Pemerkasaan Ilmu Asas Dakwah Manhaj Maliziy: Perspektif Abim
- Published in Fiqh Ad-Dakwah
- Read: 5310 times
Oleh: Dr. Mohd Farid Mohd Shahran
(Kertas kerja ini dibentangkan pada Seminar Antarabangsa Dakwah dan Generasi Muda, pada 10, 11 September 2007 di UKM.)
MUKADDIMAH
MUKADDIMAH
Masyarakat Islam dewasa ini sekali lagi didepani dengan cabaran ekstremisme. Ia menjelma sekurang-kurangnya dalam dua bentuk; mereka yang melonggarkan dan penisbikan pentafsiran agama sehingga tercabut dari akar umbinya yang asli dan mereka yang menyempitkan pentafsiran agama sehingga menjadikannya begitu keras dan tertutup, justeru mudah mengeluarkan sebahagian masyarakat Islam yang lain dari ruanglingkup agama. Sementara golongan pertama, atas nama kebebasan, kemanusiaan, pencerahan dan pembukaan pintu ijtihad telah merungkaikan segala asas-asas keagamaan yang telah baik terjalin dalam tradisi keagamaan Islam, golongan kedua pula, atas nama pemurnian akidah dan perjuangan menegakkan sunnah dan membenteras bid’ah, telah menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat dengan serangan terhadap ijtihad dan budaya amal Islami yang telah sedia berakar umbi dalam masyarakat Islam di rantau ini.