Logo
Print this page

Generasi Berilmu Teras Pembinaan Keperibadian Unggul

Khairul Arifin Mohd Munir@Zahari

Generasi muda kini masih terbelenggu dengan krisis kurangnya budaya keilmuan dan keintelektualan yang mana merupakan asas kepada kemajuan dan kepembangunan suatu tamadun.

Kejayaan tamadun-tamadun silam yang berjaya mempengaruhi dunia hingga hari ialah tamadun yang mampu menghasilkan idea, tulisan, ciptaan dan peloporan dalam sesuatu perkara baru hasil tercetusnya perkembangan ilmu dan keintelektualan. Tamadun Yunani, China, India, Bizantin, Rom, Parsi dan sebagainya amat menyerlah dalam sejarah kerana ketrampilan mereka memajukan idea. Lebih-lebih lagi Tamadun Islam amat gemilang sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan.
Bapak Muhammad Natsir, bekas Perdana Menteri Indonesia mengungkapkan bahawa generasi muda kini khususnya di peringkat kepimpinan dan masyarakat dilanda dengan ketiadaan “inventariasi”. Ketiadaan inventariasi ini merujuk kepada kekeringan idea dan kemuflisan daya cipta sehingga tidak mampu mengembang dan memanfaatkan potensinya.

Kata-kata beliau ini ada kebenarannya, apabila kita meneliti senario generasi muda kini ramai yang mempunyai Ijazah, Diploma, sijil-sijil kemahiran dan sebagainya tetapi tidak berupaya untuk memanfaatkan ilmu-ilmu yang diperolehi di menara gading untuk dikembangkan dengan penuh inovasi dan kreativiti. Contoh termudah, ramai graduan-graduan yang menganggur gagal memanfaat potensi diri mencipta peluang-peluang pekerjaan baru selain daripada mengharap untuk bekerja makan gaji. Bagi yang telah mendapat pekerjaan, ada di antaranya masih terbelenggu dengan cara kerja lama dan tidak pro-aktif kerana kekurangan daya kreativiti, inovasi dan mengolah ilmu-ilmu yang telah dipelajari agar sesuai untuk dimanfaatkan kepada realiti semasa.

Fenomena kegersangan asas keilmuan, kreativiti dan keintelektualan ini khususnya kepada generasi muda akan menyebabkan kelesuan daya fikir yang akhirnya menyebabkan kegagalan untuk memahami realiti semasa dalam masyarakat kini. Akibatnya lahirlah program-program pembangunan, projek-projek dan aktiviti-aktiviti meliputi soal ekonomi, politik dan sosial yang gagal mengubati “simptom” sebenar yang menjadi puncanya. Banyak tenaga, wang dan keringat dihabiskan tetapi tiada kesan serta impak disebabkan ketiadaan penyelidikan, kajian serta meneliti masalah yang sebenar.

Tanpa pengukuhan ilmu yang utuh umat Islam akan lemah dan terus dijajah walaupun telah mencapai kemerdekaan kerana penyakit yang dinyatakan oleh Malek Binnabi sebagai penyakit “colonsibilite” yang bermaksud suka merelakan diri diperhambakan lantaran daripada jiwa yang lemah. Penyakit ini menyebabkan kita masih terjajah kerana kita meniru segalanya akibat lemah dari aspek pendidikan, keilmuan, pembangunan dan sebagainya.

Justeru, langkah-langkah proaktif perlu digerakkan bagi merekayarsakan budaya keilmuan dan tradisi Keintelektualan. Ilmu merupakan suatu perkara asas yang perlu diberi perhatian oleh setiap individu Muslim kerana ia adalah perkara pokok pembinaan umat dan ketamadunan. Islam mengasaskan kepada kekuatan dan pembudayaan ilmu dalam kehidupan Muslim, di mana Surah pertama yang diturunkan adalah Surah Al-Alaq. Pembinaan awal Tarbiyah dan pendidikan Islamiyyah adalah dengan asas ILMU. Firman Allah SWT:
“Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang paling Pemurah. Yang mengajar dengan pena. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah Al-Alaq 96:1 hingga 5)

Berasaskan kepada Surah Al-Alaq, ayat 1-5, ilmu dan segala proses ke arah pembinaanya adalah berpaksikan Tauhid. Pembinaan ilmu dalam konteks ini adalah ilmu yang sepadu dan menjurus kepada pembinaan 3 fakulti yang ada dalam diri manusia iaitu: akal, roh dan jasad.

Ilmu bukan sekadar mendapat maklumat tetapi kemampuan kita untuk membudaya dan memanfaatkannya. Natijah daripada prmbangunan dimensi keilmuan ini akan membawa kepada peningkatan intelektualisme, pemikiran kritis, pembangunan akhlak dan budaya hidup yang akan menjadi cerminan untuk melahirkan generasi yang mampu membina Tamadun Khyra Ummah.

Dato’ Dr. Siddiq Fadhil, mengungkapkan di dalam “Mengangkat Martabat Umat” (1989), bahawa; Penguasaan terhadap ilmu-ilmu Islam harus serba mencakup, padu dan seimbang, ia bukan penguasaan serpihan “juziyy” atau “partial” yang hanya menumpu kepada fiqhul ibadat/munakahat semata-mata. Perjuangan Islam tidak tegak di tangan orang-orang jahil. Para penggerak Islam perlulah menjadi ilmuan “tafaquh fi ‘d-din” di tengah-tengah gelanggang perjuangan sebagaimana yang disarankan oleh Syed Qutb dalam menafsirkan ayat 122 Surah At-Taubah:

Maksudnya: Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang Mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.
(Surah At-Taubah: 122)

Pencarian ilmu tidak terbatas kepada membaca dalam skop kursus tertentu, bidang akademik tertentu atau di atas faktor orientasi peperiksaan (exam oriented). Ia perlu diperluaskan kepada pelbagai disiplin keilmuan. Tidak semestinya seorang Jurutera atau Akauntan tidak boleh menjadi pendakwah dan mendalami ilmu-ilmu agama. Kita wajar menjadikan ulama’ dan tokoh-tokoh silam seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Al-Khawarizmi, Ibnu Khaldun dan ramai lagi yang mempunyai asas-asas ilmu agama yang kukuh di samping menjadi tokoh perubatan, sains dan ilmuan ulung yang diiktiraf seantero dunia.

Justeru itu aktiviti pemugaran budaya ilmu seperti; -Membaca , Memahami & Menghayati Al-Quran & Sunnah - Pembacaan buku-buku, makalah, jurnal dan majalah yang bercorak ilmiah dan pelbagai dari segi maklumat, perlulah diperluaskan. Generasi muda tidak harus membataskan pembacaan kepada aspek akademik atau bidangnya semata-mata tetapi meluaskan pembacaan dalam bidang-bidang lain di samping dalam masa yang sama menghadiri majlis-majlis ilmu dengan berguru, menghadiri kuliah-kuliah dan kumpulan perbincangan. Selain daripada membaca, proses pencambahan minda boleh diperluaskan kepada diskusi buku dan melibatkan diri dalam bidang penulisan dalam bentuk rencana, makalah, artikel, cerpen, novel dan pelbagai genre penulisan yang lain. Penggunaan teknologi elektronik terkini seperti melayari internet, diskusi maya dan e-mail perlulah dimanfaatkan secara positif sepenuhnya oleh generasi muda.

Ilmu faktor penyumabang kepada memantapkan akhlak, sakhsiah dan moral

Oleh itu, pengukuhan keilmuan & penghayatannya akan membawa kepada pembinaan Sakhsiah Islamiyyah dan menjadikan kita sebagai pemimpin dan individu Muslim yang mampu berfikir dengan tepat dan membuat keputusan dengan penuh pertimbangan. Pembinaan Sakhsiah Islamiyyah pada individu Muslim merupakan asas pertama ke arah suatu kehidupan serba Islamiyyah yang lebih luas.

Pembinaan ini harus meliputi dan sekali gus mengimbangi aspek rohani, jasmani dan akli menerusi amal yang berterusan dalam proses islahu ‘n-nafs sehingga terbentuknya peribadi unggul yang bercirikan kuat tubuhnya; kukuh moralnya; berkembang luas pemikirannya; mampu mencari sara hidup; sihat aqidahnya; tepat ibadahnya; bermujahadah terhadap dirinya; menjaga waktunya; tersusun rapi segala urusannya dan berguna kepada orang lain.

Kung Fu Tze juga pernah mengungkap kepentingan ilmu dalam pembinaan kualiti manusia bahawa “Human-heartedness is the highest virtue an individual can attain and this is the ultimate goal of knowledge and education.” Tambahnya lagi; “The education of an Individual is a preparation for a peacefully ordered society.”

Mengubah paradigma tentang konsep belajar

Oleh yang demikian pendidikan jelas merupakan asas kepada pembinaan masyarakat. Tanggapan bahawa konsep belajar hanya semata-mata mengejar kecemerlangan akademik perlu dibetulkan. Belajar bukan semata-mata mengejar kecemerlangan akademik tetapi penghayatan dan kefahaman yang mendalam bagaimana ilmu tersebut boleh dimanfaatkan. Konsep “exam oriented” perlu dikurangkan dalam sistem pendidikan negara. Falsafah Pendidikan Negara cukup ideal bagi melahirkan generasi yang terdidik dengan pembangunan keilmuan yang bersifat sepadu ke arah pembangunan jasmani, rohani, fizikal dan mental. Falsafah pendidikan negara mengungkapkan secara idealnya, iaitu;

“Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat serta negara Malaysia.” (Falsafah Pendidikan Negara)

Kaedah pembelajaran dan pengajaran (P&P) perlu dipertingkatkan lagi agar unsur pendidikan kreatif yang bersifat insani dapat diterapkan. Sudah tiba masanya di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PTD) atau Pejabat Pendidikan Negeri mempunyai peruntukan khas dan unit atau sekretariat R & D (Research & Development) tersendiri bagi mencari pendekatan terbaik mendidik para pelajar berdasarkan kajian domestik atau setempat yang sememangnya berbeza di antara satu sama lain. Selain itu, generasi muda kini khususnya para pelajar perlu didedahkan sejak dari awal lagi kaedah belajar atau “Smart Learning” yang merangkumi teknik mencatat nota, teknik membaca, teknik komunikasi dan pelbagai kemahiran pembelajaran secara intensif. Jika perlu Kementerian Pendidikan boleh mewujudkan satu subjek khusus berhubung dengan kemahiran belajar dan motivasi pembelajaran agar pendedahan awal diperolehi oleh para pelajar bagi membantu mereka menjadi generasi yang cemerlang dari segi sakhsiah dan akademik. Pendedahan awal ini akan banyak membantu mereka apabila berada di menara gading kelak.

Pendidikan bermula dari rumah

Asas kepada pembinaan budaya ilmu, pemantapan sakhsiah dan akhirnya kemerlangan pendidikan tidak boleh dinafikan bahawa pendidikan asas yang membentuk serta mencorak seseorang indidvidu adalah bermula dari rumah. Peranan ibu bapa cukup penting bagi memupuk budaya cintakan ilmu sejak daripada bangku sekolah lagi. Justeru itu pendidikan kekeluargaan dan keibubapaan adalah penting dalam suasana kini agar institusi kekeluargaan dapat melahirkan individu-individu yang cemerlang bukan sahaja dari segi akadamik tetapi juga cemerlang dari segi sakhsiah dan dalam masa yang sama mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat. Wajar kita merenung nukilan Buya atau Bapak Hamka yang cukup popular iaitu;

“ Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa,
Sendi bangsa adalah budi,
Runtuh budi, runtuhlah bangsa.”

Template Design © Joomla Templates | GavickPro. All rights reserved.