| Pecerdasan Semula Cendekiawan Islam : Peranan Mahasiswa Al-Azhar |
|
Disedia oleh: Pendahuluan
Cendekiawan muslim daripada dahulu sehingga sekarang memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan masyarakat. Kepentingan kelompok cendekiawan sentiasa jelas tersohor dalam rentetan sejarah, lebih-lebih lagi sumbangan mereka dalam pembangunan sesebuah negara. Ini dirakamkan dalam syair Sheikh Sadi dalam Gulistan pada akhir abad ke 13 masehi yang menceritakan mimpi seorang ulama sufi bertemu dengan dua orang tokoh. Harapan Masyarakat Terhadap Cendekiawan Muslim 1. Sebagai sumber inspirasi; 2. Sebagai khazanah ilmu; 3. Sebagai salah satu rujukan utama yang mampu memperhalusi atau menjelaskan perkara atau kemusykilan tertentu; 4. Sebagai contoh ikutan; dan 5. Sebagai pencetus dan pemangkin kesedaran. Penguasaan Dan Ciri-Ciri Asas Yang Harus Dimiliki Oleh Cendekiawan Muslim 1. Mempunyai pegangan dan amalan yang kuat terhadap sebanyak mungkin nilai dan prinsip agama; 2. Memperlakukan apa yang ia perkatakan; 3. Berjaya menimbulkan keyakinan kepada mereka yang terlibat bersamanya, sama ada dalam bidang pekerjaannya, sektor penglibatannya, masyarakat dan sebagainya; 4. Menjadi contoh yang hidup pada banyak perkara, sama ada wujud dalam bentuk lisan mahupun tulisan; 5. Mampu menjadi benteng terhadap sesetengah serangan yang melanda bidangnya dengan mengadunkan profesionalisme, adab dan prinsip mencari kebenaran; 6. Jelas dengan tasawwur (world view) dan pendekatan apabila hendak mencapai sesuatu matlamat yang mana ia tidak akan menyalahgunakan emosi, sentimen dan sifat ta’asub sehingga kepentingan peribadi didahului daripada kepentingan ramai; 7. Lulus dengan pelbagai ujian sebenar terhadap kekuatan iman, kekuatan mental dan kekuatan moralnya; 8. Kaya dengan ilmu, pengalaman dan track record yang menyakinkan; 9. Berjiwa besar dengan pengertian perjuangan yang mana keredhaan Allah dilebihkan daripada kepuasan persendirian; 10. Tidak lemas dengan tarikan materialisme seperti kedudukan, glamor, harta dan sanjungan, malah lebih insaf dan tawadhu’ dengan setiap peningkatan statusnya dalam masyarakat; 11. Berani mengaku salah kerana menyedari dalam kesalahan ada pengajaran bagi semua; 12. Kaya dengan idea, inovasi dan kreativiti; 13. Terkini dengan perkembangan yang relevan dengan penglibatannya kerana ia sedar akan keperitan keciciran umatnya dalam pembangunan tamadun; dan 14. Bersedia untuk dimuhasabahkan. Cabaran Cendekiawan Muslim 1. Memartabatkan bidang pendidikan sebagai wasilah kecemerlangan umat. Tulisan Tan Leok Ee dalam bukunya The Politic of Chinese Education menerangkan bahawa di Asia Tenggara, Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai sistem Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina yang paling komprehensif. Hanya 2.1 peratus ibu bapa berbangsa Cina menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan (SK) dan 4 peratus ibu bapa berbangsa India menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan (SK). Di Gemencheh, sebuah sekolah SJK Cina mempunyai akaun bank RM 5 Juta. 2. Membangunkan Negara Malaysia yang tercinta. Majoriti penduduk Malaysia terdiri daripada golongan muda di mana 12 juta orang atau lebih 50 peratus penduduk berumur di bawah 24 tahun dan 7.7 juta orang atau 30 peratus penduduk berumur di bawah 14 tahun. Tenaga muda ini berpotensi dibangunkan ke arah yang positif, bukan negatif. Malaysia juga berbilang kaum, agama dan budaya. Perlu ada kebijaksanaan dalam membangunkannya tanpa menggadaikan prinsip agama dan maruah bangsa. 3. Membentuk minat membaca (budaya ilmu) di kalangan masyarakat. Realiti masyarakat hari ini lebih suka membaca majalah berbentuk hiburan daripada membaca majalah atau buku ilmiah. Sebanyak 400 ribu naskah majalah Mastika laris terjual selama sebulan, selain itu, majalah Hai 150 ribu naskah sebulan, URTV 140 ribu naskah sebulan dan Mingguan Hiburan 100 ribu naskah sebulan sedangkan Majalah Massa yang dikeluarkan sebanyak 2000 naskhah hanya berjaya dijual sebanyak 800 naskah sahaja. Sementara itu, jumlah jualan akhbar paling tinggi di Malaysia, pada hari biasa ialah akhbar Sin Chew Sit Poh iaitu sebanyak 340 ribu naskah. Kedua ialah The Star iaitu 294 ribu naskah, diikuti akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian berada pada jualan sekitar 235 ribu naskah. 4. Mengubah minda masyarakat muslim Malaysia. Masyarakat kita masih lagi belum cukup terbuka daripada segi pemikiran. Mereka masih memikirkan hal yang remeh dan terlepas pandang perkara pokok. Masih kedapatan yang lebih mementingkan rupa daripada isi. Ada yang tidak dapat membezakan fakta dan pendapat. Ada yang percaya khabar angin lebih daripada merujuk kepada sumber sebenar. Minda ibarat payung terjun, hanya berfungsi bila terbuka. Jiwa mesti besar, minda mesti terbuka kepada kebenaran dan kebijaksanaan. 5. Menguasai dan mempelopori semua cabang kehidupan Kita sedia maklum bahawa kita masih ketinggalan dari segi ekonomi, pendidikan, tenaga profesional dan sebagainya. Adakah kita telah selesai memenuhi tuntutan ”fardhu kifayah” keperluan masyarakat Islam kita? Bila isu produk tidak halal ditimbulkan dan kita diberitahu 95 peratus industri halal tempatan dikuasai usahawan bukan Islam, kita perlu lebih berlumba menjadi pengeluar produk halal daripada membuat demonstrasi dan membuat pelbagai tuntutan. 6. Pelaksana agenda tindakan bukan sekadar teori dan retorik Masyarakat Islam kita masih lemah daripada segi tindakan. Sudah banyak seminar, perbincangan, luahan perasaan, pelan strategi dan agenda tindakan digariskan, namun pelaksanaan amat kurang dan pemantauan tidak berkesan. 7. Bertindak - bermula daripada diri sendiri. Sekarang! Cendekiawan perlu ada wawasan, prinsip dan pelan tindakan diri. Mereka akan menjadi contoh teladan yang menetapkan arus, bukan mengikut arus. Jadilah yang pertama, bukan sekadar pengikut. Jangan takut membawa kelainan kerana di situlah ada ruang untuk kita lebih berkembang, maju dan makmur. Penutup Cendekiawan muslim adalah pencorak pembangunan pemikiran, budaya dan tindakan masyarakat. Kepentingan kelompok cendekiawan tidak perlu dipertikaikan. Rata-rata masyarakat muslim kita lemah daripada segi budaya bersifat tinggi dan cemerlang. Budaya kita bersifat ”cukup makan” dan ”jangka pendek”. Mahasiswa yang berada di rantauan seperti di Al-Azhar ini adalah bakal cendekiawan yang harus memperkasakan diri dengan nilai ilmu, kemahiran, sikap positif, minta terbuka, jiwa besar, berintegriti, berwawasan dan berstrategi dan cekal melaksana agenda tindakan. Pengalaman di sini seharusnya lebih mematangkan dan jangan dipersiakan. Hasilnya cendekiawan yang cerdas yang mampu memartabatkan agama, bangsa dan nusanya. |