Tragedi Hitam Di KASHMIR : Dimanakah Penghujungnya?
- Published in Jagatraya
- Read 4489 times
- font size decrease font size increase font size
Sebagai contoh, Resolusi 122 yang dikeluarkan pada 1957 telah memberikan kebebasan kepada penduduk-penduduk Kashmir untuk menentukan hala tuju politik mereka sendiri sepertimana yang tertera dibawah, “The Final disposition of the State of Jammu and Kashmir will be made in accordance with the will of the people expressed through the democratic method of a free and impartial plebiscite conducted under the auspices of the United Nations.” Kegagalan PBB serta pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang berkenaan untuk memainkan peranan secara aktif di dalam kemelut yang sekian lama membelenggu masyarakat Kashmir , secara langsung menyerlahkan sikap pilih bulu di kalangan pengamal-pengamal politik di peringkat antarabangsa yang sering melaungkan retorik untuk memperjuangkan hak asasi manusia!
Persoalannya, apakah tanda aras yang digunakan oleh para pengamal politik antarabangsa ini untuk mengenakan sebarang tindakan serta tekanan kepada pihak yang sengaja melanggar batasan hak asasi manusia, yang telah ditetapkan oleh masyarakat antarbangsa melalui pelbagai piagam serta undang-undang, untuk dilaksanakan badan-badan bertindak antarabangsa seperti PBB, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), mahupun Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)? Untuk negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (A.S) pula, adakah pertimbangan geopolitik membabitkan India serta Pakistan dalam kempen memerangi keganasannya membuatkan A.S mengambil pendekatan membisu, walhal kemelut yang melanda Kashmir itu berada dalam ruang lingkup promosinya untuk menegakkan keadilan sejagat!
Demokrasi tidak sahaja akan memberikan kuasa kepada penduduk Kashmir untuk membina serta menetapkan masa depan mereka sendiri. Sebaliknya demokrasi juga merupakan pengantara yang berkesan untuk meleraikan sebarang kekusutan serta konflik yang berlaku di kalangan pihak yang bertelagah di Kashmir . Kegagalan berbuat demikian tidak sahaja akan meneruskan situasi tegang yang sedang melanda wilayah tersebut serta di antara India dan Pakistan khususnya.Sebaliknya ia juga akan menjejaskan kestabilan serta keamanan di seluruh benua Asia Selatan yang sinonim dengan siri-siri konflik di antara kaum dan agama, yang sering membayangi kerapuhan institusi-institusi politik di kalangan negara-negara di benua tersebut.
LATAR BELAKANG KEMELUT DI KASHMIR
Kemelut yang melanda Kashmir sehingga kini, bermula ketika proses kemerdekaan membabitkan India dan Pakistan pada 1947. Menerusi Akta Kemerdekaan India dan Rancangan Pembahagian yang diluluskan oleh Parlimen British pada ketika itu, negara India yang majoritinya terdiri daripada penganut agama Hindu serta Pakistan dan Bangladesh (Pakistan Timur pada ketika itu) yang majoritinya penduduk beragama Islam telah dibentuk, walaupun tidak dipersetujui oleh tokoh kemerdekaan India, Mahatma Ghandi. Pembahagian tersebut nyata telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap hubungan di antara kedua-dua negara tersebut. Kesan tersebut jelas kelihatan dalam konflik yang berlaku di Kashmir di antara India dan Pakistan . Pada 27 Oktober 1947, India telah menghantar tenteranya untuk menduduki Kashmir yang pada ketika itu belum memutuskan untuk menjadi sebahagian daripada India ataupun Pakistan .
Tindakan itu nyata bertentangan dengan kenyataan Mahatma Ghandi yang dikeluarkan sejurus sebelum serangan tersebut, yang menghormati hak penduduk di Kashmir untuk menentukan masa depan politik mereka. Sehingga kini beberapa siri peperangan, telah berlaku diantara India, Pakistan dan China, yang menguasai sebahagian kecil daripada wilayah itu berhampiran dengan sempadan Tibet. Pada hari ini Kashmir telah dibahagikan dua wilayah utama yang berasingan serta ditadbir oleh dua pentadbir yang berbeza (India dan Pakistan).