Minda Madani Online

MINDA MADANI Online, menyediakan medium bagi tujuan penyaluran maklumat serta penyebaran pemikiran-pemikiran segar mengenai dakwah, pembinaan keperabadian Muslim dan asas-asas Tarbiah Islamiah. Kesemua artikel dan pendapat yang disiarkan di dalam laman sesawang ini tidak semestinya mencerminkan pendirian ABIM.

Visitors Counter

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday188
mod_vvisit_counterYesterday431
mod_vvisit_counterThis week2459
mod_vvisit_counterThis month9055
mod_vvisit_counterAll177413

Artikel Pilihan

Memahami Islam Dalam Perlembagaan Malaysia - Oleh Khairil Anuar Ramli

islam dalam perlembagaan

Ketetapan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam Perlembagaan Negara bukanlah satu kebetulan yang dilakukan secara tidak sengaja oleh mereka yang merundingkan Kontrak Sosial lebih lima puluh tahun yang lampau. Ia adalah pernyataan tegas oleh semua yang telah berperanan merundingkan proses kemerdekaan. Ia adalah rumusan yang telah mengambilkira latar belakang sejarah, dinamika budaya tempatan, ciri-ciri ketamadunan dan ketatanegaraan di Persekutuan Tanah Melayu. Ketetapan ini tidak pernah menolak keperluan mana-mana anggota masyarakat yang lain untuk menghayati mana-mana agama yang menjadi anutannya.

Peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan ini merupakan salah satu dari tujuh ciri-ciri asas Perlembagaan Negara sepertimana yang dicatat oleh Tun Mohamed Suffian, bekas Ketua Hakim Negara (1974-1982).  Menurut beliau, “The fourth basic feature of theConstitution providing for Islam to be the religion of the federation (Article 3(1)) (not for a theocratic state) and at the same time guaranteeing freedom of religion was accepted without controversy and debate.

 

 
Fiqh al-Awlawiyyat dalam Dakwah : Harapan dan Cabaran Kepada Generasi Serantau PDF Print E-mail

Oleh: Mohd Rumaizuddin Ghazali
Exco Dakwah ABIM

[Kertas Kerja ini dibentangkan di Seminar Pemerkasaan Belia Islam Serantau pada 2 Disember 2004 di Dewan Asrama Malaysia, Abbasia, Kaherah Anjuran MBM, YADIM, YPEIM, INMIND, ABIM-Mesir dan Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah.]

Mukadimah

Generasi muda merupakan asset negara terpenting. Kebangkitan Islam bermula dari golongan muda yang berperanan di sekeliling nabi Muhammad. Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali adalah para sahabat yang muda ketika memeluk agama Islam dan berperanan meneruskan kesinambungan perjuangan rasul. Oleh demikian, generasi muda perlu kepada agenda bertindak untuk menjayakan pembinaan tamadun yang cemerlang dan terbilang. Dalam abad ini terdapat sarjana barat mengakui kebangkitan Islam di mana-mana seperti George Bernard Shaw, Arnold Tonybee yang mengatakan Islam adalah gelombang Dunia masa depan dan penganti kepada kejatuhan tamadun Barat. Antara pengkaji Barat yang begitu optimis dengan rantau Melayu ini seperti John O. Voll, John L. Esposito, Robert W. Hefner, Georg Stauth dan R. William Roff. Para pengkaji tersebut melihat cabaran terbesar adalah mewujudkan masyarakat dan negara yang moden dengan ciri-ciri yang tersendiri. (modernization of state and society).
 
Mengapa Rantau Alam Melayu

Sejak akhir-akhir ini, Dunia Melayu telah menjadi tumpuan dunia sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial dan agama. Dari segi sejarah, Melaka dan Asia Tenggara ini pernah mejadi pusat perdagangan dunia antara abad ke 14 hingga ke abad 17. Di samping itu, dunia Melayu ini mempunyai semua agama besar ada di dalamnya, ratusan bangsa dan etnik hidup bermuafakat dan dialog peradaban dan agama berkembang subur sejak berkurun lamanya. Pasai, Banjar, Acheh, Palembang dan Patani merupakan pusat penyebaran Islam yang terkenal pada masa dahulu.

Sejak tahun 1980an, beberapa buah negara Asia Tenggara telah menjadi negara industri dengan peningkatan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Dari segi politik dan agama, Asia Tenggara menjadi tumpuan selepas peristiwa 11 September dengan runtuhnya World Trade Centre di Amerika Syarikat. Dunia barat menuding jari dan berusaha mencari bukti bahawa Asia Tenggara adalah kawasan tersebarnya jaringan pengganas antarabangsa. Walaupun begitu, dari segi akademik dan intelektual, penduduk Asia Tenggara semakin matang dan banyak universiti-unversiti yang mengadakan pengajian Asia Tenggara. Malik Bennabi pernah menyebutkan bahawa kebangkitan tamadun abad 20 akan diterajui oleh dunia Melayu-Islam . Beliau membahagikan dunia Islam kepada dunia Afrika, dunia Arab, dunia Iran (Parsi, Afghan dan Pakistan), Dunia Melayu (Malaysia dan Indonesia) dan dunia kuning (Mongolia dan China). Ternyata dunia Melayu sebagai entiti sosial budaya telah mendapat pengakuan dunia. Oleh itu, golongan belia rantau ini perlu dibimbing dan diberi pengarahan yang betul supaya gagasan yang dirancang dapat disempurnakan dengan baik.
Kejayaan dakwah Islamiah di rantau Melayu berkait dengan faktor kerjasama erat ulama-pemerintah. Kejayaan dakwah tidak mungkin berlaku tanpa penglibatan ulamak dan sukar berjaya tanpa dukungan kuasa. Demikianlah umumnya kejayaan dakwah di alam Melayu yang dilatari oleh tradisi ulama-umarak.

Faktor kedua ialah fenomena kegiatan keilmuan yang aktif dan merata ada kaitannya dengan pulangnnya graduan al-Haramayn dan al-Azhar yang berperanan menjalankan dakwah ketika pertembungan dengan kuasa-kuasa penjajahan yang semakin mengasak. Ancaman penjajahan dan missionnari Kristian telah menimbulkan kepesatan amal Islami : pendidikan dan pendakwahan. Penubuhan sekolah agama dan pondok yang menjadi benteng kepada ancaman tersebut. Dunia keintelektualannya sentiasa terdedah dengan pemikiran ilmuwan besar Dunia Islam. Khazanah keintelektualan Melayu tidak cuma mempunyai sastera lipur lara tetapi meliputi juga terjemahan dan saduran karya-karya besar al-Baydhawi, al-Nawawi, al-Mawardi dan lain-lain di samping karya-karya asli ulamak Melayu.

Harapan kepada alam Melayu ialah potensi umat Islamnya iaitu :

1. Kadar pertumbuhan penduduk yang tinggi seperti di Indonesia. Malahan alam Melayu mempunyai lebih 250 juta umat Islam. Dengan memiliki jumlah penduduk muslim terpadat bererti rantau ini adalah paling kaya dengan sumber tenaga manusia Muslim. Andainya kekuatan ini dapat digemblengkan dan dimanfaatkan secara maksima dan bijaksana, rantau ini mampu mencipta pencapaian-pencapaian yang besar dan cukup bererti. Di samping itu, bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca adalah bahasa Islam yang terbesar.

2. Kemakmuran dan ekonomi yang baik : Umumnya mengetahui Malaysia, Brunei merupakan antara negara Islam yang mempunyai telaga minyak yang banyak. Jika negara-negara ini dapat menyalurkan hasil pendapatan minyak untuk kepentingan umat Islam secara strategik, tentu ini akan menjadi potensi ke arah kemakmuran umat Islam.

3. Kepimpinan umat Islam dan pertubuhan dakwah berkembang subur. Ramainya para ulamak dan intelektual yang berwibawa serta institusi-institusi Islam semakin banyak. Mereka saling berkerjasama demi membangunkan umat Islam. Umat Melayu juga digolongankan sebagai umat yang taat beragama dan setiap tahun jumlah jemaah haji dari rantau ini adalah yang terbesar.

4. Semangat jihad kental dan tinggi. Orang-orang Melayu-Islam terkenal dengan ruhul jihad yang tinggi dalam mempertahankan akidahnya. Namun penghayatan Islamnya tetap moderat dan tidak anti-Barat yang melulu.

5. Kedudukan geografi yang strategik. Ia merupakan tempat pertemuan dan jembatan antara negara Timur dan Barat. (the crossing place and bridge of civilization). Ia dianggap penting kerana kedudukan strategik di Asia Timur dan Lautan Hindi. Dalam sejarahnya, Dunia Melayu menjadi cultural –meeting pot dengan menjadikan kancah pertembungan dan pengaruh great traditions agama dan tamadun besar dunia.

Mendekati rantau Melayu dengan sebuah pandangan optimistik bukanlah sesuatu yang berlebihan.Kebangkitan Islam yang muncul sejak dua dekad yang lalu di kawasan in, terutama di Malaysia dan Indonesia menjadi teras utama dalam masyarakat dan pemerintahan.Berbeda dengan Timur Tengah yang cenderung kepada radikal, militan, Islam di dunia Melayu memiliki ciri-ciri yang kondusif bagi perkembangan demokrasi dan cita-cita masyarakat madani, plural, moderat, multikultur dan kuatnya pegangan agama dalam masyarakat moden.

Konflik ras, etnik dan agama bukanlah cirri asli masyarakat dunia Melayu melainkan hanya perasaan kekecewaan masyarakat terhadap pemerintahan setempat yang bersifat sementara. Dunia Melayu dapat diandalkan untuk menunjukkan kembali cirri aslinya yang damai dalam pola kehidupan sosial yang harmonis. Kehidupan dan khazanah kebudayaan serta kerukunan yang pernah dikecapi selama ini akan terwujud kembali beriringan dengan pembinaan tamadun. Ciri dasar multibudaya, etnik dan agama dan pengalaman toleransi yang panjang dunia Melayu ini akan tetap menjadi dasar yang kuat bagi setiap agama untuk mengembangkan pengaruhnya dan bagi Islam khususnya, ia merupakan peluang terbaik untuk memimpin tamadun dunia.


Kebangkitan Umat Melayu-Islam Kini.

Sesuatu bangsa akan kekal dan mencapai tahap kecemerlangan apabila mereka mempunyai jati diri yang tinggi. Berbicara tentang bangsa bukan bermaksud memperjuangkan asabiyyah yang sempit tetapi ia merupakan perjuangan yang suci apabila ia dikaitkan dengan agama Islam dan menegakkan akhlak yang murni didalamnya. Berpuak-puak serta bangsa-bangsa merupakan sunnatullah. Sebagaimana manusia itu terdiri daripada lelaki dan perempuan, selagi itulah manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku. Firman Allah yang bermaksud : “Wahai manusia, sesungguhnya kami ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal –mengenal” (al-Nisa’ 1)

Oleh itu, tiada kesalahan apabila berbicara mengenai sesuatu bangsa apabila ia menjadikan nilai-nilai Islam sebagai wahana terpenting kebangkitan bangsanya. Apatah lagi sejarah telah membuktikan bahawa identiti jati diri bangsa Melayu yang kekal sehingga hari ini disebabkan dua faktor terpenting iaitu bahasa Melayu dan agama Islam. Perlembagaan Persekutuan Malaysia (fasal 160) memberi takrif Melayu adalah seorang yang menganuti agama Islam, lazimnya bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam adat Melayu. Perkara ini dibuktikan oleh Hakim Datuk Faiza Tamby Chik yang menjelaskan bahawa seorang yang berketurunan Melayu haruslah kekal dengan agama Islamnya sehingga mati. Beliau berkata demikian ketika menolak permohonan isytihar murtad wanita Melayu Azlina Jailani.

Hamka mentakrifkan Melayu sebagai setiap orang yang berbahasa Melayu, berfikir, merasa, menangis dan ketawa, tidur dan bangun dalam bahasa Melayu. Takrif Melayu dalam perlembagaan Malaysia dicirikan sepenuhnya oleh agama Islam dan kebudayaannya. Melayu tidak lagi dicirikan oleh darah dan daerah tetapi oleh agama Islam, bahasa Melayu dan adapt resam melayu yang pada asasnya telah mengalami proses pengislaman. Identiti keisalaman Melayu diperlihatkan menerusi pelbagai budayanya, menerusi nama, pakaian, sastera, tradisi ilmu, seni suara dan cabang-cabang lain.Kebudayaan Melayu pada asasnya adalah kebudayaan Islam.

Maksud memperkukuhkan jati diri ialah memantapkan keimanan sehingga timbul jiwa merdeka, jiwa yang bebas dari belenggu hamba abdi sesama manusia. Dia mengakui keesaan hanya kepada Allah dan kekuasaan sepenuh miliknya jua. Keimanan ini merupakan kemerdekaan yang paling tinggi dn sejati. Kemerdekaan jiwa yang menumbuhkan kepercayaan diri. Menurut Hamka, Islam yang menjadi teras kepada kekuatan umat Melayu dan menjadi pemersatu yang mendasari semangat kebangsaan. Sekiranya kemerdekaan itu tidak berteraskan iman dan budi, nescaya akan runtuh kemerdekaan itu dari dalam. Dengan keimanan ini kita tidak merasa naïf dan lemah untuk bersaing dengan mana-mana bangsa di atas dunia ini. Malahan kita membawa mesej rahmat untuk seluruh alam sebagaimana yang telah dilakukan para sahabat.

Pengukuhan jati diri juga bermaksud meneguhkan amalan amar ma’ruf dan mencegah kemungkaran dalam masyarakat yang yang disebut dalam surah Ali Imran ayat 101. Ayat tersebut menjelaskan bahawa bangsa cemerlang ialah mereka menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Perkara ini membawa erti kekekalan sesuatu bangsa bergantung kepada pembaikan yang berterusan dan perubahan ke arah terbaik sama ada dari segi kebendaan dan kerohanian. Dari segi kebendaan, masyarakat tersebut mencapai tahap melebihi keselesaan sementara dari segi kerohanian telah mencapai kebahagiaan dan ketenteram jiwa.

Allah s.w.t tidak menjamin sesuatu bangsa akan kekal hanya berasaskan mereka adalah peribumi yang menempati tanah pusaka nenek moyang. Sudah banyak umat yang terusir dari tanahair, malah ada yang telah pupus di dunia ini. Pewaris yang layak mewarisi bumi ini adalah orang-orang yang soleh, yang memiliki sejumlah sifat keunggulan menurut piawaiaan Tuhan. Perkara ini merupakan ketetapan Tuhan dengan firmannya yang bermaksud : “Dan sesungguhnya telah kami tulis di dalam zabur sesudah (kami tulis di dalam) Lauh al-Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaku yang soleh.”( al-Anbiya’ 105)

Sejarah telah membuktikan bahawa hakikat unggul atau hancurnya sesuatu bangsa bergantung kepada perilaku moral dan akhlak yang mereka lakukan. Allah yang berkuasa menghancurkan mereka dengan cara apa sekalipun apabila kebejatanm moral sampai ketahap puncaknya. Demikianlah yang terjadi kepada kaum Lut, penduduk Madyan, kaum ‘Ad dan kaum Thamud yang ditimpa azab oleh Allah. Pembinasaan itu bukan penganiayaan Tuhan ke atas manusia, tetapi akibat dosa-dosa mereka sendiri. Dengan kata lain, apabila mereka berleluasa melakukan kekufuran, kemaksiatan dan kejahatan, bererti mereka menzalimi diri sendiri dan menempah kehancuran. Apabila Tuhan mengatakan , “ Maka tiap-tiap (mereka itu) kami seksa disebabkan dosa-dosanya.” (al-Ankabut 40), ‘Kemudian kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri” (al-An’am 6). Maka ayat-ayat ini memberi mesej bahawa masyarakat yang akan binasa ialah masyarakat yang sudah hilang kesedaran tentang dosa yang mengakibatkan meluasnya kemungkaraan, pembaziran dan penipuan.

Perkara penting dalam memperkukuhkan jati diri bangsa Melayu ialah pembudayaan ilmu. Bangsa Melayu harus berusaha menjadikan ilmu pengetahuan sebagai asas budaya bangsanya. Bangsa Jepun dan Eropah berjaya maju kerana mereka mematuhi peraturan alam. Mereka berusaha dan bekerja keras, mengkaji dan menyelidik alam tabii secara terus menerus. Pengetahuan berhubung alam adalah sesuatu yang harus dicari dengan menggunakan kekuatan akal yang diberikan oleh Allah. Bangsa Melayu perlu membina tradisi intelektual yang kukuh dengan mengali khazanah ilmu silam dan digabungkan dengan tradisi ilmu semasa. Perlu ada perdebatan ilmu yang terbuka dan sihat supaya tradisi tersebut berkembang subur dan bersifat demokratik dan relevan dengan masyarakat. Akhirnya, akan lahir bangsa Melayu yang berfikir secara saintifik, terbuka dan bertindak berdasarkan ilmu.

Pengukuhan jati diri Melayu juga bererti disiplin yang tinggi yang ditegakkan atas kesedaran diri sendiri. Disiplin merupakan pra syarat bagi kelancaran pembangunan yang bertanggungjawab. Islam menuntut tegaknya disiplin dalam kehidupan manusia dalam satu kerangka kerja besar dan tujuan yang jauh. Kerja besar itu ialah usaha yang dilakukan secara berencana, serius dan terus menerus bagi melahirkan masyarakat yang harmonis. Mereka perlu melakukan kerja-kerja yang bernilai iaitu bernilai di hadapan Allah dan bernilai di depan sejarah. Kerja yang bernilai adalah kerja yang dilatari atas landasan keimanan dan niat yang tulus ikhlas kepada Tuhan. Kerja-kerja lain yang kelihatan besar dan hebat tapi tanpa iman adalah sia-sia.

Setiap masyarakat mempunyai world-view dan falsafah tersendiri tentang hidup.World view ini mempengaruhi individu dalam menentukan kehidupan masa depan mereka. Kepada kehidupan orang-orang Melayu, Islam merupakan world view hidupnya. Mereka mahu hidup dan mati sebagai seorang Islam.Oleh itu, mana-mana individu yang menolak Islam akan disisih dan mereka yang melanggar syariat merupakan suatu kesalahan dan masyarakat memandang serius perkara tersebut. Islam memainkan peranan penting dalam masyarakat orang-orang Melayu dan paling kurang mereka menyedari batas-batas akhlak yang bersesuaian dengan kehendak ajaran Islam. Walaupun orang-orang Melayu menghadapi pengaruh luar yang hebat, tetapi asas Islam tetap menjadi pegangan hidup mereka. Bagi orang-orang Melayu, Islam merupakan jalan penyelesaian dalam menghadapi cabaran dan dugaan hidup.

Siddiq Fadhil melihat bahawa perubahan dalam bangsa Melayu-Islam memerlukan kehadiran pemimpin yang berwibawa dalam ertikata mempunyai kekuatan intelektual, ketajaman analisis, menyedari perubahan-perubahan sekitar dan berwawasan.Pemimpin sedemikian mampu untuk melakukan perubahan sekaligus dapat memajukan bangsanya. Ini kerana pemimpin yang berkesan mendapat komitmen dan dukungan dengan penampilan diri sebagai contoh kecemerlangan menerusi sikap yang beretika, terbuka, memberi kekuatan kepada para pengikut serta mampu menjadi inspirasi kepada orang ramai.

Menurut Wan Hashim Wan Teh bahawa semangat kerjasama yang tinggi dan rasa kekitaan ialah unsur yang penting dan pra syarat untuk sesuatu komuniti membina sebuah tamadun. Di Malaysia, nasionalisme atau semangat kebangsaan telah membantu orang Melayu mencapai beberapa kejayaan awal seperti menuntut kemerdekaan dan memartabatkan bangsa, bahasa dan kebudayaan Melayu di tempat yang sewajarnya. Di samping, pegangan agama dan penghayatannya amat penting dalam kelansungan hayat sesebuah tamadun untuk berdiri tegak dalam suatu jangka masa yang panjang. Nilai-nilai Islam dapat memacu masyarakat Melayu ke arah kemajuan material dan rohaniah yang seimbang. Islam harus digunakan untuk mencipta kejayaan hidup di dunia di samping membuat persediaan yang mencukupi untuk hidup di akhirat. Pegangan kepada agama dapat menguasai individu atau kelompok manusia daripada alpa dan lalai dibuai kemewahan, bersifat individualisme dan egoisme.

Bagi Mahathir Mohamad, kemunduran orang Melayu disebabkan pengaruh keturunan dan alam sekitar. Kedudukan muka bumi yang mendatar dan alam sekeliling yang mudah menyebabkan orang Melayu dalam keadaan senang dan mudah berbanding dengan kaum Cina yang hidup dalam geografi gunung ganang, bencana alam dan memerlukan kecekalan untuk terus hidup. Walaupun begitu, kenyataan Mahathir ini mendapat pelbagai reaksi. Menurut Syed Husein Alatas, kemunduran sesuatu kaum bukan disebabkan faktor keturunan dan alam sekitar tetapi lebih kepada faktor kepimpinan, pengaruh penjajahan, kurang kesedaran umum terhadap persoalan peningkatan produksi pertanian dan pendidikan akibat penjajahan, tidak ada ahli fikir Melayu yang kuat dan berpengaruh serta berlaku rasuah di kalangan pembesar-pembesar yang menyentuh kepentingan masyarakat. Menurutnya, kebudayaan Melayu berdasarkan atas nilai-nilai yang beradab dan bersifat kemajuan.Keburukan-keburukan yang terjadi adalah penyelewengan-penyelewengan semata-mata yang terdapat di seluruh masyarakat di dunia.Kebudayaan Melayu menganjurkan unsur rajin bukan mengutamakan unsur malas Kemajuan sesuatu masyarakat banyak bergantung kepada kepimpinan masyarakat dan ideologi yang mengerakkannya. Namun, Mahathir juga percaya agama Islam memainkan peranan dalam memajukan bangsa Melayu. Menurut Mahathir, kemajuan bangsa Melayu hendaklah selari dengan ajaran Islam. Mana-mana pihak yang ingin membawa kemajuan bangsa Melayu dengan membelakangkan nilai-nilai agama tidak akan berjaya.

Hashim Musa berpendapat ada tiga kekuatan Melayu yang boleh membantunya ke arah pembinaan kembali tamadun Melayu Islam ke taraf dunia iaitu kedinamikan budaya Melayu; sejarah tamadun Melayu membuktikan dengan jelas betapa dinamiknya budaya Melayu yang terletak di tengah-tengah persimpangan jalan antara dunia Timur dan Barat yang selama ribuan tahun secara tekal dan malar senantiasa terbuka, proaktif, mampu dan boleh menyerap dan mengadaptasikan unsur-unsur positif dari luar demi pembangunan dan pengukuhannya. Kedua; kekuatan agama Islam anutannya yang dijanjikan keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ketiga; konsep Melayu bukan merupakan entiti etnik, ras, suku, kaum atau keturunan, tetapi satu entiti budaya (a cultural entity) yang merangkumi pelbagai etnik, suku kaum dan keturunan, asalkan semua itu tercerna dan terjelma dalam tiga ciri teras budaya Melayu iaitu berbahasa Melayu, beragama Islam dan beradat resam Melayu. Ketiga-tiga asas kekuatan Melayu itu telah menjadikan orang Melayu benar-benar sebuah kabilah dunia yang kosmopolitan dan global.

Al-Maududi mengariskan empat perkara asas dalam mengekalkan kekekalan sesuatu bangsa iaitu pertama ketaqwaan kepada Allah. Hanya ketaqwaan kepada Allah sahajalah yang dapat menjamin daripada seseorang perbuatan keji dan dosa serta memandunya ke jalan yang benar. Ketaqwaan kepada Allah sahajalah benih yang akan menyuburkan kebenaran, keadilan, daya tahan dan segala bentuk kebaikan yang lain yang menjadi asas kepada keamanan, kemajuan dan kekekalan bangsa. Apabila ketaqwaan sudah hilang dalam diri manusia, ia akan mengakibatkan berlakukan kemungkaran, kekejaman, rasuah dan semua bentuk kemusnahan dalam dunia ini. Kedua kepatuhan kepada panduan Ilahi dengan mengikut segala perintah dalam al-Quran dan al-Sunnah. Sikap tidak menghiraukan petunjuk Ilahi akan menyebabkan keruntuhan moral. Akibatnya mereka bertindak diluar batasan kemanusiaan dalam mencapai matlamatnya. Ketiga penyusunan masyarakat yang berteraskan kepada prinsip-prinsip kesamaan status dan hak semua umat manusia. Bukan di atas prinsip yang mengawal kepentingan diri dan kelas-kelas kasta dalam masyarakat. Setiap orang berpeluang meningkatkan perkembangan potensi diri. Keempat menggunakan sepenuhnya segala sumber kekayaan dan potensi kekayaan untuk memakmurkan negaranya. Mereka mengeluarkan zakat dan bersedekah merupakan budaya bangsanya. Inilah empat elemen terpenting dalam memperkasakan jati diri bangsa yang ingin kekal di dunia ini.

Kepentingan Keutamaan dalam Kehidupan Umat Islam

Fiqh keutamaan (fiqh al-Awlawiyyat) iaitu fiqh urutan keutamaan yang memerlukan kita mengetahui perkara yang mesti didahulukan apabila melaksanakan sesuatu perkara dalam kehidupan kita. Dengan kata lain, tidak mengemudiankan perkara yang sepatutnya didahulukan dan tiada mendahulukan perkara yang sepatutnya dikemudiankan. Kefahaman ini juga memerlukan supaya kita lebih menumpukan serta berusaha ke arah itu lebih daripada perkara yang lain.Fiqh ini juga membawa maksud sesuatu yang sewajarnya didahulukan hendaklah didahulukan dan sewajarnya dikemudiankan mesti dikemudiakan.Sesuatu yang kecil tidak perlu diperbesarkan dan sesuatu yang penting tidak boleh diabaikan. Setiap perkara mesti diletakkan di tempatnya dengan seimbang dan tepat. Kefahaman ini amat penting kerana ia dapat memberi aternatif apabila menentukan sesuatu perkara apabila ia bertembung dengan kebaikan atau kejahatan.

Keutamaan dalam al-Quran, al-Sunnah dan sirah para sahabat.

Firman Allah yang bermaksud :


"Apakah orang-orang yang memberi minum kepada orang yang mengerjakan haji dan mengurus masjidil haram, kamu samakan dengan orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah. Mereka tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim." (al-Taubah, ayat 19-22)

Ayat tersebut menegaskan bahawa orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan llah dengan harta benda dan diri mereka adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan..

Semasa nabi Muhammad dilantik menjadi al-rasul, terdapat berhala di sekeliling Kaabah. Rasulullah SAW tidak menghancurkan berhala itu sehingga tahun 9 hijrah iaitu dua tahun sebelum kewafatan baginda Rasulullah SAW. Rasulullah lebih mengutamakan berhala yang wujud dalam diri manusia sebelum menghancurkan berhala-berhala yang berada di sekeliling Kaabah. Malahan Rasulullah SAW bersama para sahabat mengerjakan tawaf untuk qada selepas perjanjian Hudaibiyah sedangkan di sekeliling Kaabah masih wujud berhala-hala ketika itu.

Para sahabat berhimpun di bani Saqifah bagi melantik ketua negara menggantikan Rasulullah lebih utama daripada memaqamkan Rasulullah SAW kerana membiarkan kaum muslimin ketika itu tanpa ketua Negara akan mengakibatkan fitnah yang lebih besar. Di sini jelas para sahabat mengikut urutan keutamaan dengan memilih ketua negara dahulu selepas itu barulah memaqamkan jasad Rasulullah SAW.

Kisah Ibn Taimiyah yang pernah ditanya mengenai amal ibadah yang yang dilakukan di Masjidil Haram dengan berjihad bagi mengawal di sempadan negara Islam.Lalu dijawab oleh Ibn Taimiyah berjihad bagi mengawal sempadan negara Islam lebih utama berbanding daripada beribadat di Masjidil Haram, mengerjakan umrah dan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan haji.

Yusuf al-Qaradawi dalam buku Sahwah al-Islamiah bayn al-Juhud wa al-Tatarruf
meyebutkan : " Antara tanda kefahaman seseorang dalam agama serta ketinggiannya, dia dapat mengetahui serta menilai kategori martabat ilmu-ilmu syariat dan meletakkannya dalam kategori yang ditentukan sama ada dalam perkara suruhan atau tegahan." (fiqh maratib al-'amal)

Melihat kepada konteks sekarang, umat Islam kehilangan fiqh al-awlawiyyat apabila tidak dapat membezakan keutamaan umat Islam pada sesuatu masa dan tempat. Pada masa kini, umat Islam yang baik hati lebih gemar menyumbang ke arah pembinaan masjid yang cantik dan yang sudah banyak masjid di kawasannya daripada menderma kepada kegiatan Islam yang lebih besar manfaatnya. Begitu juga, sejumlah orang yang pergi haji untuk kali kedua dan mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan adalah sunat. Untuk tujuan tersebut mereka mengeluarkan wang tabungan yang cukup banyak dengan mudah. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama bersama mereka ramai orang yang miskin yang memerlukan bantuan daripada mereka.Sebenrnya Allah jug tidak membebankan kewajipan haji dan umrah yang sunat atas diri mereka. Bebanannya yang utama adalah menderma untuk menguatkan lagi dakwah Islamiah di dalam masyarakatnya.Apatah lagi jikalau digunakan harta kekayaan sebagai mercu kejayaan dan mencari hobi baru yang melambangkan status barunya. Ada yang suka menunggang kuda dan sanggup membeli baka kuda terbaik dan paling mahal di seluruh dunia, ada yang gemar dengan kapal layar mewah untuk bersantai, ada yang gemar membeli-belah merentas benua, ada yang gemar membeli rumah peranginan di pulau-pulau mewah di dunia atau menghisap ceruk yang berharga sebatang RM 500.


Keutamaan dalam konteks Dakwah di Malaysia

1.Pembinaan ilmu dan kekuatan akidah

Dalam konteks masyarakat kita pada hari ini, penghayatan ilmu peru dipertingkatkan lagi sebagai usaha untuk memartabatkan ummah. Al-Quran sendiri mengalakkan ummahnya supaya ada segolongan yang tafaqquh fi al-din (mendalami ilmu-ilmu agama) dan kemudian menyebarkan ilmu dan memberi peringatan kepada kaumnya. Masyrkat yang kita hadapi kini adalah masyarakat yang terdedah dengan perubahan ilmu dan sains teknologi. Bagi menentukan kelangsungan Islam, keupayaan kita melakukan kaji-selidik, menghasilkan khazanah rujukan yang baik menjadi asas yang fundamental dalam mengembangkan idea dan gagasan. Di samping itu, fahaman-fahaman kebendaan seperti materialisme, liberalisme, kapatalisme dan falsafah Barat mencengkam akidah umat Islam.Oleh itu, usaha-usaha memperkasa akidah harus diberi keutamaan.

2.Membina Pemikiran Islam yang progesif dan Wasati

Hasan al-Turabi menyebutkan tiga kelemahan pemikiran Islam masakini iaitu pemikiran Islam tercabut dari prinsip agama yang pasti dan kekal. Dengan kata lain, pemikiran Islam tidak berteraskan kepada wahyu dan sunnah. Di samping itu, banyaknya persoalan-persoalan cabangan dalam fiqh yang tidak lagi memerlukan penjelasan seperti hukum bersuci dan wudhu' sedangkan perkara-perkara fiqh muamalat dan hal ehwal ekonomi dan politik Islam tidak dapat ditanggani dan dijelaskan dengan baik dalam konteks semasa.Kedua pemikiran Islam terpisah dari ilmu pengetahuan rasional (al-Ma’rifat al-aqliyyah) dan ketiga pemikiran Islam tidak mampu menyesuaikan diri dengan realiti kehidupan manusia dan hanya menjadi pemikiran semata-mata.

Pemikiran Islam yang dinamik ialah pemikiran yang mengatakan bahawa urusan-urusan dunia dan kemanusiaan perlu ditanggani menurut perkembangan semasa kerana sesuatu yang diputuskan pada sesuatu zaman ketika dahulu tidak semestinya kekal dan sesuai dengan zaman sekarang.Oleh itu, ia memerlukan ijtihad dari para ulamak

Dalam sejarah Islam, kita mengenali Imam al-Ghazali yang dianggap pemikir Islam kerana ia menguasai ilmu fiqh, kedoktoran, falsafah sehingga di dalam dirinya terhimpun ilmu-ilmu agama dan rasional. Dengan penguasaan ini, kita melihat al-Ghazali sebagai seorang pemikir yang betul-betul memahami Islam.Demikian pula hanya Ibn Taimiyah yang berjaya berinteraksi dengan realiti secara praktis dan mempelajari logika, falsafah dan feqah sehingga menjadi pemikir Islam terkemuka di saat pemikiran Islam mengalami kemunduran.

Tiga penyakit yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam hari ini ialah pemikiran yang mati, jiwa yang lemah dan iman yang telah padam sinarnya. Oleh itu, untuk membangun semula hendaklah diubati ketiga-tiga penyakit ini. Termasuk dalam penyakit yang melanda umat Islam juga ialah penjajahan akal budi melalui dominasi ideologi, budaya dan agama yang membawa banyak implikasi sosial khususnya peleburan budaya, pemikiran dan bahasa masyarakat teras. Penjajahan budaya ini akan menghasilkan generasi hamba yang mengagungkan budaya penjajah dan memperkecilkan budaya sendiri. Mengikut Malik Bennabi anak jajah ini menderita penyakit colonisibilite iaitu generasi umat yang merelakan untuk dijajah kerana kelemahan dalaman dan pepecahan sesame sendiri. Generasi umat Islam kini telah mati semangatnya, jatidiri bangsa dan agamanya sehingga berasa malu dan benci segala warisan yang pernah menjadikan bangsa agung dan terhormat.

3. Penghayatan Agama dalam Membina Tamadun

Penghayatan kepada agama memberi kekuatan dan pendorong dalam membina tamadun. Malik Bennabi menegaskan bahawa tamadun tidak mungkin lahir melainkan dengan adanya kepercayaan agama. Malah tamadun sesuatu umat itu tidak akan lahir melainkan mengikut wahyu yang diturunkan dari langit. Jelaslah bahawa nilai-nilai agama yang diturunkan dari langit merupakan faktor yang sangat penting dan merupakan pengatur serta penyusun dalam pembinaan sesuatu tamadun. Oleh sebab itu, golongan yang menyeru manusia supaya kembali kepada ajaran agama dan keimanan dalam usaha membentuk tamadun lebih hampir kepada kebenaran dari golongan ahli politik dan islah yang memisahkan agama dari kehidupan. Pemisahan iman dari kehidupan menjadikan menjadikan manusia hidup tanpa erti yang menghilangkan ghairah untuk memahami sesuatu dan akan hilang nafsu untuk bekerja. Itulah sebab kebangkitan umat Islam sekarang mengalami kegagalan. Pembinaan tamadun hendaklah berpaksikan kepada kerohanian dan akhlak Islam yang benar untuk menjamin kesejahteraan hakiki. Tamadun itu juga mesti berteraskan hidup mengikut aturan-aturan syarak dalam hubungan dengan Tuhan, keluarga, kejiranan, kemasyarakatan dan negara.

3. Mengelakkan Pertelingkahan dan adu-domba umat Islam.

Dalam satu kajian bertajuk "Civil Democratic Islam : Patners, Resources and Strategis" (2003) telah diterbitkan oleh RAND Corporation sebuah badan penyelidikan dan penasihat yang berpengaruh di Washington.Dalam kajian ini, umat Islam dinilai dari segi kecenderungan pemikiran mereka sama ada tradisionalis, fundamentalis, modernis atau sekularis. Kajian ini memperlihatkan bagaimana cara untuk mengadu-dombakan umat Islam melalui pengelompokan ini. Kajian itu menegaskan bahawa golongan modernis dan sekularis (spt. aliran Kamal Atartuk) perlu didokong secara halus dengan lambakan dana penajaan, ruang media dan penonjolan idola untuk dipuja. Golongan tradisional (Salafi dan Wahabi) pula disaran agar didokong manakala golongan fundamentalis (spt Ikhwan al-Muslimun) hendaklah dipinggirkan. Berlaku perbalahan antara golongan tradisional dan fundamentalis dalam isu-isu remeh dan persoalan furu'. Perbalahan dan pertelingkahan perlu disuburkan agar sumber kekuatan umat Islam dilelahkan tanpa sebarang manfaat yang jelas.Oleh itu umat Islam tidak perlu terperangkap dengan pengelompokan tersebut. Pada masa yang sama umat Islam harus mempunyai kajian-kajian untuk menangani strategi-strategi dalam menghadapi globalisai dunia Barat.

Di samping itu, keupayaan kita mendepani realiti masyarakat plural dengan menyuburkan dialog pelbagai agama dan dialog ketamadunan.Dialog pelbagai agama dan dialog peradaban membolehkan masyarakat lebih peka tentang kepentingan agama dan peradaban yang boleh menyemai semangat toleransi dan rasa persefahaman dan bersedia untuk mendukung nilai-nilai sejagat yang boleh dikongsi.

4. Pendekatan Hikmah dan Bertahap (tadarruj)

Dakwah yang dilakukan mestilah pendekatan berhikmah dan bertahap. Umpamanya dakwah yang dilakukan oleh Wali Songo sehingga berjaya mentransformasikan masyarakat hindu Majapahit. Di kalangan Wali Songo terdapat dua pendekatan yang nampak bertentangan tetapi sebenarnya melengkapi satu sama lain. Pendekatan pertama ialah pendekatan tauhid yang bermaksud para pendakwah menekankan soal tauhid sebagai asas keimanan dan setalah mantap dengan sendirinya mad'u akan meninggalkan segala yang khurafat dan kekufuran. Pendekatan kedua ialah menghindarkan konfrontasi secara langsung atau secara kekerasan dan mengubah adat dan kepercayaan secara halus dengan melakukan pengubahsuaian dan membiarkan dulu yang sukar dan terlalu tebal kepercayaan untuk diubah pada masa dan suasana yang sesuai.

Iktibar yang perlu diambil ialah perbezaan strategi dakwah tidak menyebabkan para pendakwah bermusuhan di antara satu sama lain asalkan ada sikap tasamuh (toleransi), berlapang dada dan faham memahami satu sama lain sebagaimana yang ditunjukkan oleh Wali Songo itu. Iktibar yang kedua ialah kemampuan para pendakwah menyerapkan faham Islam ke dalam kesenian amatlah kreatif sekali dengan menganjurkan adat istiadat Jawa diberi ciri-ciri keislaman.

5. Menbina Generasi al-Falah.

Adalah menjadi keutamaan sekarang untuk membina generasi muda Islam yang berilitizam dengan nilai-nilai Islam dan budaya kita. Di sinilah terletaknya generasi al-Falah atau jil al-Nasr (generasi Kemenangan).Antara ciri Generasi al-Falah ialah :

i) Pendidikan yang komprehensif ; Mereka mencintai ilmu dan terdidik dengan didikan yang komprehensif dari segi akal,fizikal, emosi dan ruh. Berjiwa merdeka dalam erti kata mempunyai semangat yang tinggi untuk bersaing, seorang yang mampu berdikari, berbangga dengan agama Islam dan sanggup mempertahankan prinsip kebenaran dan keadilan.

ii) Disiplin yang tinggi : Mempunyai disiplin yang tinggi yang ditegakkan atas kesedaran diri sendiri dan organisasi. Disiplin ialah usaha yang dilakukan secara berencana, serius dan terus menerus.. Mereka perlu melakukan kerja-kerja yang bernilai iaitu bernilai di hadapan Allah dan bernilai di depan sejarah. Kerja yang bernilai adalah kerja yang dilatari atas dasar disiplin yang tinggi.


iii) Generasi berhikmah : Mereka adalah generasi dakwah yang berhikmah Generasi yang berusaha dengan kerja yang bersungguh dan yakin bahawa dalam membina keagungan adalah hanya dengan memberi bukan dengan berbangga-banga pada masa yang lampau. Mereka adalah generasi rabbani yang hidup dengan hati dan jiwa yang terikat kepada Penciptanya.

iv) Keazaman yang kental : Mereka juga adalah generasi “awwabun tawwabun” (sentiasa kembali ke jalan Allah dan memperbanyakkan taubat). Memiliki keazaman yang tinggi dalam membangunkan negara dan manusia Mereka adalah generasi gagah dan agung, cekal dan tabah. Namun mereka adalah generasi yang seimbang dan sederhama dalam apa jua keadaan. Mereka melaksanakan hak Allah dan Manusia dengan seimbang dan saksama. Tanpa cenderong kepada keterlaluan dan tidak mirip kepada kecuian. Namun, mereka menimbangkan sesuatu perkara dengan adil.

v) Celik IT : Generasi yang celik IT dan cemerlang dalam pelbagai bidang- memiliki ciri budaya yang cemerlang- kecemerlangan ilmu, kecemerlangan politik, kecemerlamgan ekonomi, kecemerlangan ruh dan kecemerlangan kebudayaan dan kesenian.


Lima Budaya dalam Memperkasa Diri dan Organisasi

Dalam sesebuah organisasi yanng berteraskan gerakan Islam, kita perlu membudaya lima teras sebagai usaha mengukuhkan saf dan organisasi. Penghayatan ini dapat dilaksanakan melalui usrah dan tamrin yang dijalankan. Sistem usrah menekankan ruhul jamaah dengan solat berjamah; menekankan aspek zikrullah melalui ma'thurat; menekankan aspek wahdatul fikr dengan majlis ilmunya; menekankan aspek wahdatul amal dengan memahmai isu-isu semasa dan menekankan aspek ruhul jihad dengan komitmen untuk berkorban apa saja untuk mendapat keredhaan Allah. Sistem ini merupakan satu pakej yang sekiranya dilaksanakan akan melahirkan generasi yang lebih kuat ketahanannya, lebih tinggi daya juangnya, lebih sabar dalam menghadapi sebarang mehnah dan fitnah dan lebih mantap ruhul jihadnya.Ini semua kerana hati mereka telah disatukan oleh Allah sendiri seperti dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran (al-Anfaal 8 : 63)

1. Menghayati Budaya Ilmu

Penghayatan budaya ilmu ini diterjemahkan menerusi skima usrah, tamrin, kuliah tafsir al-Maudhu'iy, Wacana Ibn Khaldun dan program keilmuan yang lain. Setiap kebangkitan mesti dimulai dengan kebangkitan ilmu. Dalam gerakan Islam dan harakah, mereka mengistitusikan usrah sebagai wahana penjelmaan ilmu.

2. Menghayati Amalan Kerohanian

Melalui qiyamulail, zikir mat'thurat dan amalan-amalan Rasulullah secara istiqamah baik secara individu atau jamaah. Dalam hal ini, gerakan Islam perlu sentiasa meletakkan hubungan intim dengan Allah sebagai prasyarat utama membina kekuatan para pendakwahnya dan kebergantungan kita adalah total kepada Allah semata-mata.

3. Menghayati amalan Syura dan Amal jama'iyy

Gerakan Islam yang berjaya adalah yang mengamalkan kepimpinan bersyura dan amal jama'iyy. Institusi syura perlu bersepadu dalam sistem organisasinya. Syura bererti meminta nasihat serta perbincangan bersama dalam mengambil keputusan yang telah disepakati untuk kepentingan bersama dalam segala demensi hidup. Ia juga merupakan satu bentuk mekanisme membuat keputusan (decision making) yang sudah lama berakar dalam tradisi Islam. Kadangkala istilah syura boleh dikenali dengan musyawarah, muafakat, rundingan dan pertemuan. Menurut Muhammad Imarah, syura merupakan suatu usaha untuk menghasilkan pendapat bersama dalam mengatur urusan-urusan masyarakat yang merupakan salah satu kewajipan sosial dalam Islam. Tanpa institusi syura manusia tidak dapat merasakan keamanan dalam kehidupan dan dinamika hubungannya dengan kelompok masyarakat.

Maksud amal jama‘iyy ialah sesuatu perkara yang diputuskan oleh jamaah yang berorganisasi selaras dengan manhaj yang telah ditentukan, bertujuan untuk mencapai matlamat yang tertentu. Maka ciri-ciri amal jama‘iyy adalah seperti dibawah :

i) Sesuatu aktiviti atau tindakan yang hendak dijalankan haruslah bersumberkan dari keputusan atau persetujuan jamaah.
ii) Disyaratkan jamaah itu mempunyai peraturan dan lembaga pergurusan yang tersusun rapi.
iii) Hendaklah sebarang kegiatan yang diputuskan selaras dengan dasar dan strategi atau pendekatan yang telah digariskan oleh jamaah.
iv) Keputusan dan tindakan yang hendak dijalankan itu hendaklah bertujuan untuk mencapai matlamat dan cita-cita gerakan yang telah ditetapkan.

4. Memahami dan Melibatkan diri dalam isu Semasa

Penglibatan gerakan dalam isu-isu semasa dan sosial seperti isu kemiskinan, penyalahgunaan kuasa, pendidikan, akidah umat, ekonomi dan lain-lain melalui forum, seminar, bengkel dan ceramah telah memberi impak kepada perubahan sosial, politik dan ekonomi masyarakat. Ia merupakan suatu catatan sejarah yang terpatat sebagai salah satu ciri organisasinya.

Di dalam tulisan Seyyed Hosein Nasr, A Young Muslim ‘s Guide to The Modern World, beliau menyatakan bahawa umat Islam sama ada generasi muda atau dewasa, tidak mungkin dapat survive sebagai muslim secara individu atau sebahagian dari sebuah tamadun gemilang dan umat nabi Muhammad s.a.w. sekiranya tidak dapat menangani cabaran yang dihadapkan oleh dunia moden kepada mereka. Mereka perlu memahami dunia moden kini dengan mendalam dan secara bijak, dan menangani perubahan dan cabaran tanpa pengaruh emosi, tetapi di atas asas ilmu yang sahih dan benar tentang dunia moden ini bersandarkan tradisi keilmuan Islam secara menyeluruh. Oleh itu, orang yang berjaya adalah orang yang memahami dan melibatkan diri dalam isu-isu semasa seperti memahami faham-faham idealisme barat, perencanaan musuh dalam menghancurkan umat Islam serta bagaimana agenda bertindak umat Islam mengemukakan Islam sebagai agama terbaik untuk manusia sejagat.


5. Menghayati ruhul Jihad Fi Sabilillah

Berbekal semangat ini, gerakan Islam dan jamaah terus bertahan walaupun tidak menafikan ruhul jihad ada turun naik akibat serangan penyakit wahn, iaitu cintakan akan dunia dan takut kepada mati. Sebab itulah kita perlu sentiasa meniupkan semangat ini agar bersemarak membakar segala kemungkaran.

Jihad dengan harta, tenaga dan diri. Semangat jihad perlu difahami secara betul dan benar dari sudut perspektif ajaran Islam. Semangat jihad ini merupakan kekuatan kemenangan dan kehilangan ruhul jihad ini tidak dapat diganti dengan kecangihan teknologi dan alatan peperangan. Dalam konteks ruhul jihad ini, jihad dengan harta benda sentiasa digandingkan dengan pengorbanan jiwa raga. Oleh itu, kita mesti bersedia untuk menyumbang bukan sekadar daripada lebih-lebihan harta yang tidak dikehendaki lagi. Umat Islam memerlukan dana yang banyak dan stabil untuk memastikan impak dakwah yang bermakna.

Dalam menempuh cabaran hidup dan perjuangan mendaulatkan Islam ini tiada ruang untuk bersikap pesimis, kecewa dan putus asa.Yang ada hanya sikap optimis dan keyakinan tinggi bahawa Islam itu pasti mencapai kemenangan. Kita perlu membina keyakinan dan ruhul jihad bahawa akhirnya Islam akan menang dan sebarang rintangan yang menghalang hanyalah ujian semata-mata untuk menentukan siapa di kalangan kita yang benar-benar beriman.

Kepentingan Perpaduan di Kalangan Umat Islam di Malaysia

Di Malaysia, umat Islam keseluruhannya mempunyai hasrat yang sama untuk mencapai perpaduan dan keamanan sejagat. Rata-ratanya orang Melayu sanggup mengetepikan fahaman politik masing –masing demi kemaslahatan umat. Ini terbukti pada malam Syarahan Perdana anjuran ABIM yang menghimpunkan dua tokoh Besar Negara Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Fadzil Mohd Nor pada 8 Mei 2002. Untuk meneruskan agenda keharmonian dan ukhuwwah, umat Islam perlu meneruskan agenda pemersatu Umat sebagai usaha meredakan krisis yang melanda bangsa Melayu sekarang ini.

Renunglah apa yang dikatakan oleh Yusuf al-Qaradhawi kepada umat Islam di Malaysia: “ Amat besar harapan saya terhadap saudara-saudara saya di negara Malaysia tercinta agar mereka berusaha sedaya upaya untuk memadamkan api fitnah dan kembali bersatu padu memperkuatkan ketahanan bangsa, demi menghadapi pakatan-pakatan jahat yang dirancang oleh kuasa-kuasa besar bagi menghancurkan mereka secara khas dan kaum muslimin secara umum. Dan itulah cara termudah bagi mereka menikmati kekayaan dan khazanah negara sedangkan umat dalam kealpaan dan bercakaran sesama sendiri. Jiwa saya seperti berkecai dan hati saya seperti dihiris melihat kejadian-kejadian yang berlaku terhadap umat Islam. Allah telah menjadikan mereka umat yang terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, tetapi sayangnya mereka saling melancarkan tipudaya untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Akhirnya yang rugi tentulah negara dan bangsa sendiri."

Hamka pernah menyebutkan tentang Islam sebagai pemersatu kepada umat di kepulauan Melayu yang selama ini berpecah belah dalam ratusan suku kaum dan bangsa. Kata Hamka : "kita berdiri dari beratus suku bangs, yang masing-masingnya mempunyai kemegahan sendiri-sendiri.Untuk mengukuhkan kesatuan, carilah alat perekat yang asli, teladan daro langit! Jangan dengan Gajah Mada, Hayam Wuruk, jangan dengan Hang Tuah, Cindur Mata. Kerana itu hanya dapat menimbulkan dendam! Tetapi dengan Islam, kerana itulah pokok damai kita."


Penutup

Adalah diharapkan golongan yang berpendidikan agama di Universiti al-Azhar dapat memahami tugas dan agenda bertindak dalam menyuburkan dakwah Islamiah. Tidak dapat dinafikan pelajar al-Azhar telah memberi sumbangan yang besar dalam mewarnai perkembangan dakwah di kalangan masyarakat sehingga unsur-unsur peninggalan penjajah yang bertentangan dengan Islam telah dihapuskan. Namun perkembangan ini tidak bermakna kita harus berpeluk tubuh tanpa mempunyai strategi yang lebih mantap dan utuh. Keilmuan kita perlu dipertingkatkan lagi disamping mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap fiqh al-Awlawiyyat dan fiqh al-Haraki. Fiqh al-Haraki iaitu kesedaran kita tehadap membangunkan ummah dengan semangat kesukarelawan yang tinggi. Setiap amalan dan pekerjaan yang dlakukan dianggap untuk memenuhi perintah agama dan bukan sekadar untuk memenuhi arahan majikan atau ketua.

Kita adalah orang yang paling rugi jika sekiranya didikan agama yang yang kita dapat di Universiti al-Azhar, tidak kita manfaatkan untuk dakwah Islamiah malahan menyibukkan diri untuk mengejar "5 C" – Cash money, Car, Condoninium, Credit Card, and club Mereka menganggap 'pekerjaan sebagai dakwah' (dakwah sebagai satu karier) bukan sebagai satu jihad dan merancang strategi untuk kemenangan ummah. Inilah penyakit yang melatari graduan al-Azhar yang pulang ke tanah air.

Berapa ramai pelajar al-Azhar pulang ke tanah air setiap tahun, namun impak dan laungan mereka seperti dalam alam mahasiswa tidak bergema. Malah dakwah Islamiah bukan lagi dijuarai oleh golongan al-Azhar seperti sebelum kemerdekaan. Kita hanya bangga dengan seorang dua lulusan al-Azhar sahaja. Dari segi keintelektualan dan pembukuan, sejarah graduan al-Azhar belum lagi dapat menemukan Syeikh Idris al-Marbawi. Setiap tahun ribuan graduan al-Azhar pulang tetapi perubahan dalam masyarakat mengenai Islam tidak begitu ketara. Mengapakah perkara ini terjadi sedangkan semasa di al-Azhar semangat melonjak-lonjak untuk melakukan perubahan seolah-olah mahu dirobah besok harinya. Ternyata pulang ia tidak menjadi kenyataan malah semangat itu bertukar dan tenggelam dalam arus untuk mencari sedikit habuan dunia.

Saya berkeyakinan sekiranya pelajar al-Azhar yang telah pulang mempunyai iltizam yang tinggi terhadap perkembangan dakwah sudah tentu masyarakat kita lebih Islamik daripada yang ada sekarang. Orang yang hendak melakukan perubahan, tidak perlu ramai tetapi harus berstrategi dan melaksanakan tindakan tersebut. Adalah menjadi harapan ulamak-ulamak besar al-Azhar agar graduan al-Azhar menyebarkan dakwah Islamiah di negara masing-masing dan membawa mesej Islam sebagai rahmat kepada alam ini. Graduan al-Azhariyyun perlu berada dalam arus perdana masyarakat, bukan sekadar hanya berada di hujung pentas masyarakat. Mereka perlu jatuh bangun dengan umat. Antara cabaran terpenting bagi kita untuk mewujudkan kebangkitan Asia (Asian Renaissance) ialah mempersiapkan sebuah generasi dengan pengetahuan dan keahlian yang diperlukan untuk membangun umat yang mengintegrasikan pembangunan yang cepat dengan identiti dan nilai yang asli, iaitu nilai-nilai Asia dan keislaman.(nilai-nilai baru Asia).

--------------------------------------------
NOTA KAKI:

Kertas Kerja ini dibentangkan di Seminar Pemerkasaan Belia Islam Serantau pada 2 Disember 2004 di Dewan Asrama Malaysia, Abbasia, Kaherah Anjuran MBM, YADIM, YPEIM, INMIND, ABIM-Mesir dan Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah. Pembentang merupakan Ketua Biro Dakwah ABIM.

Bukunya Islam in Asia :Religions,Politics and Sociecty, Oxford University Press, London, 1987

Antara bukunya Civil Islam, Muslim and Democratizaon in Indonesia, 2000
Bukunya berjudul Politics and Cultures of Islamization in Southeast Asia, 2004
Bukunya berjudul The Origins of Malay Nationalism, Yale Universiti Press , London, 1967

Terdapat sarjana Orientalis yang mendakwa kononnya sikap tasamuh umat Islam di Asia Tenggara terbit daripada penghayatan mereka yang dangkal terhadap Islam, hanya sekadar agama luaran yang tidak memberikan kesan kepada masyarakat. Schrieke dan Van Leur umpamanya menganggap Islam tidak lebih daripada "kulit nipis" dalam kehidupan umat Islam di Asia Tenggara dan di bawah kulit nipis tersebut ialah kepercayaan Hindu-Buddha dan faham aninisme.Pendapat tersebut disanggah secara ilmiah oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam kajian beliau terhadap peranan Islam dalam sejarah dan kebudayaan kepulauan Melayu-Indonesia.Menurutnya, Islam telah melakukan perubahan mendalam terhadap jiwa masyarakat Melayu. (Anwar Ibrahim, Gelombang Kebangkitan Asia, DBP, Kuala Lumpur,1997. hal. 141)

Universiti Kaherah juga mengadakan pengajian Asir Tenggara dengan kerjasama Universiti Malaya. Beberapa orang professor dari Universiti Malaya mengajar subjek termasuk Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Redzuan Othman.

Lihat Mohd Rumaizuddin Ghazali, "Peranan Cendekiawan Muslim di Era Globalisasi", kertas kerja dalam Seminar Belia di Era Globalisasi, Anjuran MBM, YADIM, YPEIM, ABIM Mesir dan JPM-Kaherah pada 4 Disember 2003 di Dewan Solah Kamil, Universiti al-Azhar, Kaherah.

Untuk keterangan lanjut mengenai Intelektual di dunia Melayu, lihat Mohd Rumaizuddin "Pemerkasaan dan Peranan Cendekiawan Muslim Dalam Era Globalisasi" dalam Seminar Sehari Cabaran Belia pada 4 Disember 2003 di Dewan Soleh Kamil, Universiti al-Azhar, Kaherah.

Berdasarkan kepada teks-teks sejarah tempatan terbukti bahawa Islam di Dunia Melayu berkembang secara aman sejak 600 tahun yang lepas. Pengislaman secara aman dan beransur-ansur ini membentukjiwa Muslim Asia Tenggara ke arah yang bersifat kosmopolitan, terbuka, bertolak ansur dan mudah serasi dengan keragaman budaya. Penganut agama Islam bersikap tasamuh dengan penganut agama-agama lain dan sebaliknya. Ini berbeda dengan dengan sikap orang bukan Islam di Barat yang terus menerus dihantui prasangka dan pandangan mereka diracuni oleh sejarah pertentangan dan pertumpahan darah khususnya sejarah Perang salib.

Antara buku yang membicarakan tentang prospek Islam di Asia Tenggara ialah buku Asia Tenggarra Konsentrasi Baru Kebangkitan Islam (editor Moeflich Hasbullah), Fokusmedia, Bandung, 2003, Gagasan 21, Menangani Era Globalisasi Agenda Generasi Muda Serantau, PEPIAT, Kuala Lumpur, 1995. Kebangkitan Islam Dalam Perbahasan, (editor Rusydi Hamka),Yayasan Nurul Islam, Jakarta, t,t.

S.M.N. Al-Attas berpendapat bahawa bahasa Melayu telah memainkan peranan dalam sejarah dan kebudayaan Melayu dan bahasa Melayu telah diperislamkan.Orang-orang Arab telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam penyebaran agama Islam. (S.M.N. Al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, ABIM, Kuala Lumpur, 1999. hal. 32,31 dan 41)

Utusan Malaysia, 24 April 2001.

Siddiq Fadhil, “Mengangkat Martabat Umat dan Tamadun Melayu : Tinjuan apresiatif terhadap Pemikiran Hamka” dalam Hamka dan Tranformasi Sosial di Alam Melayu, Dewan bahasa dan Pustaka dan ABIM, Kuala Lumpur, 2001. hal. 19

YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa elemen terpenting dalam Islam Hadhari ialah ilmu. Oleh itu, penekanan harus diberikan dalam aspek pendidikan yng seimbang bagi melahirkan generasi berilmu.(Ucapan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam Perasmian Islam Hadhari di Dewan Kompleks Belia, Shah Alam, 30 Januari 2004)

Siddiq Fadhil, Kepimpinan Melayu Era Perubahan, Institut Kajian Dasar, Kuala Lumpur, 1993.hal. 2

Ibid., hal. 28. Siddiq pernah menulis buku Kebangkitan Umat Kenyataan dan Harapan terbitan YADIM, Kuala Lumpur pada tahun 1977. Antara kupasan dalam buku ini ialah membina ketahanan umat dari kacamata Islam. Beliau juga menulis buku Minda Melayu Baru terbitan IKD, Kuala Lumpur pada tahun 1992.

Wan Hashim Wan Teh, “ Tamadun Melayu dan pembinaan Tamadun Abad Kedua Puluh Satu” dalam Tamadun Melayu Menyongsong Abad Kedua Puluh Satu, (Ismail Husein, Wan Hashim Wan Teh dan Ghazali Shafie), Penerbit UKM, Bangi, 2001. hal. 87. Beliau juga menganjurkan bangsa Melayu menjadi kabilah dunia dengan memanfaatkan jaringan yang wujud di Dunia Melayu (global tribe) pada abad 21. Terdapat tokoh lain yang membincangkan perkara tersebut seperti Ismail Husein dan Ghazali Shafie dalam membina masyarakat Melayu seperti yang terkandung dalam buku tersebut. Abdul Rahman Embong membincangkan pembinaan bangsa Malaysia dalam buku Negara-Bangsa Proses dan Perbahasan, Penerbit UKM, 2001, Wan Abdul Kadir tentang pengaruh nilai-nilai Islam dalam masyarakat Melayu dalam buku Masyarakat dan Budaya Melayu Warisan dan Kini, Masfami Enterprise, Petaling Jaya, 1992

Mahathir Mohamad, Dilema Melayu,Times Books International, Kuala Lumpur, 2001. hal. 19, 25 dan 28

Syed Hussein Alatas, Siapa yang Salah Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu, Pustaka Nasional, Singapura, 1972. hal.23- 24. Buku ini ditulis bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan tentang keperibadian Melayu dalam Revolusi Mental oleh Senu Abdul Rahman dan The Malay Dilemma oleh Mahathir Mohamad.

Mahathir Mohamad, op. cit., hal. 125. Mahathir pernah melahirkan rasa kekecewaannya melihat sikap orang Melayu yang banyak bergantung kepada kerajaan dan mengambil sikap jalan mudah. Menurut Mahathir, orang Melayu masih gagal dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Beliau mengakui gagal untuk mencapai perkara yang paling penting iaitu bagaimana hendak mengubah orang Melayu.(Massa, bil.348, 22-28 Jun 2002)

Hashim Musa, Merekonstruksi Tamadun Melayu Islam, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2001. hal. vii, Agenda Melayu, Ke Arah Pembinaan Peradaban Melayu Bertaraf Dunia Alaf Ketiga, INMIND, Petaling Jaya, 2002, hal. 5

Sayyid Abul A’la al-Maudidi, Jatuh Bangun Sesuatu Bangsa, Pustaka Ikhwan, Alor Setar, 1987. hal. 27

Untuk keterangan lanjut lihat Mohd Rumaizuddin Ghazali, Panduan Berdakwah Kontemporari, PTS Publications, 2004

Lihat Mohd Rumaizuddin Ghazali, "Mahasiswa Al-Azhar : Antara Ideal dan Realiti dalam Konteks Dakwah dan Globalisasi", dalam Forum Masa Depan Negara, anjuran ABIM-Mesir, JPM-Kaherah dan MAS pada 8-9 September 2001 di Dewan Rumah Sabah, Kaherah. Satu teguran pembentang kepada mahasiswa al-Azhar ialah kebanyakkannya tidak memanfaatkan buku-buku terbaru di pasaran untuk manfaat umat Islam di Malaysia. Golongan yang mengharap karya terjemahan lebih baik daripada golongan yang mengetahui bahasa Arab tetapi tidak pernah membacanya dan dimanfaatkan untuk masyarakat.
 
< Prev   Next >