yang sama.
ABIM sebagai sebuah gerakan Islam sentiasa mengunakan pendekatan dakwah dalam mengambil apa jua keputusan walaupun dengan berbuat demikian ia menghadapi risiko yang tinggi dan hilang populariti serta pengaruh.Inilah hakikat yang perlu difahami oleh setiap orang yang berada dalam medan dakwah ABIM. ABIM bukan sebuah gerakan Islam yang mengaut keuntungan politik. Agenda utama ABIM ialah mendidik dan mentarbiah umat mengesakan Allah dan tunduk serta akur terhadap kekuasaanNya. ABIM meletakkan kepentingan dakwah mengatasi kepentingan peribadi, kelompok atau partai.
Apabila ada orang atau kumpulan yang menghulur tangan untuk berdamai, berbincang dan berdialog demi kepentingan umat, kita menyambutnya dengan hati terbuka. Al-Quran juga menggesa umatnya apabila ada golongan yang ingin berdamai hendaklah kita sahut dan terima. Apatah lagi jika mereka terdiri daripada orang Islam sendiri. Islam bukan agama yang suka kepada perpecahan dan perkelahian.
Oleh sebab itulah Rasulullah menerima untuk berdamai dengan Musyrikin Mekah dalam perjanjian Hudaibiyah walaupun sebahagian sahabat pada mulanya enggan menerima dengan alasan akan merugikan dakwah Islamiah. Ternyata akhirnya perjanjian Hudaibiyah ini menjadi tapak kepada perkembangan Islam di Semenanjung Tanah Arab. Pemikiran Rasulullah ini merupakan pemikiran masa depan kerana baginda tidak melihat sesuatu hanya untuk jangka yang dekat.(al-Fikr al-Mustaqbal)
Dalam institusi keluarga, Islam membenarkan orang lelaki muslim berkahwin dengan Ahli Kitab. Ini menunjukkan kemesraan, kasih sayang dan perpaduan merupakan elemen terpenting dan nikmat yang terbesar. Al-Qaradhawi dalam bukunya Kebangkitan Islam : antara perbezaan yang dibenarkan dengan perbezaan yang tercela telah menjadikan tajuk bab pertama “Perpaduan merupakan kewajipan dan Perpecahan merupakan Jenayah.”
Saidina Ali pernah menasihati al-Malik Ashtar, Gabenor Mesir dengan katanya :
“Jangan sekali-kali engkau mensia-siakan tawaran untuk berdamai yang dikemukakan oleh musuhmu sendiri. Terimalah ia, kerana itu akan menggembirakan Allah. Keamanan adalah sumber kesejahteraan kepada tentera; ia akan membuang kebimbingan di hatimu dan menimbulkan keadaan negara yang tersusun…..Berwaspadalah! jangan engkau curahkan darah tanpa apa-apa sebab yang sah. Tidak ada perkara yang lebih merbahaya daripada perkara ini. Ia akan membawa seseorang kepada keruntuhan. Darah yang dicurahkan sewenang-wenangnya akan membawa kepada keruntuhan sesebuah negara.” (Pesanan Untuk Para Pemimpin, Pusat Pembangunan Insan, Kuala Lumpur, 1991. hal.14)
Dalam konteks Malaysia, rundingan untuk perpaduan bangsa Melayu-Islam perlu disegerakan. Ini kerana bangsa Melayu-Islam menjadi tonggak kepada perkembangan Islam dan dakwah. Umat Melayu –Islam perlu melihat agenda yang lebih besar dan utama iaitu membentuk wataniyyah al-Izzah (negara Mulia) atau Dawlah al-Hidayah. (negara Hidayah). Imam al-Shawkani dalam bukunya Raf’u al-Asatin fi Hukm al-Ittisal li Salatin meletakkan prinsip umum iaitu apabila penguasa meminta untuk bekerjasama hendaklah kita menyahut seruan tersebut selagi tidak berkaitan dengan maksiat.
Al-Marhum Syeikh Muhammad al-Ghazali ketika melawat Malaysia mengambarkan Malaysia sebagai “Andalus Kedua” yang harus dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin supaya tidak berulang kejatuhan Andalus Pertama. Para ahli sejarah mengambarkan Andalus Pertama sebagai sebuah negeri yang aman yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keindahan alam yang menakjubkan. Tetapi apabila ia tidak diterajui oleh kepimpinan berwibawa akhirnya Andalus pertama mengalami kehancuran.
Oleh demikian, umat Islam perlu kepada pemikiran wasati (sederhana) dan tidak bersikap membenci sehingga hilang pertimbangan untuk membuat keputusan terutama yang berkaitan dengan kepentingan rakyat keseluruhannya. Allah memperingatkan kita tentang sebab-sebab kejatuhan sesuatu bangsa pada masa dahulu antaranya ialah kerana mereka suka kepada pepecahan seperti ayat al-Rum 31-32, al-An’am 159, Ali Imran 19. Islam membenarkan perbezaan pendapat tetapi di sana ada adab-adab yang perlu dihormati dan dipatuhi. Perbezaan pendapat tidak boleh dianggap sebagai satu pepecahan. Perbezaan mazhab juga bukan satu bentuk pepecahan sepertimana tanggapan sesetengah orang. Perbezaan-perbezaan ini sebaliknya memberikan fleksilibiti kepada kehidupan dan telah mendorong perkembangan ilmu pengetahuan.
Tragedi yang menimpa umat Islam kini bukan disebabkan kekurangan harta benda dan kekayaan tetapi kerana mereka telah hilang makna perpaduan dan tidak mahu berunding dan berdialog dalam sesuatu isu yang diperselisihkan.
Rashid Rida menyebutkan “bertolonganlah kamu dalam perkara yang disepakati dan bertoleransi dalam perkara yang kamu perselisihkan”.
Umat Islam harus mengakui perkembangan dakwah Islam di negara ini tetap subur berbanding dengan negara-negara lain. Peluang ini perlu diambil sepenuhnya oleh pendokong gerakan Islam untuk terus berusaha dan bekerja bagi kepentingan dakwah Islamiah. Ruang-ruang masih terpampang dan belum dimanfaat sepenuhnya oleh kita. Di negara–negara Islam yang lain, ruang tersebut ditutup rapat dan ahli gerakan Islam diusir dari negaranya sendiri malahan akan dihukum mati apabila pulang. Pemerintah Syria pernah melakukan pembunuhan yang melibat puluhan ribu pendokong dan pemimpin gerakan Islam.
Ini merupakan satu kerugian besar kepada umat. Oleh itu, kita harus menggunakan pendekatan yang lebih bijak dan adil walau dalam situasi apa sekalipun.Ini bertujuan mengelak konfrontasi yang tidak wajar yang memakan korban. Orang yang fanatik dalam perbuatan, perkataan dan pekerjaan seringkali terjerumus dalam kebinasaan.
Dari Suhail bin Hunaif berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“ Janganlah kamu terlalu keras terhadap diri kamu, sesungguhnya telah binasa sebelum kamu kerana bersikap keras terhadap diri mereka.” (diriwayatkan oleh Ahmad, Nasa’i, Ibn Majah dan Hakim dengan sanad Sahih). Kita harus memahami bahawa tidak semua perkara dapat diselesaikan secara politik walaupun politik memberi impak yang besar dalam sesuatu keputusan. Pemikiran politik berasaskan kebencian tidak akan bertahan lama. Umat Islam perlu disedarkan bahawa nahdah (kebangkitan) bermula dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah bukan politik jalanan yang meluap-luap dengan kemarahan.
Kebangkitan yang berteraskan kepada kemarahan dan kebencian pasti akan tersungkur. Dalam bahasa yang mudah, politik bukan segala-galanya dan tidak semua perkara boleh diselesaikan melalui politik.
Pertemuan 8 Mei 2002 Merubah Suasana Politik Negara
Peristiwa pertemuan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir dan Presiden Pas Datuk Fadzil Mohd Nor dalam Syarahan Perdana : Palestin dan Kemanusiaan pada 8 Mei 2002 menjadi satu peristiwa bersejarah yang sukar dilupakan. Ia merupakan satu titik tolak untuk perpaduan bangsa Melayu-Islam. Kesemua akhbar utama menyiarkan peristiwa tesebut di muka depan akhbar mereka sebagai gambaran keghairahan umat Islam untuk melihat wujudnya perpaduan di kalangan umat. Majoriti umat Islam negara ini inginkan perpaduan dan berharap ia dapat diteruskan lagi. Dalam hal berkaitan, kenyataan Presiden ABIM, Sdr Ahmad Azam bahawa pertemuan tersebut memberi gambaran umat Islam keseluruhannya mempunyai hasrat yang sama untuk mencapai keamanan sejagat.
Rata-ratanya orang Melayu sanggup mengetepikan fahaman politik masing –masing demi kemaslahatan umat. (Berita Harian, 10 Mei 2002, hal. 4) Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badwi (pada ketika itu, kini Perdana Menteri Malaysia)semasa sidang media selepas pertemuan tersebut menegaskan bahawa Umno bersedia teruskan kerjasama dengan Pas. Beliau menyebutkan bahawa tidak mungkin kedua-dua parti itu akan terus bertentangan pendapat dalam segala hal. (Berita Harian, 9 Mei 2002, hal. 3)
Seorang pemerhati memberi komen pertemuan tersebut dengan menyebutkan : “Apa pun, tiada siapa yang menang atau kalah antara Umno dan Pas dalam pertemuan itu. Yang menang ialah umat Islam kerana kedua-dua pihak yang mempunyai pendirian politik berbeza, mampu duduk semeja untuk memperjuangkan nasib rakan di Palestin. Alangkah baiknya jika Umno dan Pas boleh bercantum ke arah pembentukan satu suara umat Islam Malaysia.” ( Berita Harian, 10 Mei 2002, hal. 10)
Sebagai gerakan dakwah, ABIM amat berperanan untuk menjalankan tugas pemersatu umat. ABIM berpendapat bahawa selepas kejadian 11 September 2001 di New York dan serangan Amerika ke atas Aghanistan, keadaan dunia sudah berubah. Perubahan ini turut melibatkan senario politik tempatan.
Orang sudah jemu dan bosan dengan polemik politik yang tidak berkesudahan. Umat Islam negara ini tidak lagi mampu untuk terus-terusan bergaduh dan bermusuhan. Pendekatan berparti tanpa ikatan etika dan rasa tanggungjawab telah menimbulkan perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan umat. Politik demikian telah mencetuskan kebencian orang yang luar biasa sehingga umat Islam tidak lagi bersikap rasional.
Di Malaysia, perbezaan politik telah menjadi faktor utama perpecahan umat Islam dan orang Melayu. Sedangkan hal seperti ini tidak berlaku di kalangan orang bukan Melayu khususnya masyarakat Cina. Sebagai contoh MCA, Gerakan dan DAP bersepakat sebulat suara berhubung isu bahasa dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.(SJKC)
Peristiwa 8 Mei membuktikan bahawa pihak ketiga amat penting dalam penyatuan umat. Ia bukan monopoli oleh satu parti atau pihak tertentu. Kuasa ketiga ini perlu diperluaskan dan diramaikan lagi melibatkan seluruh persatuan dan NGO, ulamak, mufti, sarjana, raja dan rakyat. Ia harus menjadi dominan dan menjadi gerakan rakyat.
Sdr Ahmad Azam menyebutkan : “Memandangkan ‘politiking’ Melayu sudah sampai ke tahap yang kritikal dan merugikan, satu mekanisme dalam bentuk formula menang bersama (win-win) harus direkayasakan. Konsep ‘kongsi kuasa’ boleh difikirkan sebagaimana pernah dilaksanakan bersama-sama oleh Umno dan Pas ketika mengasaskan Barisan Nasional dulu. Kelemahan yang menyebabkan Pas dikeluarkan daripada Barisan Nasional harus diperbaiki supaya tidak berulang. Jalan tengah seperti ini perlu dilakukan dengan berani untuk menyelamatkan umat yang sedang berantakan.” (Ucapan Dasar ABIM ke 30, hal. 18)
Perkongsian Kuasa
Tujuan mencapai kekuasaan dan politik bukan menjadi agenda dan matlamat akhir ABIM. ABIM sebagai gerakan Islam perlu meletakkan dirinya atas segala kepentingan merebut kuasa dan politik. Gerakan Islam tidak harus terjebak dalam agenda merebut kekuasaan sehingga hilang arah dan keutamaan bertindak dalam menyedarkan masyarakat terhadap agama. Kekuasaan dakwah membuktikan penyedaran nilai-nilai Islam berjaya dengan cemerlang hasil peranan ulama dakwah dan tokoh sufi.
Pada abad 18 dan 19, umat Islam ditindas oleh penjajahan sama ada dari segi politik atau ekonomi. Namun begitu agama Islam terus berkembang hasil aktiviti dakwah. Kekuatan dakwah membuktikan bahawa Islam dapat mengalahkan kekuasaan jahiliah sepertimana Nabi Musa yang dapat mengalahkan Fir’aun yang memiliki segala kekuatan ketenteraan, kehebatan politik dan dakyah. Kalau Nabi Musa berfikir sebagai pemimpin siyasah sudah tentu Nabi Musa tidak mampu untuk menentang Fir’aun.
Tetapi atas dasar dakwah Nabi Musa dapat menewaskannya. Abu Hassan al-Nadwi dalam bukunya Tarshid Sahwah al-Islamiah (Panduan-Panduan Kebangkitan Islam) menjelaskan bahawa pendakwah hendaklah lebih banyak bersifat positif dari bersifat negatif, mendahulukan prinsip menyampaikan nilai-nilai iman kepada pemerintah dan membawa mereka kepada naungan Islam serta melaksanakan peraturan Islam dalam kehidupan mereka dari bergesa-gesa meletakkan ahli-ahli gerakan islah kepada tampuk pemerintahan.Dengan kekuasaan dakwah, Islam tersebar di alam Melayu, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman dan negara-negara lain di Eropah.
Semasa penulis berbincang dengan Rached al-Ghannaushi dalam beberapa siri pertemuan semasa lawatannya ke Malaysia pada 2 – 15 September 2002, beliau menegaskan betapa pentingnya gerakan Islam berkongsi kuasa dengan pihak pemerintah walaupun ia adalah sekular mahupun komunis. Beliau menganggap pergerakan Islam tidak perlu berkeras untuk memegang tampuk pemerintahan dan berkuasa penuh apatah lagi perkara tersebut mengakibat perang saudara dan pepecahan dan kekacauan yang parah.
Perkara yang menjadi masalah besar kepada umat Islam kini adalah perebutan kuasa (sultah).Jalan keluar dari masalah ini ialah perkongsian kuasa (power sharing) walaupun gerakan Islam tidak berada di hadapan. Memadai penyertaannya dalam kerajaan dengan kadar yang dianggap tidak menggugat kepentingan-kepentingan besar negara. Apa yang perlu ialah ruang yang membolehkan mereka bergerak dan bekerja terutama sekali dalam rangka membangun masyarakat awam/madani (civil society).
Antara pergerakan yang telah mengadakan perkongsian kuasa ialah di Yaman, Jordan dan Bahrain. Perkongsian kuasa bererti saling mengakui peranan satu sama lain, antara kerajaan dan pelbagai pergerakan Islam dan pergerakan lain termasuk komunis. Yang penting semua pihak mesti menghormati undang-undang dan mengelak menggunakan kekerasan untuk mendapatkan kuasa. Semua pihak perlu membiarkan rakyat menentukan parti mana yang mereka mahu dan memilih untuk memimpin negara. Perkongsian kuasa ini memberi jalan tengah untuk mengelakkan krisis yang berpanjangan sesama umat Islam. Apa yang terjadi ialah parti pemerintah ingin terus mempertahankan kuasa dan parti pembangkang pula mesti menjatuhkan parti pemerintah untuk berkuasa. Akibatnya, umat terbelah dua sehingga melarat kepada pertumpahan darah yang tragis seperti yang berlaku di Algeria dan Syria.
Konflik di antara gerakan Islam dengan kerajaan dengan menggunakan kekerasan tidak menguntungkan umat Islam sendiri. Secara pragmatik, gerakan Islam terus kecundang dan tidak berjaya seperti berlaku di Syria. Gerakan Islam perlu menggunakan cara aman. Ia mesti menolak sebarang aktiviti yang berunsur kekerasan atau gerakan revolusi.
Sikap keras Parti Refah di Turki telah menyebabkan kuasa yang diperolehinya dirampas kembali oleh tentera. Ikhwan Muslimun Mesir berhadapan dengan tentangan yang hebat dari pihak pemerintah, tetapi pemimpinnya menolak untuk terlibat dalam sebarang bentuk kekerasan. Pemerintah memang mahukan supaya gerakan Islam Mesir masuk ke gelangang pertarungan kerana mereka yakin bahawa mereka berkemampuan untuk mengalahkan pergerakan Islam. Sebenarnya, arena pertarungan gerakan Islam ialah pemikiran dan idea yang mampu memberi kesan besar kepada orang awam.
Gerakan Islam harus berusaha mengurangkan ketegangan dengan mencari titik-titik pertemuan untuk bekerjasama supaya dapat mengelakkan sebarang konfrontasi sedapat mungkin.
Rached al-Ghannuashi menasihatkan kepada pemimpin gerakan Islam di Malaysia khususnya supaya tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan kuasa politik penuh walaupun mereka berhak untuk berbuat begitu. Ini bukan kerana kita perlu menjauhkan diri daripada tampuk kekuasaan, tetapi suasana antarabangsa kini menyebabkan penguasaan tampuk kekuasaan dengan kekuasaan yang penuh itu memungkinkan berlaku perang saudara atau menyebabkan gerakan Islam langsung terpinggir atau dipukul hingga sukar untuk bangun kembali seperti yang berlaku di Algeria dan Sudan. Di Sudan, gerakan Islam telah mencapai kekuasaan penuh tetapi gagal apabila ia ditekan dan dihimpit oleh pihak antarabangsa yang menyebabkan ia lemas da tidak dapat melakukan apa-apa.
Seterusnya beliau menyebutkan : “ Gerakan Islam sepatutnya tidak menjadikan penubuhan kerajaan sebagai keutamaan. Pengambilalihan kerajaan sepatutnya tidak menjadi pencapaian terbesar gerakan Islam. Pencapaian yang lebih besar adalah apabila masyarakat cintakan Islam dan pemimpinnya. Keseluruhan aktiviti kita seharusnya berdasarkan kepada contoh negara Islam yang diasaskan oleh khalifah Umar Abdul Aziz yang hanya memerintah selama dua tahun berbanding khalifah-khalifah sebelum beliau. Walaupun pemerintahannya singkat tetapi beliau telah banyak melakukan perubahan. Pemerintahan beliau meninggalkan kesan ke atas sanubari setiap muslim dan diingati hingga sepanjang zaman. Isunya bukan selama mana seseorang itu memerintah tetapi apakah sumbangan yang dilakukan oleh seseorang itu sepanjang pemerintahannya.” (Risalah, Bil. 5, Oktober 2001, hal. 14)
Sebagai pendokong gerakan Islam, kita mesti yakin bahawa usaha ini merupakan usaha murni. Yakinlah bahawa satu hari nanti perpaduan dan perkongsian kuasa akan berlaku. Perpaduan dan perkongsian kuasa ini menguntungkan umat Islam keseluruhannya. ABIM berperanan untuk mengerah tenaga dan fikiran untuk mencari formula terbaik yang berasaskan semangat “lupakan yang keruh, ambil yang jernih” dan semangat tolak ansur dan berlapang dada demi kelangsungan ummah yang tercinta sepertimana yang telah belaku pada zaman Tun Razak dan Datuk Mohd Asri Muda pada awal 70an.
Sering kali orang mencurigai usaha ABIM malah tak kecil bilangan orang yang menyindir usaha murni ini dengan mengatakan ABIM menjadi alat politik atau mempunyai agenda tersembunyi. Dalam hal berkaitan, Sdr Ahmad Azam Presiden ABIM menyatakan bahawa kita harus mengambil sikap positif dan tidak selamanya kita boleh menipu orang. Kalau ada agenda tersendiri sudah tentu kedua-dua pemimpin parti terbesar yang banyak berpengalaman lebih mengetahui dan mencium agenda kita. (Utusan Malaysia, 25 Mei 2002)
Dalam bahasa yang lain, tidakkah pemimpin yang telah berkecimpung dalam arena politik puluhan tahun mudah diperdayakan oleh kita. Sudah tentu hati kecil mereka juga mahukan melihat kesatuan ummah.
ABIM sebagai Gerakan Tajdid dan berkonsepkan amal jama‘iyy
Penulis menegaskan bahawa ABIM merupakan gerakan tajdid yang ingin membebaskan manusia dari belenggu hidup yang penuh kemelut kepada ketenangan hidup yang mengabdikan diri kepada Allah. Rangkaian tajdid ini adalah berbentuk jamaah dan bukan lagi berbentuk perseorangan. Oleh demikian, gerakan tajdid merupakan satu bentuk kolektif seperti pandangan-pandangan yang diberikan oleh Yusuf al-Qardhawi, Muhammad al-Ghazali, Muhammad Imarah dan lain-lain.
Menurut al-Qardhawi, mujadid pada zaman kini berkonsepkan mujadid kolektif yang dijalankan oleh sebuah kekuatan organisasi yang mempunyai ciri-ciri dan semangat tajdid. Oleh yang demikian, setiap individu boleh turut menyumbang terhadap usaha tajdid dan memenuhi cita-cita islami tersebut. Seseorang tidak mampu untuk bekerja seorang diri dalam skala yang besar. Kekuatan dan keteguhan diperolehi secara kolektif, bukan secara individu. Manusia akan menjadi lemah apabila berseorangan tetapi akan menjadi kuat apabila berjamaah. Oleh itu, walaupun Nabi Musa seorang yang kuat dan terpercaya masih berdoa kepada Tuhan agar diberi keteguhan dan kekuatan dengan bantuan saudaranya, Nabi Harun. (Min Ajl Sahwah Rashidah,Dar al-Wafa’, Kaherah, 1995, hal. 11)
Abdullah Nasih Ulwan juga menegaskan kepentingkan amal jama‘iyy sebagai usaha dakwah yang amat berkesan dan setiap ahlinya mempunyai keterikatan dalam berorganisasi, tindakan dan pemikiran, di samping mendidik individu dengan sifat-sifat akhlak yang mulia dan keputusan berdasarkan syura. (Bayna al-Amal al-Fardi wa al-Amal al-Jama‘iyy, Dar al-Salam, Kaherah, 1988, hal. 44) Anehnya, banyak orang yang bergiat dalam dakwah secara persendirian sedangkan ia mengetahui perkara tersebut tidak sedikitpun membawa banyak hasil ataupun ia berada dalam jamaah tetapi mengambil keputusan sendiri. Akibatnya timbul pelbagai masalah dan suasana perpecahan di kalangan umat yang mengakibatkan perpecahan fikrah. Dakwah secara persendirian (infiradiyyah) ini akan menyumbang ke arah sifat emosional dan tidak bertanggungjawab.
Mereka cenderung berdakwah mengikut emosi dan tidak berdasarkan perencanaan yang baik. Di samping cenderung untuk dikenal oleh masyarakat, mereka mudah merasa diri mereka hebat kerana kejayaan hasil usaha dakwah mereka dan sering kali tiada orang yang memberi nasihat apabila berlaku kesalahan. Hebat dengan ukuran banyaknya undangan ceramah dan banyak orang yang mendengar ceramahnya. Akibat dari perasaan hebat ini juga, mereka meremehkan usaha orang lain. Amal jama‘iyy merupakan sunnahnya makhluk terhadap pelaksanaan aktiviti kehidupan.
Dengan amal jama‘iyy maka manusia mampu untuk meneruskan kehidupan secara sempurna sebagai makhluk. Tanpa amal jama‘iyy, maka masalah tidak dapat diselesaikan dan dakwah semakin terhimpit.
Maksud amal jama‘iyy ialah sesuatu perkara yang diputuskan oleh jamaah yang berorganisasi selaras dengan manhaj yang telah ditentukan, bertujuan untuk mencapai matlamat yang tertentu. Maka ciri-ciri amal jama‘iyy adalah seperti dibawah :
1.Sesuatu aktiviti atau tindakan yang hendak dijalankan haruslah bersumberkan dari keputusan atau persetujuan jamaah.
2. Disyaratkan jamaah itu mempunyai peraturan dan lembaga pergurusan yang tersusun rapi.
3. Hendaklah sebarang kegiatan yang diputuskan selaras dengan dasar dan strategi atau pendekatan yang telah digariskan oleh jamaah. Keputusan dan tindakan yang hendak dijalankan itu hendaklah bertujuan untuk mencapai matlamat dan cita-cita gerakan yang telah ditetapkan. (Amal Jama‘iyy, Pustaka Ikhwan, Alor Setar, 1985, hal. 11) Penutup
Umat Islam perlu menguatkan iltizam dan memperkukuhkan dirinya dalam mempelopori perubahan dan mendepani cabaran-cabaran semasa dengan bijaksana. Kita harus merasa bertuah dan bangga kerana berada dalam saf tajdid dalam isu wahdatul ummah ini. Keazaman kita menjadi sumber kekuatan dalam merentasi permasalahan ini dan kita tidak harus membiarkan diri kita terseret dalam kancah perselisihan yang meremehkan. Gerakan Islam dan ABIM khususnya juga harus melakukan ijtihad siyasi dengan lebih berani dengan eksperimen-eksperimen baru gerakan Islam.
ABIM perlu meningkatkan kewibawaan dan imej sehingga semua pihak merasakan kehadiran ABIM sebagai pemersatu ummah. Ini merupakan tanggungjawab terpenting kepimpinan ABIM sekarang. ABIM menyakini bahawa kekuasaan dakwah merupakan jalan terbaik serta teras untuk penyatuan ummah dan penyedaran nilai-nilai Islam dalam masyarakat Malaysia. |