Kontemporari

Peranan NGO Islam Mewujudkan Kerjasama Dengan Pencinta Keamanan di Seluruh Dunia

Dr. Chandra Muzaffar

(Kertaskerja yang dibentangkan di Multaqa Ulama Sedunia anjuran Kerajaan Malaysia pada 10-12 Julai 2003 di Marriot Hotel, Putrajaya)

Sebagai mukaddimah kita cuba mentakrifkan 'NGO Islam' dan 'Pencinta Keamanan'. NGO Islam ialah badan bukan kerajaan samada yang menggunakan label 'Islam' dalam namanya ataupun istilah-istilah lain yang berkaitan dengan Islam. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) layak digolongkan dalam kategori pertama; Jemaah Islah Malaysia(JIM) dalam kategori kedua. Oleh kerana 'Pencinta Keamanan' bukannya institusi tertentu skopnya lebih luas.Kita menggolongkan setiap badan dan pergerakan yang menentang perang dan memperjuangkan keamanan terutamanya dalam konteks perang Iraq baru-baru ini dalam kategori ini. Contoh-contoh dalam kategori ini terdiri daripada organisasi-organisasi seperti International Action Centre di New York, Asian Peace Alliance yang beribu pejabat di Hong Kong dan Focus on the Global South di Bangkok. (1)
Sebelum meninggalkan perbincangan tentang takrif, harus kita menekankan dua perkara ironis tentang NGO Islam dan Pencinta Keamanan. Lebih banyak NGO Islam menentang perang Iraq di negara-negara yang berbilang agama atau negara-negara yang majoriti penduduknya bukan Islam daripada di negara-negara dimana hampir seratus peratus penduduknya terdiri daripada orang Islam. Ini adalah kerana di kebanyakan negara yang penduduknya seratus peratus Islam tidak ada ruang untuk mendirikan NGO atau badan lain yang bebas daripada kawalan pemerintah. Begitu juga Pencinta Keamanan lebih banyak dan lebih cergas di negara-negara bukan Islam yang demokratik di Barat daripada di negara-negara Islam di dunia Arab mahu pun di Asia. Sekali lagi ini adalah kerana persekitaran politik demokratik di Barat membolehkan penentang-penentang perang-- walaupun di negara-negara penceroboh seperti Britain dan Itali untuk menyuarakan bantahan mereka secara terbuka dan mengadakan demonstrasi.

Pengenalan ini membawa kita kepada lima persoalan asas dalam kertaskerja ini. Pertama, apakah bukti kerjasama antara NGO Islam dan Pencinta Keamanan, apakah faktor-faktor yang mendorongnya dan apakah kesannya? Kedua,apakah yang membezakan NGO Islam daripada Pencinta Keamanan dalam perjuangan masing-masing ?Ketiga, dalam dialog antara kedua-dua pihak apakah mesej yang harus disampaikan oleh NGO Islam kepada Pencinta Keamanan dan apakah pula mesej yang Pencinta Keamanan dapat menyampaikan kepada NGO Islam ? Keempat, apakah kelemahan utama yang harus diatasi oleh NGO Islam dalam memperjuangkan keadilan dan keamanan sejagat ? Kelima, apakah peranan NGO dan Islam dalam menegakkan keamanan dalam abad ke-21 ?

Kerjasama

Kempen anti-perang yang tercetus beberapa bulan sebelum pencerobohan keatas Iraq berlaku pada 19 Mac 2003 memperlihatkan kali pertamanya NGO Islam berganding bahu dengan Pencinta Keamanan secara besar-besaran.

Sebelum ini dalam isu perang Teluk pada 1991 dan juga konflik Bosnia (1992-95) beberapa pertubuhan Islam khususnya di Eropah pernah menyertai demonstrasi anjuran Pencinta Keamanaan tetapi penglibatan mereka adalah terbatas. Jauh berbeza keadaannya dalam isu Iraq. Beratus ratus pertubuhan Islam dan beribu ribu penduduk Muslim di Britain, Perancis, German, Itali, Kanada, malah Amerika Syarikat sendiri, menyertai dan menyokong perhimpunan- perhimpunan yang diadakan untuk membantah perang.(2) Selain daripada demonstrasi, Pencinta Keamanan bersama-sama dengan aktivis NGO Islam menghantar surat terbuka dan memorandum kepada pemimpin-pemimpin seperti Presiden George Bush dari Amerika Syarikat dan Perdana Menteri Tony Blair dari Britain serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan.

Kerjasama ini wujud bukan sahaja dikalangan kumpulan-kumpulan di negara Barat. Di India, Indonesia, Malaysia dan dibeberapa negara Asia yang lain, NGO Islam dan Pencinta Keamanan yang menganggotai berbagai pertubuhan mengadakan aktiviti-aktiviti bersama termasuk perhimpunan dan forum. Aman Malaysia, gabungan NGO berbilang kaum dan agama yang diperintiskan oleh Pemuda UMNO, adalah salah satu daripada contohnya.(3)

Apakah faktor-faktor yang mendorong NGO Islam dan Pencinta Keamanan serta beberapa kumpulan lain bekerjasama dalam isu Iraq ? Mungkin faktor utama adalah ketidakadilan yang begitu ketara. Dalam isu Iraq ketidakadilan itu jauh lebih terserlah daripada episod-episod sebelumnya seperti perang Teluk atau pun perang Afghanistan. Sepertimana dihujah oleh beberapa pengkritik, perang Iraq sengaja direka untuk mencapai beberapa matlamat tertentu _iaitu, penguasaan Washington terhadap minyak Iraq ; hegemoni dunia Washington ; dan kepentingan elit Israel.(4) Rekaan yang diiringi dengan pembohongan dan penipuan yang dahsyat inilah yang tidak dapat diterima oleh majoriti warga dunia.(5)

Selain daripada ketidakadilan, pembohongan dan penipuan, penggabungan NGO Islam dengan Pencinta Keamanan secara besar-besaran mungkin juga membuktikan bahawa masyarakat Islam telah muncul sebagai suatu tenaga politik yang penting dalam konteks politik Eropah khususnya. Dalam dasawarsa lapan puluhan dan sembilan puluhan peranan politik masyarakat Islam di Eropah masih terbatas.

Ini adalah antara kesan-kesan positif daripada penyertaan NGO Islam dalam pergerakan keamanan di Eropah. Peranan politik masyarakat Islam tidak boleh diketepikan lagi. Tetapi kesan yang jauh lebih penting ialah hubungan yang terjalin antara NGO Islam dengan Pencinta Keamanan, antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam yang sebahagiannya, terdiri daripada Kristian dan Yahudi di Barat.

Apakah ini akan mempertingkatkan lagi persefahaman antara masyarakat Islam dan masyarakat- masyarakat lain di Barat dan juga di tempat-tempat yang lain ? Apakah bantahan bersama terhadap perang yang tidak adil akan membuka bab baru dalam interaksi antara orang Islam dan bukan Islam ?

Masih terlalu awal untuk memberi satu jawapan yang konklusif. Yang pasti, setakat ini masih lagi wujud beberapa perbezaan pandangan dan pendekatan diantara Pencinta Keamanan dengan NGO Islam.


Perbezaan

Walaupun kita membincang perbezaan antara dua kelompok besar, iaitu, NGO Islam dan Pencinta Keamanan, kita harus sedar bahawa dikalangan kedua-dua kelompok ini juga mungkin wujud kepelbagaian pandangan tentang isu Iraq dan persoalan perang-damai. Perlu kita tegaskan sekali lagi,NGO Islam dan Pencinta Keamanan, bukannya kelompok-kelompok monolitik. Namun, kita dapat menggariskan beberapa perbezaan dalam pendirian dua kelompok ini berdasarkan kecenderungan majoriti masing-masing.

Pertama, bagi NGO Islam motif dan matlamat utama pencerobohan keatas Iraq adalah untuk menguasai dunia Islamm, sungguhpun isu-isu lain seperti minyak juga penting. Pencinta Keamanan jarang menekankan faktor “Islam”dalam penganalisaan mereka. Mereka menganggap pencerobohan sebagai penerusan dasar imperialis Washington.

Kedua, antara faktor lain yang berkaitan dengan pencerobohan yang sering diutamakan oleh NGO Islam dan masyarakat Islam amnya ialah niat jahat Israel. Israel yang mahu Washington menyerang Iraq demi keselamatannya _ keselamatan yang ditafsirkan dengan ertikata sempit. Sebahagian besar Pencinta Keamanan kurang menekankan faktor Israel dalam penganalisaan mereka.

Ketiga, bagi NGO Islam pendekatan segelintir Pencinta-Pencinta Keamanan beraksi--berbogel semasa demonstrasi-- menjadi isu penting. Bagi Pencinta Keamanan pula pakaian dan tindak-tanduk peserta demonstrasi bukan masalah.

Keempat, bagi NGO Islam, implikasi utama daripada penaklukan Amerika terhadap Iraq adalah kesannya terhadap dunia Arab dan dunia Islam. Pencinta Keamanan sebaliknya melihat penaklukan dari sudut imperialisma Amerika dan dampaknya terhadap percaturan politik Timur Tengah.

Kelima , salah satu daripada sebab utama Pencinta Keamanan menentang perang Iraq adalah atas prinsip bantahan terhadap perang.Majoriti Pencinta Keamanan menentang segala bentuk keganasan. Sikap sebahagian besar NGO Islam terhadap perang dan keganasan tidak begitu jelas. Apakah pada prinsipnya mereka juga menentang perang dan keganasan?

Keenam, sebahagian daripada Pencinta Keamanan memperkaitkan isu perang Iraq dengan globalisasi sebagai suatu proses transformasi dunia yang lebih menguntungkan Washington.(6) Jarang sekali NGO Islam yang terlibat dalam protes perang Iraq melihatnya dari perspektif globalisasi.

Selain daripada perbezaan-perbezaan yang dihuraikan disini, harus kita ingat juga bahawa sebahagian besar Pencinta Keamanan mungkin tidak menganuti apa-apa agama tertentu ,agnostik ataupun terus atheis.Sudah tentu, dari satu segi, ini membezakan mereka daripada NGO Islam.Namun begitu pada waktu yang sama mereka dengan penuh iltizam memperjuangkan keadilan umat manusia dan menegakkan kebenaran dalam isu Iraq.

Dialog

Untuk mengurangkan jurang pemikiran antara NGO Islam dan Pencinta Keamanan kita perlu menggalakkan dialog. Dialog yang ikhlas akan menguntungkan dua-dua pihak. Isu Iraq dan situasi politik antarabangsa pasca-Iraq boleh dijadikan titik permulaan dialog.

NGO Islam harus memberi penekanan kepada dua perkara dalam dialog ini. Dalam bidang penganalisaan Pencinta Keamanan harus diyakinkan bahawa kepentingan Israel sepertimana ditafsirkan oleh golongan Zionis pelampau di Tel Aviv di bawah pimpinan Ariel Sharon dan sahabat-sahabat akrabnya di Washington memain peranan penting dalam penyusunan semula peta politik Timur Tengah seterusnya peta politik dunia. Ini diakui oleh beberapa pengulas politik.(7)

Begitu juga Pencinta Keamanan harus memahami bahawa persepsi bahawa orang Islam adalah sasaran Washington dalam usahanya untuk menguasai dunia berkembang luas dikalangan masyarakat Islam. Memang benar bahawa negara- negara bukan Islam juga menjadi sasaran, umpamanya Amerika Latin sejak pertengahan abad ke-19 dan Asia Timur sejak awal dasawarsa lapan puluhan. Tetapi oleh kerana dalam tiga perang utama yang berlaku sejak wujudnya sistem unipolar -- iaitu, perang Teluk pada 1991; perang Afghanistan pada 2001; dan perang Iraq pada 2003 -- negara-negara Islam diserang, maka orang Islam percaya bahawa Washington menganggap mereka,serta agama mereka sebagai seteru.

Itulah sebabnya beberapa banci yang dijalankan dalam enam bulan yang lalu jelas menunjukkan bahawa imej Amerika Syarikat dikalangan masyarakat Islam seluruh dunia telah merosot ketahap yang paling negatif dalam sejarah !(8) Dalam hubungan ini, Pencinta Keamanan juga harus memberi perhatian kepada peranan yang dimainkan oleh lobi Kristian pelampau diAmerika Syarikat dalam usaha mereka mencetuskan perasaan benci terhadap Islam dikalangan pemimpin-pemimpin tertentu di Washington.

Dari segi falsafah perjuangan, NGO Islam harus cuba meyakinkan Pencinta Keamanan betapa pentingnya suatu pandangan semesta (worldview) yang berpaksi pada Ketuhanan sebagai pedoman dalam usaha kita menwujudkan dunia yang adil. Oleh kerana akar umbi krisis yang kita hadapi dewasa ini adalah sikap dan orientasi elit kepada kuasa dan kekayaan, dimana elit negara-negara gergasi terutamanya telah mengenepikan batas- batas kuasa dan kekayaan, maka kita perlu menekankan semula konsep kuasa Transcendent -iaitu Tuhan-- untuk membendung hawa nafsu elit. Elit di mana-mana jua harus diingatkan bahawa betapa megah kuasa mereka, kuasa Allah Yang Maha Kuasa mengatasi segala-galanya.

Peringatan inilah yang ditekankan oleh Saiyyidina Ali Ibn Talib dalam warkahnya kepada Gabenor yang dilantiknya, Malik Ashtar sebagai salah satu prinsip asas sesuatu pemerintahan.(9) Dalam keadaan politik antarabangsa dimana elit kuasa besar tertentu cuba menguasai alam dan bumi, peringatan ini tepat sekali. Ini tidak bermakna bahawa institusi-institusi,undang-undang dan dasar-dasar-- melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) umpamanya -- tidak diperlukan untuk mengawal kuasa dan membenteras sifat tamak haloba elit. Tetapi struktur semata-mata tidak dapat mencapai matlamatnya tanpa suatu pandangan semesta yang benar-benar memahami kekerdilan manusia dan kebesaran Yang Maha Berkuasa.

Pandangan semesta berpaksi Ketuhanan juga penting daripada perspektif lain. Pembohongan dan penipuan yang berlaku dalam pencerobohan Iraq, terutamanya tentang senjata pemusnah massa (weapons of mass destruction) mencerminkan ketandusan moral politik antarabangsa dewasa ini. Dalam setiap agama pembohongan dan penipuan merupakan dosa, lebih-lebih lagi jika beribu-ribu insan yang tidak berdosa terkorban kerana pendustaan yang dilakukan. Justeru itu, pandangan semesta berpaksi Ketuhanan menegaskan pentingnya asas moral yang kukuh dalam politik.

Begitu juga , dalam politik yang bermoral, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Membunuh kanak-kanak, wanita dan kaum lelaki secara sewenang-wenangnya atas alasan kononnya untuk menegakkan demokrasi --sepertimana berlaku dalam pencerobohan Iraq -- bertentangan sama sekali dengan prinsip Ketuhanan yang menekankan bahawa matlamat yang murni mesti dicapai melalui cara yang murni.

Relevannya pandangan semesta Ketuhanan tidak terbatas pada Iraq atau politik perang.Globalisasi yang tidak adil yang ditentang hebat oleh sebahagian Pencinta Keamanan jelas membuktikan bahawa sistem ekonomi dan kewangan antarabangsa begitu dahagakan lunas moral.(10) Jarak antara segelintir yang kaya dan majoriti yang miskin, yang semakin melebar --dari satu segi, tempias globalisasi--mencabar dhamir setiap insan yang insaf. Salah satu daripada sebab jurang perbezaan kaya-miskin begitu meluas dewasa ini adalah kerana kegiatan ekonomi dan kewangan tidak lagi terikat kepada pertimbangan moral.Tanpa penyusunan semula ekonomi berlandaskan nilai-nilai moral, mustahil kita dapat mengatasi cabaran yang paling utama yang dihadapi umat manusia dalam abad ke-21.

Nilai-nilai moral berasaskan kepercayaan kepada Tuhan sepertimana terbukti sepanjang sejarah jauh lebih berkesan dalam membawa perubahan tingkahlaku manusia daripada ideologi-ideologi yang menafikan Ketuhanan.Pencinta-Pencinta Keamanan harus diyakinkan tentang hakikat ini melalui hujah-hujah yang rasional dan bernas.Apabila mereka dapat menerima hakikat ini mungkin dalam soal-soal lain yang berkaitan dengan kesopanan pakaian dan sebagainya juga akan turut berubah.

Melalui dialog, NGO Islam boleh mempelajari daripada Pencinta Keamanan sekurang-kurangnya dalam dua aspek. Protes terhadap perang Iraq,sepertimana dengan kritikan mereka terhadap globalisasi, menunjukkan bahawa sebahagian besar organisasi-organisasi yang terlibat dalam pergerakan keamanan telah menghasilkan penganalisaan yang mendalam tentang imperialisme baru, corak penguasaan dan dominasi Washington dan kesan corak ini terhadap umat manusia. Pengajaran yang diperolehi ini boleh memanafaatkan perjuangan NGO Islam. Pada keseluruhannya aktivis dan para cendekiawan bukan Islam telah menghasilkan jauh lebih banyak buku dan makalah yang bermutu tentang situasi ekonomi, politik dan budaya dunia semasa jika dibandingkan dengan sumbangan aktivis dan cendekiawan Islam.(11)

Aktivis dan NGO Islam juga boleh mengambil iktibar daripada Pencinta Keamanan dalam sikap dan orientasi yang dibuktikan terhadap perjuangan. Bagi sebahagian besar Pencinta Keamanan yang menentang perang Iraq, faktor yang paling penting --yang menggerakkan jiwa mereka--adalah keadilan dan kemanusiaan.

Kerana iltizam untuk memperjuangkan keadilan dan menegakkan kemanusiaan begitu kuat, mereka sanggup mengatasi sempadan ugama,kaum, budaya dan bangsa. Mereka melihat manusia sebagai manusia; bagi mereka keadilan adalah keadilan sejagat yang tidak mengenal warna kulit .Itulah sebabnya beberapa Pencinta Keamanan dengan rela hati bertindak sebagai 'perisai manusia' untuk melindungi orang awam Iraq masa pengeboman Baghdad. (12)

Kelemahan

Ini membawa kita kepada kelemahan utama dikalangan NGO Islam dalam menghadapi cabaran dominasi kuasa imperialis baru dan memperjuangkan keadilan dan keamanan. NGO Islam, pada keseluruhannya, masih bersikap eksklusif --sungguh pun kadangkala mereka bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan bukan Islam.

Sebab sikap eksklusif inilah kita jarang mendengar tentang NGO Islam memperjuangkan kes negara-negara bukan Islam seperti Amerika Latin yang turut menjadi mangsa imperialisme Washington. Sebenarnya negara-negara seperti Guatemala, Nicaragua, Panama, Cuba, Chile, Peru dan Argentina -- sepertimana dibincang sebelum ini--telah lama menjadi sasaran penguasaan Amerika Syarikat.

Begitu juga NGO Islam tidak terlibat dalam isu Vietnam dalam dasawarsa enam puluhan dan tujuh puluhan atau pun isu Congo pada awal enam puluhan.Ada beberapa kes yang lain yang tidak membabitkan Amerika Syarikat secara langsung,dimana golongan Islam menunjukkan sikap yang sama : iaitu kurang berminat kerana mangsanya bukan orang Islam atau pun kerana bilangan orang Islam yang terlibat kecil. Antaranya episod Tibet, Sri Lanka, Timur Timur dan Rwanda. Selain daripada peristiwa-peristiwa politik ini, dalam perkara-perkara yang berkait dengan perikemanusiaan juga, NGO Islam pada lazimnya menumpukan perhatian kepada masyarakat Islam. Dalam lain perkataan,bantuan dihulurkan sekiranya mangsa itu terdiri dari agama kita.

Sikap eksklusif ini adalah produk konsep identiti yang sempit yang berleluasa dikalangan masyarakat Islam sejak dua ratus tahun kebelakangan ini. Penekanan pada ciri-ciri sempit dalam identiti pula adalah akibat proses kolonialisme yang memaksa orang Islam sebagai umat yang dijajah untuk mempertahankan identiti eksklusifnya.(13)

Tetapi sikap eksklusif bertentangan dengan Al-Quran al-Karim dan Sunnah. Memang, identiti Islam termaktub dalam Quran; tetapi pada waktu yang sama Kitab Suci kita melahirkan konsep umat manusia yang bersatu (14) dan konsep kemuliaan insan yang merangkumi seluruh umat manusia(15). Dalam Sunnah dan dalam pemerentahan khalifah kedua, Sayyidina Umar Ibn Khatab, dan khalifah keempat, Sayyidina Ali Ibn Talib, banyak contoh-contoh tentang sikap inklusif-- bukan eksklusif-- pemimpin-pemimpin agung Islam yang menentukan bahawa keadilan adalah hak setiap insan tanpa mengira agama dan keturunan. Tradisi falsafah inilah yang mewujudkan aliran sejagat (universal) dalam Islam yang gemilang yang diharumkan dengan nama-nama yang masyhur seperti Jalaluddin Rumi dan Ibn Arabi sehingga ke Muhammad Iqbal dan Kalam Azad. (16)

Pandangan semesta sejagat ini --NGO Islam harus memahami -- adalah pra-syarat untuk memain peranan yang positif dan dinamik dalam pergerakan keamanan sedunia. Tanpa pandangan semesta sejagat ini NGO Islam tidak dapat mempertingkatkan tahap kerjasama dengan Pencinta Keamanan untuk membentuk suatu pergerakan yang lebih padu dan lebih kukuh pada masa depan -- suatu pergerakan yang Insya'Allah berpaksikan kepercayaan kepada Tuhan. Sebaliknya, jika NGO Islam kekal dengan orientasi eksklusifnya, sudah pasti ide-ide mereka tidak dapat mempengaruhi pergerakan keamanan, dan lambat laun NGO Islam akan terpencil daripada arus perdana pergerakan ini.

Kesimpulan

Secara langsung atau tidak langsung, kertaskerja ini memberi tumpuan kepada tiga ide iaitu, 'NGO', 'Islam' dan 'keamanan'(peace). Mengikut pengkaji-pengkaji tertentu NGO adalah wadah yang pasti memain peranan utama dalam politik antarabangsa abad ke-21.Islam pula adalah agama yang paling pesat berkembang dalam abad ke-21. Matlamat utama NGO dewasa ini adalah untuk mencapai 'peace' -- peace berdasarkan pada keadilan. Ini juga merupakan matlamat utama Islam--agama yang namanya membawa makna peace. Apakah dalam abad ke-21 NGO akan muncul sabagai saluran yang mencapai peace yang menjadi impian Islam? Wallahua'alam.


Dr Chandra Muzaffar
President, International Movement for a Just World (JUST)
9 June 2003.



Nota Hujung

1) Organisasi-organisasi ang dinyatakan disini adalah antara beribu-ribu pertubuhan yang terlibat dalam protes anti-perang. International Action Centre (IAC) umpamanya memberi tumpuan kepada isu Iraq sejak 1990. Ia diasaskan oleh bekas peguam negara Amerika Syarikat, Ramsey Clark. Asian Peace Alliance adalah gabungan NGO di Asia yang muncul pada tahun 2002 sedangkan Focus on the Global South berprihatin tentang kesan-kesan imperialisme terhadap negara-negara Selatan.

2) Perkara ini dibincang dalam makalah Humeira Iqtidar, _Celebration In Iraqi Streets_ Znet 23 April 2003.

3) AMAN MALAYSIA adalah satu rangkaian pertubuhan-pertubuhan yang dilancarkan pada bulan Januari 2003 sebagai respons terhadap rancangan Washington dan London untuk menyerang Iraq. Rangkaian ini berjaya memungut lebih kurang dua juta tandatangan menentang perang Iraq.

4) Sebagai contoh pendapat ini diutarakan oleh pengarah filem Amerika yang terkenal, Michael Moore yang mengarahkan filem _Bowling for Columbine_ Lihat surat beliau kepada Presiden George Bush menjelang perang Iraq. Salinan Internet 19 Mac 2003. Penganalisaan tentang faktor-faktor yang mendorong Washington-London berperang boleh didapati dari makalah saya, _Hegemonic Terror: The Conquest of Iraq _ dalam buku terbaru saya bertajuk Muslims, Dialogue, Terror (Kuala Lumpur: International Movement for a Just World 2003)



5) Tentang pembohongan dan penipuan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat terutamanya dalam konteks senjata pemusnah massa kepunyaan Iraq yang masih belum ditemui sila lihat Robin Cook, _ Britain must not let Iran become the next Iraq_ International Herald Tribune 4 June 2003.

6) Hujah-hujah tentang globalisasi dan perang Iraq disampaikan oleh peserta-peserta dari pergerakan keamanan Eropah khususnya dipersidangan antarabangsa bertemakan _Global Solidarity in the Era of Globalisation and Militarism_ yang saya menghadiri di Jakarta pada 19-21 Mei 2003.

7) Inilah pendapat tokoh hak asasi manusia Israel, Uri Avnery. Sila lihat makalah- makalah beliau di laman web JUST, www.just-international.org Lihat juga makalah Patrick Seale _US War The Climax of the American-Israeli Partnership_ Mid-East Realities http;//www.MiddleEast.org

8) Ini dilaporkan dalam banci yang diumumkan kepada khalayak ramai pada awal bulan Jun 2003. Banci ini di dikelolakan oleh Pew Global Attitudes Project. Untuk butir-butir yang lebih menyeluruh sila lihat New Straits Times 5 June 2003

9) Sila lihat ide-ide beliau yang terkandung dalam _Muslim Conduct of State_ Concept of Islamic State . (London: Islamic Council of Europe 1979)

10) Hubungan agama dan globalisasi dibincang dalam makalah saya _Globalisation and Religion : Some Reflections_ dalam Globalisation: The Perspectives and Experiences of the Religious Traditions of Asia Pacific Joseph. A. Camilleri and
Chandra Muzaffar (penyunting) (Kuala Lumpur : International Movement for a Just
World 1998)

11) Sebagai contoh sila lihat tulisan-tulisan Arundhati Roy yang banyak disiarkan dalam laman web JUST. Antara makalah yang baik ialah _Instant-mix Imperial Democracy: Buy One Get One Free_ yang merupakan ceramahnya di Centre for Economic and Social Rights New York pada 13 May 2003.

12) Sila lihat kenyataan media saya tentang _perisai manusia_ bertajuk _JUST Salutes the Human Shields_ 23 January 2003 dalam JUST Commentary February 2003.

13) Ini dibincang dalam makalah saya _Morality in Public Life : The Challenge Facing Muslims_ dalam Muslims, Dialogue,Terror op.cit

14) The Holy Quran Text and Translation by Abdullah Yusuf Ali (Kuala Lumpur: Islamic Book Trust, 1994) Surah Al-Baqarah:213

15) The Holy Quran Surah Al Isra:70

Untuk menyelami pemikiran mereka sila lihat misalnya, Discourses of Rumi Arthur J Arberry (penterjemah) (Surrey: Curzon Press, 1975) dan Mawlana Abul Kalam Azad The Tarjuman al-Quran (Lahore: Sindsagar Academy 1968).

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.