Kontemporari

Kebejatan Akhlak Dan Jenayah Rogol di Kalangan Umat Melayu Islam

Muhammad Qassim, Bandaraya Alor Star

Saya termasuk dalam ribuan atau jutaan rakyat Malaysia yang turut prihatin dengan beberapa peristiwa kebejatan dan jenayah akhlak yang melanda masyarakat Melayu Islam Malaysia masakini, termasuklah peristiwa yang melibatkan anggota pihak keselamatan negara. Sesungguhnya gejala ini amat memalukan umat Melayu di Malaysia yang rata-rata beragama Islam. Pelbagai pihak telah menyatakan keprihatinan mereka terhadap perkara ini. Ada yang menyalahkan institusi agama, ulamak, mufti, Jabatan Agama dan badan-badan dakwah kerana tidak berperanan dengan berkesan untuk mengatasi masalah ini. Golongan agama dituduh hanya pandai bersyarah di dewan-dewan kuliah berhawa dingin, berseminar dan asyik berpolitik untuk merebut kuasa.
 
Ada pula yang membela pelbagai program yang dibuat oleh pihak pemerintah sebagai usaha yang berkesan untuk masyarakat sehingga apabila berlaku saja gejala sosial, golongan agama akan dipersalahkan dengan berbagai kecaman seperti pengajaran tidak betul, ilmu yang menyesatkan, uslubnya(caranya) songsang dan lain-lain lagi. Pihak kerajaan langsung tidak dipersalahkan walaupun ia berkuasa untuk melulus atau tidak melulus sebarang rancangan, pertunjukan dan konsert hiburan yang melibatkan percampuran lelaki dan perempuan yang jelas bercanggah dengan peraturan Islam atas alasan masyarakat majmuk, toleransi agama, melayan kehendak anak muda dan seumpamanya.Mari kita cuba mencari jalan untuk mengatasi masalah ini.
Pertama, apakah kayu ukuran yang hendak digunakan untuk menyelesaikan masalah ini? Adakah agama, budaya , undang-undang atau sistem? Ada yang mencadangkan pindaan undang-undang di mana perogol yang didapati bersalah disebat dikhalayak ramai untuk menjadi iktibar pada orang ramai. Ada pula yang mencadangkan sistem hukuman lebih menekankan pemulihan para penjenayah seksual agar mereka tidak lagi mengulangi perbuatan mereka. Tidak kurang juga yang berpendapat perlu diperbanyakkan kegiatan kebudayaan sihat agar para pemuda ada tempat yang sesuai dan selamat untuk menghabiskan masa lapang mereka.

Cadangan-cadangan tersebut adalah baik tetapi tidak sempurna jika tidak melibatkan agama Islam kerana agama Islam sememangnya syumul dan merangkumi budaya, segala sistem dan undang-undang. Ringkasnya Islam adalah lengkap sebagaimana yang telah difirmankan Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud ;

”Pada hari ini Aku telah sempurnakan untuk kamu agama kamu, telah Aku cukupkan untuk kamu niamatKu dan telah Aku redhai Islam menjadi agama kamu”

Mengapa peraturan daripada Maha Pencipta yang mencipta manusia itu sendiri tidak diambil untuk menyelesaikan kemelut akhlak yang melanda umat Melayu kini? Adakah kita lebih bijak daripada Maha Pencipta kita sehingga kita enggan menggunakan garis panduanNya ?

Mengapa golongan agama dipersalahkan apabila gejala sosial dan jenayah akhlak di kalangan umat Islam Melayu meningkat ke tahap yang membimbangkan sedangkan pihak yang menyediakan prasarana gejala sosial dan persekitaran yang menjurus kepada keruntuhan akhlak tidak ditegur, dikecam atau dipersalahkan?

Berikut ialah beberapa contoh akibat yang menimpa golongan agama atau golongan yang anti maksiat apabila mereka cuba memainkan peranan untuk memelihara kesucian agama Islam di Malaysia.

Peristiwa 1

Kejadian ini belaku di Sungai Patani, Kedah tidak berapa lama dulu. Kumpulan anti maksiat Jabatan Agama telah menyerbu sarang maksiat untuk menangkap pasangan yang berkhalwat. Orang yang terlibat adalah seorang anggota polis. Bila terkepung, dia enggan menyerah diri. Sebaliknya dia telah mengeluarkan pistol dan melepaskan tembakan untuk melarikan diri. Salah seorang anggota pasukan anti maksiat itu telah cedera parah dan akhirnya mati tidak lama kemudian akibat kecederaan itu. Dalam perbicaraan, anggota polis itu dibebaskan atas alasan kerana mempertahankan diri. Kes ini membuat orang Islam yang prihatin berfikir dua kali jika hendak melakukan kerja-kerja mencegah maksiat, lebih-lebih lagi apabila melibatkan anggota polis. Kes ini juga seolah-olah memberi lampu hijau untuk anggota polis melakukan maksiat sambil membawa senjata api.

Peristiwa 2

Beberapa tahun dulu, tiga orang gadis Melayu Islam ditangkap dan didakwa oleh Jabatan Agama Islam Selangor atas arahan Mufti Selangor kerana mendedahkan aurat mereka di khalayak ramai dalam satu pertandingan ratu cantik. Keprihatinan Mufti Selangor dalam mempertahankan maruah gadis Islam dan nilai Islam telah mengundang kecaman daripada berbagai pihak. Tindakan beliau dituduh melampau dan memalukan gadis-gadis itu. Ada yang mengatakan gadis-gadis itu sepatutnya dinasihati dengan baik atau diberi kaunseling dan bukan ditangkap. Menteri juga turut meletakkan Mufti di kandang orang salah dengan menuduhnya keterlaluan dalam tindakannya. Akhbar dan media dengan dokongan orang yang cetek agama, terus menyerang Mufti dengan menggambarkan tiga gadis itu sebagai mangsa dan Mufti sebagai pemangsa. Akhirnya ’mangsa’ dibela, dibelai dan dinobatkan sebagai serikandi oleh media dan Mufti yang dilantik menjadi Mufti atas kelayakan ilmu agamanya, telah menyusuri para ’pemangsa’ lain seperti singa yang mati ditangan pemburu kejam. Bezanya ialah Mufti ditamatkan kontraknya. 

Peristiwa 3

Apabila tv Malaysia melipatgandakan penayangan filem-filem Bollywood yang memaparkan adegan-adegan penyembahan berhala Hindu, tidak ramai yang melahirkan rasa bimbang tentang perkara ini. Hanya pihak yang perihatin dengan nasib masa depan aqidah umat Melayu Islam saja yang akan mengambil langkah ’mencegah lebih baik daripada mengubat’.

Ketika ramai pihak lain senyap saja dengan perkembangan tersebut, Mufti Perak yang mewakili Majlis Mufti telah membuat kenyataan agar dibendung penayangan filem-filem Bollywood demi kepentingan aqidah umat Melayu Islam. Keprihatinan golongan agama sekali lagi teruji. Sekali lagi golongan yang cetek agama menunjukkan keberanian mereka mempertikaikan teguran daripada orang yang terdidik dan terpelajar dalam bidang agama. Sekali lagi media berperanan meremehkan maruah golongan agama. Sekali lagi golongan agama dipersendakan seolah-olah jawatan Mufti tidak membawa apa-apa erti pun.

Setelah diamati tiga peristiwa yang menunjukkan akibat yang ditanggung golongan agama yang cuba berperanan memperbaiki akhlaq umat Melayu Islam, lebih-lebih lagi mereka yang bertaraf Mufti, tidak hairanlah kita jika orang yang tidak bertaraf Mufti berasa kecut perut untuk menjadi penawar umat.

Cara menangani masaalah ini

Kemelut ini perlu ditangani secara bersepadu.

1. Pihak berkuasa perlu berhenti menyediakan prasarana gejala sosial dan persekitaran yang menjurus kepada maksiat.

2. Pihak berkuasa perlu mendaulatkan semula peraturan Islam di dalam semua sudut kehidupan manusia kerana Yang Maha Pencipta lebih mengetahui tentang keperluan manusia daripada manusia itu sendiri. Yang mencipta lebih arif tentang yang dicipta daripada yang dicipta itu sendiri. Kebaikan dan kebahgiaan yang dihasilkan oleh peraturan Islam adalah untuk dimanafaatkan dan dniamati oleh golongan Islam dan bukan Islam.

3. Pasangan suami isteri yang bekerja perlu menilai semula peranan mereka agar mereka dapat mendidik anak-anak mereka dengan sempurna dan bermutu mengikut kaca mata Islam. Jika tidak menjejaskan keperluan asasi keluarga, lebih baiklah si isteri berhenti kerja dan memberi tumpuan kepada pendidikan anak-anak di rumah. Bolehkah anak-anak membesar dengan sempurna dan seimbang keperluan duniawi dan ukhrawinya jika ibu bapa keluar kerja awal pagi dan pulang kerja waktu maghrib dalam keadaan keletihan?

4. Pihak pemerintah perlu membantu institusi keluarga agar si ibu tidak perlu lagi keluar bekerja kerana pendapatan si bapa tidak cukup untuk menyediakan keperluan asasi keluarga sehingga menyebabkan anak-anak tidak mendapat pendidikan yang baik dari kaca mata Islam.

5. Segala program dan perancangan oleh pihak pemerintah dan juga pihak lain, lebih-lebih lagi yang melibatkan kepentingn golongan remaja dan belia, hendaklah menjurus kepada pengukuhan iman, pembinaan akhlak dan pemuliharaan jatidiri bahasa, bangsa dan negara.

6. Segala penggubalan dasar negara perlulah mendapat nasihat para ulama dan golongan agama sebelum diluluskan dan dilaksanakan dan bukan selepas diluluskan dan dilaksanakan. Pandangan mereka perlu diambil kira sebelum kita menuduh mereka tidak berperanan dalam menangani kemelut masyarakat. Dasar-dasar yang dimaksudkan di sini ialah segala dasar yang boleh mempengaruhi kepentingan dan kelangsungan hidup negara masakini dan masa depan seperti dasar pendidikan, dasar bahasa, dasar yang menyentuh media cetak dan media elektronik, dasar penerangan dan penyiaran yang melibatkan dunia hiburan, seni lakon, seni suara, dasar keselamatan dalam negara dan luar negara, dasar yang berkaitan perundangan dan badan kehakiman dan sebagainya.

7. Memberi ruang yang luas pada golongan agama menjalankan usaha mengislahkan masyarakat melalui perancangan dan tindakan yang menggabungkan unsur-unsur terbaik dan strategis dalam kaedah lama dan ebaru.

8. Hentikan segala usaha yang menghina kedudukan dan menjatuhkan maruah golongan agama dan ulama agar mereka dapat melaksanakan tugas mereka sebagai pewaris para nabi dengan lebih sempurna dan berkesan.

9. Segala rancangan tv, radio, seni lakon, seni suara, seni tari, filem, konsert dan lain-lain bentuk hiburan perlu mendapat kelulusan atau nasihat majlis ulama sebelum dipersembah kepada orang ramai.

10. Pihak berkuasa melipatgandakan usaha kepada golongan bukan Islam agar mereka faham bahawa peraturan Islam juga membahagia dan menguntungkan mereka ( Rahmatan lil Alamin ).

Sepuluh langkah di atas ini adalah sekadar asas kepada jalan penyelesaian yang lebih jitu dan menyeluruh apabila berbagai pihak mula menyedari tentang betapa perlunya dicari penawar kepada kemelut yang sedang melanda umat Melayu Islam ini.

Bolehkah umat Melayu Islam menjadi hebat dan kuat dengan mencerca golongan agama dan nilai-nilai agamanya ? Muhammad Asad telah mengingatkan kita tentang perkara ini:

”Bukan umat Islam yang membuat Islam itu hebat tetapi Islamlah yang membuat umat Islam itu hebat.”

Sekian, terima kasih.

AHMAD BIN KASIM,This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.