Kontemporari

Menangani Jenayah Seks : Pendekatan Bersepadu Sebenar

Sdr. Yusri Mohamad

Tulisan ini bertujuan meluaskan ufuk bahasan dan meninjau dimensi-dimensi yang terabai dalam menanggapi gejala jenayah seks yang makin meningkat dalam masyarakat kita. Penilaian yang lebih komprehensif dan menyeluruh ini dirasakan amat mendesak apabila menyaksikan maklumbalas-maklumbalas terhadap kes-kes yang berlaku seringkali bersifat terlalu emosional dan vindiktif. Terlalu memfokuskan hukuman terhadap pesalah yang terlibat dan tidak mengajak untuk melihat dan mengakui kesilapan semua pihak yang menyumbang terhadap berlakunya jenayah tersebut. Memanglah sipenjenayah wajar dihukum dengan berat dan setimpal.

Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan, selagi mana tidak kesemua pesalah termasuklah yang menyumbang secara tidak langsung, mengaku kesalahan masing-masing dan bersedia berubah, selagi itulah masalah ini tidak akan ditangani sewajarnya dan kita sebenarnya hanya sekadar menanti saat anak siapalah pulak seterusnya akan menjadi mangsa! 

 

Kearah pendekatan bersepadu sebenar, marilah kita tinjau faktor-faktor utama disebalik jenayah seumpama ini. Pertamanya, dorongan nafsu seks dan naluri ganas yang tidak terkawal, keduanya, tiada alternatif atau outlet yang halal dan ketiganya, adanya kesempatan dan ruang untuk melakukan jenayah tersebut. 

Faktor pertama, dorongan nafsu seks dan sifat ganas yang tidak terkawal boleh dibahagi dua. Nafsu seks dan sifat ganas itu sendiri dan keadaannya yang tidak terkawal. Nafsu seks memanglah ianya suatu naluri semulajadi dalam diri manusia. Cuma gejolaknya berbeza-beza diantara satu individu ke individu yang lain bergantung kepada sekadar mana naluri ini diurus-kendali. Gejolaknya dalam diri seseorang akan meningkat terutamanya jika dia dikelilingi pelbagai imej dan mesej yang merangsangkan nafsu tersebut. Ini bertambah buruk jika pengisian akal dan jiwanya tidak disaingi oleh imej dan mesej yang bersifat positif. Dalam hal ini, bukankah kita perlu mengakui secara jujur bahawa terdapat suatu lambakan imej-imej dan mesej yang merangsangkan nafsu seks dalam masyarakat kita. Dimana-mana dan dikeliling kita, dikaca tv, vcd, akhbar harian, tabloid, majalah, novel, internet, iklan dan lain-lain secara terang dan tersembunyi imej dan mesej seksual bebas digunakan sebagai tarikan dan hiasan. Misalnya filem-filem Hindustan, Barat, Tamil dan telenovela asing yang cukup popular di segenap peringkat dalam masyarakat kita, tidak segan silu memaparkan imej dan mesej yang merangsangkan. Di peringkat yang lebih serius, vcd dan internet membuka ruang kepada imej dan mesej yang ketahap yang lebih ranjang. Tak kurang juga imej-imej ini yang berunsur keganasan. Jika tidakpun imej dan mesej ganas sedia terlambak di tengah masyarakat, juga melalui medium yang sama seperti melalui populariti gusti dan filem-filem aksi yang sedikit sebanyak menumpulkan sensitiviti orangramai terhadap keganasan.

Memang tidak semua orang yang terdedah dan terangsang oleh imej dan mesej seks dan ganas akan seterusnya melakukan jenayah seks tersebut. Hanya minoriti kecil yang akan sampai ketahap tersebut kerana kelemahan kawalan diri dalaman. Kawalan diri dalaman ini terbentuk oleh nilai-nilai agama dan moral yang terhasil dari pendidikan formal dan persekitaran. Suatu aspek lain kawalan dalaman ini adalah kesedaran dan kegerunan terhadap hukuman dan balasan sama ada di dunia atau akhirat. Mereka yang mempunyai pengisian secukupnya nilai dan kesedaran ini tidak akan sanggup terlibat dalam jenayah seks walaupun mungkin mereka turut terangsang oleh lambakan imej dan mesej seks dan ganas ditengah masyarakat.

Bila lambakan imej dan mesej seks cuba dipersalahkan atau isu tapisan (censorship) dikaitkan biasanya akan ada yang melenting membantah. Bagi mereka punca dan tumpuannya sebenar adalah kelemahan pendidikan dan pemupukan jatidiri yang menjadi perisai bagi anggota masyarakat. Kepada mereka ini, kita katakan “Ya”, pandangan mereka betul tetapi ianya sudah lama kita akui dan sedari. Dan mungkin juga sudah ada langkah yang kita ambil selaras dengannya. Kita katakan juga, pandangan mereka ini betul tetapi betul dan benar ke satu tahap. Ia betul dan benar bagi kelompok majoriti yang mendapat pendidikan dan pendedahan nilai yang secukupnya. Soalnya disini, kita sedang bercakap tentang jenayah seks ganas yang diperlakukan oleh segelintir mereka yang tidak mendapat pengisian secukupnya. Jenayah seks ganas yang walaupun melibatkan kelompok kecil dan hanya berlaku sesekali tetap menghancur-luluhkan jiwa seluruh ahli masyarakat. Kelompok kecil ini akan tetap ada dalam mana-mana masyarakat. Adalah tidak realistik untuk kita mengharapkan mereka ini agar berfikir dan bertindak seperti golongan yang terdidik. Sebaliknya suatu pendekatan yang dapat membantu adalah dengan menapis dan mengurangkan imej yang merangsangkan nafsu seks yang terlambak ketengah masyarakat. Bukankah ini juga sebahagian dari pendekatan mendidik? Tidak sanggupkah kita berkorban sedikit kebebasan dan keseronokan kita berhibur demi menyumbang kearah meminimakan faktor penyumbang gejala jenayah seks ganas dalam masyarakat kita? Mungkin bagi sesetengah orang ini adalah harga yang terlalu mahal atau tidak perlu. Dan mereka inilah juga yang akan turut lantang bersuara sehari dua bila Nurul Huda yang seterusnya menjadi mangsa!

Tulisan ini memberi penekanan yang lebih terhadap faktor ini kerana dirasakan bahawa ia kurang diberi perhatian atau seringkali diperlekehkan selama ini. Mungkin inilah dia dimensi yang terabai (the missing dimension) selama ini, dalam penanganan kita terhadap isu seumpama ini dalam masyarakat kita. Dan sekali lagi mungkin kita mengabaikannya selama ini kerana ia ubat yang terlalu asing atau terlalu pahit bagi kita. Ia menuntut kita mengubah gaya hidup dan tabiat. Realitinya, kita sudah terlalu selesa dengan persekitaran dan gaya hidup yang sedia ada kalaupun sesekali persekitaran yang kita bentuk bersama itu membuahkan kesan sampingan yang kita semua benci. Jika itulah sikap kita, mungkin tak perlulah kita gegak-gempita memprotes jika tragedi seterusnya berlaku. Kita terima sahajalah ia sebagai kesan sampingan semulajadi (life-style hazard!) bagi gaya hidup dan persekitaran yang kita pilih secara sedar dan sukarela!

Faktor lain yang menyumbang kearah berlakunya jenayah seks adalah adanya ruang dan kesempatan bagi sipenjenayah. Ruang dan kesempatan terkait dengan soal siapa sipenjenayah tersebut, kedudukan dan kebebasannya bergerak ditengah masyarakat, rekod jenayahnya dan sama ada ianya diketahui. Ia juga terkait dengan lokasi berlakunya jenayah. Tanpa lokasi yang sesuai penjenayah setegar manapun akan sukar membuat angkara. Siapa simangsa juga termasuk dalam faktor ini. Ini amat jelas dalam kes-kes yang melibatkan soft targets seperti kanak-kanak ataupun ahli. Faktor mangsa juga penting dalam kes-kes jenayah seks yang melibatkan mangsa diperdayakan oleh kenalan sama ada lama ataupun baru.

Faktor ketiga yang mungkin lebih relevan kepada sipenjenayah seksual dan sedikit terkait dengan mangsa adalah ketiadaan saluran (outlet) yang halal dan sah disisi undang-undang bagi memuaskan nafsu seksual yang bergejolak. Kecuali dalam kes-kes penjenayah yang benar-benar psikopatik, faktor terdesak mencari keseronokan dan kepuasan ini sedikit sebanyak menyumbang kepada berlakunya jenayah seks.

Jika kita bersedia mengambil-kira faktor-faktor yang telah dihuraikan diatas, antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil adalah termasuk :-

- Menghapuskan lambakan imej dan mesej yang merangsang nafsu seks dalam masyarakat.

-Menghentikan eksploitasi wanita dan tema seks dalam amalan pengiklanan dan hiburan.

- Mengurangkan paparan imej keganasan ditengah masyarakat.

- Mengenakan hukuman yang lebih berat dan proses penghakiman yang lebih cepat.

- Mengawasi dan membataskan individu yang berisiko tinggi melakukan jenayah tersebut.

- Meningkatkan dan menyebarluaskan pendidikan dan latihan khas tentang keselamatan peribadi.

- Menggerakkan usaha kerjasama tetangga dalam mencegah jenayah dan meniadakan lokasi-lokasi berisiko tinggi seperti sarang-sarang penagih.
Menggalakkan perkahwinan dan kehidupan berkeluarga yang sihat dengan membentuk budaya dan menyediakan prasarana sosial yang sesuai.

- Mewujudkan suasana kehidupan persekolahan yang selamat termasuk waktu persekolahan, kawasan sekolah dan pengangkutan.
Menyubur dan mempopularkan mesej dan imej keTuhanan, kemanusiaan, moral dan nilai-nilai positif yang lain.

Kesediaan mengakui kesemua faktor-faktor yang terlibat serta kesediaan mengambil tindakan sewajarnya adalah jaminan terbaik membebaskan masyarakat kita daripada wabak jenayah seks ganas.

Yusri Mohamad
Gombak, 26 Januari 2004
 

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.