Kerohanian

Jadilah Insan Yang Bersyukur

Az-Zaujah

Di mana-mana sahaja kebelakangan ini kita sering mendengar, menatap di dada-dada akhbar mahupun di kaca-kaca televisyen berkenaan tragedi-tragedi serta musibah-musibah yang menimpa bukan sahaja yang berlaku di luar negara malah di tempat-tempat berdekatan dengan kita.

Mungkin di kalangan kita juga ada yang telah dan pernah merasai kepedihan, kepahitan, kesakitan kehilangan orang-orang yang dicintai, ataupun perkara-perkara yang sangat kita hargai dalam hidup ini. Namun, kita harus ingat, segala-galanya adalah milik Allah s.w.t. dan kepada Allah jualah ia akan kembali serta dengan kehendak-Nya jualah sesuatu itu terjadi.
Walau apapun, kita sebagai hamba hendaklah sentiasa redha atas apa yang ditentukan dan sentiasa bersyukur atas segala kurniaan Allah s.w.t. Kenikmatan, kemuliaan dan penghormatan sebenarnya adalah satu bentuk ujian kepada hambanya cuma bentuk yang dirasai adalah berbeza dengan kepahitan, kepedihan dan penghinaan. Dalam menghadapi ujian ini manusia tidak boleh alpa kerana banyak lagi sebenarnya nikmat yang telah Allah s.w.t. berikan kepada kita. Sekiranya kita benar-benar golongan manusia yang berfikir, kita pasti akan sedar hakikat itu sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud;

"Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah s.w.t. nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang." 
(Surah An-Nahl: 18)

Bersyukur kepada Allah s.w.t. adalah menjadi kewajiban mutlak ke atas kita sebagaimana yang disebutkan di dalam buku “Inilah Islam” karangan H. Salim Bahreisy dan Said Bahreisy:

Manusia yang bersyukur akan ditambahkan nikmat oleh Allah dan dijauhkan bala serta dilindungi dari siksaan Allah s.w.t.

Oleh itu, hendaklah kita sentiasa menjadi hamba yang bersyukur. Jadikan tahmid sebagai basahan bibir, sentiasalah melakukan sujud syukur kepada Allah s.w.t. walau sekecil manapun sesuatu yang kita perolehi dan berdampinglah dengan Allah sentiasa (taqarubillah). InshaAllah, kita akan tergolong di dalam golongan mereka yang mendapat keredhaan-Nya. Amin.
More in this category: Haji Membentuk Keperibadian Mulia »

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.