Kerohanian

Menghayati Hijrah

“Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami sesungguhnya akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempat yang baik; tetapi sesungguhnya ganjaran di Akhirat adalah lebih besar lagi; kalaulah mereka menyedarinya!” (An-Nahl : 41)

Di dalam ayat di atas, Allah telah menjanjikan balasan yang baik buat mereka yang telah teraniaya dan ditindas dan kemudian berhijrah kerana Allah s.w.t. Keadaan ini menceritakan kepada kita gambaran penderitaan saudara kita umat Islam pada masa dahulu yang menjadi pengikut Rasululullah s.a.w bagaimana mereka telah ditindas dan dihina kerana memeluk agama Allah, agama yang benar, namun, kerana agama itu bertentangan dengan agama yang menjadi anutan majoriti umat terdahulu, maka telah ditolak bulat-bulat oleh golongan musyrikin.
Jadilah golongan mereka yang beriman ketika itu sebagai sasaran kemarahan, penghinaan dan penindasan golongan Musyrikin yang begitu degil untuk menerima hidayah Allah.

Keadaan ini akhirnya menyebabkan Nabi Muhammad s.a.w, dengan petunjuk daripada Allah s.w.t. membuat keputusan untuk berhijrah meninggalkan Kota Mekah bersama pengikut-pengikut baginda. Penghijrahan ini sesungguhnya amat menyedihkan kerana mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman yang tercinta serta hasil-hasil yang telah mereka usahakan selama ini, namun mereka rela berkorban demi kecintaan yang lebih kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka yakin bahawa pengorbanan mereka bukanlah sesuatu yang sia-sia kerana keimanan mereka yang jitu serta tidak berbelah bahagi lagi.

Begitulah kuatnya iman orang-orang terdahulu. Jika kita menghayati sirah dengan lebih jauh lagi kita akan dapat mengetahui serta menghayati dengan lebih mendalam lagi akan maksud hijrah ini serta bagaimana pengorbanan umat terdahulu menghadapi ancaman serta mehnah dalam usaha golongan musyrikin merobek keimanan mereka. Namun, mereka terus bertahan menghadapinya dan sanggup meninggalkan apa yang mereka miliki semata-mata kerana Allah dan Rasul-Nya.

Bersempena dengan peristiwa hijrah inilah, maka, pada zaman kekhalifahan Sayidina Umar al-Khattab telah ditetapkan kalendar hijriah sebagai pedoman bagi umat Islam. Ini adalah bagi memudahkan umat Islam dalam membuat hitungan waktu untuk beribadah. Memetik kata-kata seorang al-hafiz Indonesia, Ustaz Hevi Firdaus di dalam Majalah Hikmah Keluaran Mei 2003: “Tidak ada keterangan yang sahih menunjukkan bahawa mulai awal tahun dalam kalendar Islam adalah Muharam. Namun, para sahabat melihat Asharul hurum (asbatu ashur, bulan yang diharamkan) lebih banyak disebut-sebut adalah Muharam.”

Mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah Rasul ini, bagaimana pula dengan kita umat zaman kini? Bagaimanakah kita mampu untuk menterjemahkan peristiwa hijrah ini di dalam kehidupan kita. Pastinya soalan ini dikira agak mudah untuk dijawab kerana jawapannya berada di mana-mana. Apabila tibanya tahun baru sama ada tahun baru Masihi atau tahun Hijrah, maka kita akan ditanya untuk suatu perubahan yang pastinya ke arah yang lebih baik. Namun, jawapan di mulut yang berupa perkataan adalah sangat mudah jika dibandingkan dengan perbuatan. Untuk melaksanakan ke arah perubahan yang lebih baik perlu dibuat dengan segera dan istiqamah kerana untuk melihat hasilnya berlaku memerlukan satu jangka masa yang sangat panjang.

Untuk melakukan hijrah atau perubahan maka, kita perlu menghisab perkara yang lepas. Banyak aspek yang perlu kita lihat yang utamanya mulakan dari diri sendiri. Kita sebagai seorang hamba Allah, apakah hak-hak Allah yang benar-benar kita jaga dan apakah yang sering kita langgari? Kita sebagai umat Muhammad, adakah kita telah berusaha untuk mengikuti sunnahnya? Sejauh manakah akhlak dan keperibadian baginda yang telah cuba kita contohi dan dijadikan sebagai amalan? Kita sebagai seorang anak, apakah hak-hak kedua ibubapa kita telah kita penuhi? Jika mereka sudah tiada, adakah kita ini anak yang soleh dan solehah yang sentiasa mendoakan kesejahteraan roh mereka di alam sana? Kita sebagai seorang ibu atau bapa, hak-hak terhadap anak kita, adakah telah dipenuhi? Kita sebagai seorang abang atau kakak, adakah kita benar-benar menjalankan peranan kita sewajarnya? Kita sebagai seorang penuntut ilmu, sebanyak manakah ilmu yang telah kita pelajari dan sejauh manakah ilmu tersebut dapat kita manfaatkan? Kita sebagai seorang pendidik, bagaimanakah hasil didikan kita terhadap anak-anak didik kita selama ini? Kita sebagai pemimpin organisasi, atau kita sebagai pemimpin negara, adakah hak-hak yang sepatutnya kita laksanakan telah dilaksanakan? Dan apakah perlaksanaan itu menurut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t?

Persoalan-persoalan ini masih sedikit jika mahu dikira untuk mencapai tahap muhasabah yang benar-benar sempurna dalam usaha untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Namun, kita perlu berubah ke arah yang lebih baik, soalan paling utama adalah kita sebagai khalifah Allah, adakah kita telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah kita janjikan di hadapan Tuhan Rabbul-Jalil?

Hijrah, adalah satu momentum ke arah satu perubahan yang lebih baik dan hendaklah dengan niat pada jalan Allah s.w.t. Sebagaimana huraian tafsir Al-Qur’anul Karim, oleh Maulana Abdullah Yusuf Ali, di dalam huraian maksud Surah An-Nahl, ayat 41, telah disebutkan di dalam nota kakinya:

“Tidak ada terdapat keutamaan atau kebaikan dalam perbuatan berhijrah itu sendiri. Untuk ianya mendatangkan kebaikan, mestilah: (1) ianya pada jalan Allah; dan (2) selepas berlaku penindasan dan kezaliman yang memaksa orang yang tertindas itu untuk memilih antara Tuhan dan manusia. Bila syarat-syarat ini ada padanya, maka mereka yang melakukan hijrah itu berhak untuk mendapat penghormatan setingginya, kerana mereka melakukan pengorbanan yang besar pada jalan Allah.”

Melihat senario di dalam negara kita yang dikira sebagai negara yang maju dan aman ini, sememangnya tidak ada yang susah dalam perkara agama. Cuma atas individu sahaja untuk memilih kerana kita tidak dipaksa untuk menukar agama, kita tidak ditindas kerana kita Islam sebagaimana yang berlaku di Filipina, Palestin mahupun negara-negara lain yang tidak bernasib baik. Sekiranya adapun sedikit diskriminasi di negara kita dalam profesion-profesion tertentu, kita masih ada jalan memilih yang lain, yang lebih selamat untuk agama kita. Walaupun syarat dizalimi dan ditindas sebagaimana yang disebutkan di atas mungkin tidak terpakai pada kita, namun, dalam kehidupan sehari-hari kita sering diuji antara memenuhi kehendak manusia serta kegembiraan mereka ataupun memilih keredhaan Tuhan. Jika kita memilih keredhaan Tuhan maka sudah pastilah ganjaran pahala yang besar buat kita. InshaAllah.

Daripada Aisyah r.a, katanya, “Rasulullah s.a.w. ditanya orang mengenai Hijrah. Maka bersabda Rasululullah : Tidak ada lagi Hijrah sesudah penaklukan Makkah. Yang ada ialah jihad dan niat yang sahih. Apabila kamu diperintahkan berjihad, maka patuhilah.” (Sahih Muslim)

Dalam melangkah menuju awal Muharram yang bakal menjelang ini, persiapkanlah diri kita dan ketahuilah kelebihan-kelebihan yang ada pada bulan ini agar kita dapat benar-benar memanfaatkannya. Semoga bermulanya tahun baru ini adalah dengan sesuatu yang lebih baik dan tahun yang lepas disudahi dengan sesuatu yang baik. Ditutup buku amalan kita bagi sesi yang lepas dengan penamatan yang baik dan dibuka semula dengan ditandai dengan amalan-amalan yang lebih baik.

Abu Hurairah r.a berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda;

“Seutama-utama puasa sesudah puasa Ramadhan ialah puasa Muharam dan seutama-utama solat sesudah solat Fardhu ialah solat malam. (Sahih Muslim)

Ibn. Abbas telah meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa pada akhir Zulhijjah dan awal Muharam, nescaya Allah ampunkan segala dosanya walau selama 50 tahun melakukannya.”

Ibn Abbas menjelaskan lagi:

“Sesiapa yang membaca doa ini pada 1 Muharam, Allah Taala akan mewakilkan dua malaikat memeliharanya pada tahun itu.”

Doanya hendaklah dibaca sebanyak tiga kali selepas waktu Maghrib pada malam 1 Muharam:


وصلى الله على سيدنا ومولانا محمد وعلى اله وصحبه وسلم , اللهم انت الابدي القديم الاول وعلى فضلك العظيم وجودك المعول وهذا عام جديد قد اقبل نسألك العصمة فيه من الشيطان واوليآئه وجنوده , والعون على هذه النفس الامارة بالسوء , والاشتغال بما يقربني اليك زلفى يا ذاالجلال والاكرام يآ ارحم الراحمين وصلى الله على سيدنا ومولانا محمد وعلى اله واصحابه وسلم .


Maksudnya: Selawat dan salam ke atas junjungan kami Muhammad serta seisi keluarga serta para sahabat baginda, Wahai Tuhanku, Engkaulah selamanya didahului pada tahun baru ini hamba bermohon kepada Engkau semoga terpelihara daripada syaitan dan pemerintah syaitan dan hamba memohon pertolongan Engkau, peliharakan hamba daripada nafsu amarah dan jahat, dan yang membimbangkan hamba akan perkara yang menghampirkan hamba dengan Engkau wahai Yang Mulia.

Selepas doa ini dibaca syaitan akan berkata, “Telah amanlah anak Adam ini daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah syaitan.”

Doa akhir tahun dibaca sebanyak tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijjah.


وصلى الله على سيدنا ومولانا محمد وعلى اله وصحبه وسلم , اللهم ما عملت في هذه السنة مما نهيتني عنه فلم اتب منه ولم ترضه ولم تنسه وحلمت علي بعد قدرتك على عقوبتي ودعوتني الى التوبة منه بعد جراتي على معصيتك فاني استغفرك فاغفرلي , وما عملت فيها مما ترضاه ووعدتني عليه الثواب فاسئلك اللهم يا كريم يا ذالجلال والاكرام ان تتقبله مني ولا تقطع رجائى منك يا كريم وصلى الله على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم.


Selepas doa ini dibaca, maka berkatalah syaitan;

“Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab doa itu Allah mengampunkannya setahun.”

Marilah kita bersama-sama menjadi hamba Allah yang sentiasa meningkatkan diri ke arah kebaikan. Jangan sampai kita menyesal di kemudian hari, tatkala amalan kita dihitung dan banyak rupanya masa yang telah kita sia-siakan. Ingatlah, setiap hembusan nafas kita adalah material di sisi Tuhan kerana setiap masa malaikat akan menyampaikan sama ada hamba ini sentiasa ingat pada Tuhannya, dan Allah juga sememangnya Maha Mengetahui sama ada hamba ini ingat padaNya. Semoga kita diberi kelapangan masa oleh Allah s.w.t. untuk memanfaatkan masa yang ada ini ke arah keredhaanNya serta memperbanyakkan ketaatan sebagai bekalan kita di akhirat sana. Amin.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.