Kerohanian

Khutbah Wada' Lambang Kesyumulan Islam

Mohd Rumaizuddin Ghazali

Arafah merupakan tempat seluruh jemaah haji berhimpun dan wukuf merupakan rukun yang terpenting dalam ibadat haji. Di sini para jemaah haji harus memperbanyakkan doa, dan tahmid kepada Allah. Banyak hadis yang menerangkan kelebihan hari Arafah.

Antaranya mereka akan diberi keampunan dari Allah. Sabda Rasulullah yang bermaksud :

" Tidak suatu hari pun lebih banyak Allah membebaskan hamba padanya dari neraka selain hari Arafah. Dan sesungguhnya ketika itu Dia menghampiri, lalu membanggakan mereka kepada para Malaikat, firmanNya :Apa yang mereka kehendaki"
(riwayat Muslim)

 
Dan banyak hadis yang menyuruh umat Islam berdoa pada hari tersebut sama ada bagi orang yang berada di Arafah ataupun mana-mana tempat saja.

Sabda Rasulullah yang bermaksud : Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah. Dan sebaik-baik yang saya ucapkan dan diucapkan oleh para anbiya sebelum saya ialah : La ilaha illallahu wahdahu la syarika lah, lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘ala kulli syaiin qadir. (riwayat Turmizi)

Pada hari itu, syaitan amat berdukacita kerana turunnya rahmat Allah yang begitu banyak di mana dosa-dosa besar diampunkan. Imam al-Nawawi dalam syarah Muhadzdzab menjelaskan tentang kelebihan berzikir dan berdoa pada hari Arafah dengan menyebutkan bahawa seseorang itu hendaklah memperbanyakkan doa, tahlil, talbiah, istighfar, membaca al-Quran dan merendah diri kepada Allah. Inilah tugas pada hari itu, jangan sampai lalai dan ditinggalkan. Bukankah amalan ini merupakan bahagian terbesar daripada ibadat haji dan menjadi tujuan utama haji?

Oleh itu, janganlah diluputkan kesempatan baik ini kerana apabila ia telah berlalu maka sudah tidak dapat dikejar lagi. Sepatutnya seseorang itu mengulang-ulang istighfar dan kalimah taubat daripada segala dosa dan kesalahan disertai tangisan, rintihan, keluhan, kesedaran dalam hati dan rasa penyesalan.

Memang pada ketika itulah air mata selayaknya ditumpahkan dan segala kesilapan dihapuskan dan semua permintaan dikabulkan. Sesungguhnya hari Arafah merupakan saat perhimpunan yang amat besar yang mana umat Islam dapat bertemu muka di atas dasar akidah yang satu.

Satu peristiwa bersejarah yang amat penting berlaku pada hari Arafah ialah khutbah Rasulullah pada tahun 10 Hijrah. Khutbah ini dikenali sebagai khutbah al-Wada’ kerana ia adalah khutbah yang terakhir yang disampaikan oleh nabi sebelum baginda wafat.

Perhimpunan haji ini adalah yang terbesar pada zaman nabi yang dihadiri seramai 120 ribu orang. Khutbah ini menyatakan pengisytiharan bahawa Islam adalah agama yang sempurna, lengkap, adil, memelihara kemuliaan dan hak-hak asasi manusia.

Antara lain Rasulullah menyebutkan : "Maka sesungguhnya darahmu dan harta bendamu adalah suci bagi kamu sebagai sucinya hari ini, pada bulanmu ini, di negerimu ini sampai saat kamu menemuiTtuhanmu nanti! Wahai, apakah saya telah menyampaikannya? Ujar kami : sudah"

Pernyataan di atas menunjukkan Islam amat memelihara nyawa manusia. Seseorang itu tidak boleh membunuh seseorang yang lain tanpa hak.

Di dalam al-Quran, Allah menegaskan dengan firmannya ; Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (alasan) yang benar. (al-Isra;, ayat 33)

Firman Allah lagi yang bermaksud : Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar. (al-Anam 151)

Oleh demikian, Islam memerintah umatnya menghormati hak ini walaupun terhadap bayi yang masih di dalam rahim ibunya. Rasulullah s.a.w. sendiri pernah menunda hukuman mati terhadap seorang wanita kerana untuk melindungi hak hidup si bayi yang masih dalam kandungannya. Di samping itu juga, Islam memelihara hak-hak pemilikan dan mengharamkan pencurian.

Firman Allah yang bermaksud ; Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil.; (al-Baqarah, ayat 188)

Hak ini juga mencakupi hak-hak untuk dapat menikmati dan mengembangkan hartanya. Di dalam khutbah itu, Rasulullah membuat perumpamaan kesucian darah dan harta dengan kesucian hari, bulan dan negeri kerana masyarakat Arab amat memelihara kesucian hari, bulan dan negeri Mekah.

Tambahan pula kesucian itu telah termasyhur dikalangan mereka sejak dahulu lagi. Oleh sebab itu, Rasulullah terlebih dahulu menanyakan mengenai hal-hal tersebut supaya dapat dikaitkan dengan kesucian darah dan harta benda. Perkara ini amat penting agar mereka juga berhati-hati dalam memelihara kesucian darah dan harta benda seperti mana mereka memelihara kesucian hari, bulan dan tempat.

Dalam riwayat Ibn Abbas disebutkan kesucian kehormatan yang bermaksud kaum muslimin dilarang untuk saling menyerang kehormatan orang lain dengan cara apa pun. Kaum muslimin termasuk penguasa terikat untuk menjaga kehormatan orang lain dan melindunginya tanpa diskriminasi.

Rasulullah juga telah memberi ingatan kepada umat Islam supaya tidak kembali menjadi kafir sesudah kewafatannya. Perkara ini membawa maksud bahawa sekiranya kamu telah mengetahui sucinya darah, harta benda dan kehormatan, maka janganlah pula kamu bersikap seperti orang kafir yang tidak mengindahkan kesucian darah dan lain-lain.

Atau janganlah sebahagian kamu mengkafirkan yang lain sehingga kamu menghalalkan darah dan saling membunuh. Tegasnya, waspada terhadap hal-hal ini dan janganlah kamu bersikap seperti orang-orang kafir selepas kewafatan saya nanti.

Dalam khutbah ini juga Rasulullah telah memberi ingatan mengenai pengharaman riba yang boleh membawa kepada kezaliman terhadap orang lain. Di samping itu, baginda juga mengingatkan umatnya supaya menjaga dan memelihara kedudukan wanita terutama kepada golongan isteri.

Hal ini ditegaskan oleh baginda dengan sabdanya yang bermaksud : "Dan takutkanlah kamu kepada Allah mengenai wanita, kerana kamu mengambil mereka berdasarkan amanat Allah dan kamu halalkan kehormatan mereka dengan kalimat Allah. Dan hak kamu terhadap mereka bahawa tidak seorang pun yang tidak kamu sukai dapat menginjak hamparanmu hingga jika mereka melanggarnya, maka kamu boleh memukul mereka tanpa melukainya. Sebaliknya kewajipan kamu terhadap mereka ialah membelanja dan memberi mereka pakaian yang sempurna."

Pernyataan ini menjelaskan bahawa Islam mengangkat kedudukan wanita ke tahap yang mulia terlebih dahulu dari barat. Islam telah membebaskan wanita dari belenggu perhambaan dan penindasan yang parah dalam sejarah manusia.

Wanita dijadikan pemuas nafsu lelaki dan dianggap membawa bala bencana kepada keluarga. Oleh itu, Rasulullah memberi jaminan kepada golongan wanita bahawa Islam menghormati hak mereka. Apa yang berlaku kini yang mana sebahagian kecil masyarakat yang menganggap Islam tidak memperjuangkan nasib wanita adalah tidak benar.

Perkara ini berlaku disebabkan mereka tidak memahami konsep Islam yang sebenar tentang wanita ataupun disebabkan tafsiran yang silap oleh ulamak. Hal ini boleh berlaku jika para ulamak menyempitkan pandangan dalam masalah yang berkaitan mengenai wanita.

Rasulullah juga telah mengisytiharkan dua perkara yang harus diikuti oleh umatnya supaya mereka tidak sesat lagi iaitu mematuhi dan berpegang teguh kepada al-Quran dan hadis.

Kedua-dua sumber ini merupakan panduan dalam kehidupan umat Islam dan menjadi timbangan terpenting untuk manusia berinteraksi sesama mereka. Apabila berlakunya perselisihan hendaklah umat Islam kembali kepada peraturan al-Quran atau sunnah nabi sama ada suka atau tidak.

Dalam khutbah ini, Rasulullah menyuruh para sahabat menyampaikan amanat ini kepada seluruh umat Islam yang tidak hadir ketika itu. Perkara ini menunjukkan amanah dakwah harus disampaikan kepada seluruh manusia.

Pada saat ini juga turunnya ayat terakhir kepada nabi Muhammad dengan firman Allah yang bermaksud : Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu. (al-Maidah 3)

Apabila Saidina Umar mendengar ayat ini lalu ia menangis dan ditanyakan kepadanya mengapa beliau menangis. Beliau menjawab bahawa tidak ada sesuatu yang telah sempurna kecuali adanya sesuatu kehilangan. Seolah-seolah beliau telah merasai kewafatan Rasulullah telah hampir.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.