Kerohanian

Haji Membentuk Keperibadian Mulia

Mohd Rumaizuddin Ghazali

Haji merupakan perjalanan manusia menemui Allah. Haji adalah persembahan simbolik falsafah pengorbanan, kesabaran, perpaduan dan kesatuan umat. Setiap tahun kaum muslimin dari seluruh pelusuk dunia diundang untuk menyertai perhimpunan haji yang agung ini. Mereka semua adalah sama.Tidak ada diskriminasi dari segi perbezaan bangsa, jantina atau status sosial. Haji merupakan manifestasi penolakan terhadap falsafah hidup yang kosong.

Falfasah hidup untuk memenuhi keperluan hariannya atau tujuannya hanya untuk hidup dan makan. Namun begitu, keadaan ini dapat diubah melalui pengalaman mengerjakan haji yang mengandungi hikmat yang amat besar. Haji adalah perjuangan untuk mematahkan godaan-godaan syaitan yang selama ini membelenggu diri manusia, sekaligus membenamkan sifat tamak, permusuhan dan kecurangan.
 
Apabila Allah mensyariatkan sesuatu ibadat ia terikat kepada waktu dan tempat. Ada juga ibadat yang tidak terikat kepada masa dan waktu seperti mengucap dua kalimah syahadah yang mana kita boleh mengucap hanya sekali seumur hidup, sama ada waktu siang mahupun malam, di rumah atau di tempat kerja atau dalam perjalanan.

Pengucapan kalimah syahadah ini tidak terikat dari segi waktu dan tempat. Ibadat solat terikat dengan waktu tetapi tidak terikat dengan tempat. Kita boleh lakukan solat di mana-mana saja di masjid, di rumah atau ladang sekalipun. Kita bebas memilih tempat tetapi Allah mengikatkannya dengan waktu. Setiap solat mempunyai waktunya tersendiri dan tidak sah solat tanpa masuk waktunya.

Begitu juga dengan puasa yang hanya terikat dengan waktu sepanjang bulan Ramadan tetapi kita bebas berpuasa di mana saja. Zakat juga terikat dengan waktu dan kadar dan tidak terikat dengan tempat.

Zakat fitrah diwajibkan pada akhir Ramadan dan zakat pertanian wajib dikeluarkan pada hari menuai. Ibdat haji berbeza dengan ibadat-ibadat yang lain kerana ia terikat dengan waktu dan tempat. Oleh itu, tidak sah haji sekiranya ia dilakukan di rumah atau di negara sendiri.

Malah ia hendaklah dilakukan di masjidil Haram di Mekah. Wukuf perlu dilakukan di padang Arafah pada 9 Zulhijjah. Dari sini, kita dapati bahawa ibadat haji merupakan adalah satu-satunya ibadat yang terikat dengan waktu dan tempat. Sudah tentu ganjarannya cukup besar dengan janji Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka kerana para jamaah akan menghadapi pelbagai kesulitan untuk mengerjakannya.

Sebelum pergi ke tanah suci, seseorang itu dituntut supaya membersihkan diri dari perasaan benci dan marah kepada saudara mara dan sahabat-sahabatnya. Ia mestilah membayar setiap hutang piutangnya dan meninggalkan wasiat sebagai persiapan menuju kepada Tuhan dan menjamin kesucian peribadi dan kewangan serta melambangkan saat-saat perpisahan dan masa depan umat manusia.

Ibadat haji merupakan kepulangan kita kepada Allah yang mutlak. Kembali kepada Allah merupakan suatu gerakan yang menuju ke arah kesempurnaan, kebaikan, keindahan, kebahagiaan, kekuatan, pengetahuan dan kebenaran.Oleh itu, manusia harus berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah dan Allah itu amat hampir dengan kita daripada hubungan kita dengan diri kita sendiri. Firman Allah yang bermaksud :

“ Kami lebih hampir kepadanya daripada pembuluh darah dilehernya.” (Qaaf, ayat 16)

Ibadat haji bermula di miqat dan di sini manusia mesti menukar pakaian kerana pakaian menggambarkan perwatakan manusia. Pakaian melambangkan simbol, keutamaan, status dan perbezaan-perbezaan tertentu. Para jamaah hanya memakai dua helaian kain putih yang sederhana, sehelai di atas bahu dan sehelai lagi dililitkan di pinggang.

Di sini, tiada gaya, fesyen atau bahan istimewa yang disilitkan. Setiap orang memakai pakaian ihram yang sama tidak terdapat perbezaan di antara satu sama lain.Hilangkan sifat “keakuan” yang sering digunakan dalam menonjolkan diri sendiri dan timbulkan sifat kekitaan dalam satu ummah.

Berlaku peralihan dari sifat perhambaan sesama manusia kepada kemerdekaan sejati, meninggalkan diskriminasi bangsa untuk mencapai persamaan dan kebenaran.Kesemua ini terjadi apabila ia mula memakai pakaian ihram dan berniat haji.

Semasa berihram, para jamaah haji diajar supaya beradab dengan segala jenis makhluk dan benda. Dengan tumbuh-tumbuhan, mereka dilarang sama sekali memotong atau menebangnya sesuka hati, dengan haiwan mereka dilarang memburunya, dengan manusia dilarang bermusuhan dan bertengkar. Perkara ini semuanya adalah perintah Tuhan untuk mengajar para jamaah haji bagaimana berinteraksi dengan manusia dan alam semesta. Para jamaah akan melakukan tawaf di sekeliling kaabah sebanyak tujuh kali dalam himpunan manuia yang begitu ramai dan bergerak dalam orbitnya sambil berdoa memohon ampun.

Kemudian, ketika melakukan sa’i, mereka memainkan peranan Siti Hajar, dialah ibu yang keturunannya melahirkan nabi-nabi agung.Kerendahan diri, kepatuhan, keyakinan dan ketakwaan yang tinggi adalah sifatnya. Dia bersendirian berlari-lari dari satu bukit ke satu bukit tandus yang lain untuk mencari air bagi puteranya Ismail. Pencarian air ini melambangkan pencarian kehidupan kebendaan di dunia, sementara tawaf melambangkan kecintaan yang mutlak kepada Allah dan untuk Allah semata-mata. Haji adalah perpaduan tawaf dengan sa’i, gabungan antara kerohanian dan kebendaan.

Pada 9 Zuhijjah, para jamaah haji akan berkumpul untuk wukuf di Arafah. Padang Arafah merupakan tapak yang bersejarah dalam permulaan kehidupan manusia di muka bumi ini. Nabi Adam dan isterinya Hawa dikatakan bertemu kembali setelah dikirimkan dari syurga untuk menjadi khalifah Allah dan melaksanakan tugas berat yang diperintah Allah.

Di sini juga, nabi Muhammad telah menyampaikan khutbah al-Wada’ kepada kaum muslimin dengan memberi amanah yang penting untuk dihayati oleh umat Islam dari dahulu hingga sekarang. Dalam khutbah itu, antara lain baginda mengingatkan kaum muslimin supaya berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah serta semua manusia adalah sama di sisi Allah kecuali orang yang bertakwa. Keistimewaan padang Arafah sebagai tempat terbaik untuk berdoa. Berada di padang Arafah memberi pengalaman serta peringatan awal kepada umat Islam mengenai perhimpunan yang lebih besar kelak di padang Mahsyar.

Di sini, pastinya terdetik di hati kecil betapa kerdil dirinya tatkala berhimpun bersama jutaan umat manusia semasa berwukuf dalam suasana panas terik. Melalui pengalaman ini akan tercetuslah rasa keinsafan pada diri lalu merenung dan bermuhasabah serta menanyakan persoalan pada diri sejauh manakah persiapan kita untuk menemui Allah. Seterusnya, para jamaah bermalam di Mina untuk melontar jamrah yang melambangkan kebencian kita kepada iblis. Ia melambangkan kemenangan umat Islam atas syaitan pada hari dilaknatnya para syaitan. Oleh itu, para jamaah perlu berazam tidak akan mengikuti ajaran syaitan selepas ia pulang ke negara masing-masing.

Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda bahawa tiada balasan bagi haji mabrur melainkan syurga. Oleh itu, seseorang bakal haji perlulah membuat persediaan yang secukupmya sebelum berangkat ke Tanah Suci. Antaranya termasuklah mempelajari falsafah haji, rukun dan hal-hal wajib haji, mengunakan wang dari sumber atau harta yang halal, mempelajari cara-cara mengerjakan haji dari mereka yang berilmu dan berpengalaman.

Di samping itu, bakal haji juga perlu memastikan perkara-perkara berhubung dengan ibadat haji diusahakan dengan sempurna seperti mengerjakan keseluruhan rukun, wajib dan sunat haji, memperbanyakkan amalan sedekah dan berdoa, mengutamakan amalan fardu dan wajib sebelum perkara sunat, tertib dan tidak memilih jalan mudah, tidak mementingkan diri sendiri seperti tolak menolak untuk mendapatkan tempat selesa untuk beribadat dan tidak melakukan perkara-perkara khurafat.

Bakal haji hendaklah memberi perhatian dan meneliti perbezaan antara rukun dan yang wajib. Kedudukan rukun amat penting kerana sekiranya tertinggal perkara rukun atau kegagalan memenuhi syarat-syaratnya, maka haji itu terbatal dan tidak sah. Berlainan pula dengan syarat yang wajib, sekiranya tertinggal maka wajib membayar dam. Namun hajinya tidak terbatal.

Bakal haji perlu merebut peluang sebaik mungkin melakukan solat berjemaah di Masjidil Haram atau Masjid al-Nabawi kerana pahala bersolat di kedua-dua masjid ini amat besar ganjarannya. Ini adalah kerana amalan mengerjakan solat sebanyak sekali di Masjidil Haram akan mendapat ganjaran sebanyak 100,000 kali di tempat lain sementara di Masjid al-Nabawi ganjaran sebanyak 1000 kali. Oleh itu, untuk mencapai haji mabrur hendaklah para jamaah melakukan ibadat haji dengan cemerlang dan menghindari perbuatan maksiat, sentiasa memakmurkan masjid dan menunjukkan perilaku yang diredhai Allah.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.