Kontemporari

Pencerdasan Semula Cendiakawan Muslim

Mohd Rumaizuddin Ghazali, Timbalan Presiden ABIM

Dibentangkan sempena Kursus Kepimpinan Perdana di Kaherah pada 15 &16 November 2005

Membangunkan Tradisi Keilmuan Islam.


Tradisi keilmuan Islam berkembang pesat dengan tertubuhnya pusat pengajian terkenal di Baghdad, Basrah, Kufah dan Andalus. Begitu juga perkembangan perpustakaan yang menjadi pusat penyelidikan para ilmuan Islam. Pada mulanya masjid dijadikan pusat penyebaran ilmu sebelum terdirinya kuttab (tadika), madrasah (sekolah) dan Jami’ah (universiti). Ada beberapa faktor yang menyebabkan tradisi keilmuan Islam ini berkembang pesat iaitu galakkan daripada pihak khalifah dengan mendirikan institusi pendidikan, toko-toko buku dan perpustakaan berkembang pesat, guru-guru yang mengajar dengan penuh keikhlasan serta kegiatan pembukuan dan menjilid yang pesat ketika itu.

Kita sungguh kagum apabila membaca sejarah umat Islam dahulu yang begitu berminat membaca, mengajar serta memperkembangkan ilmu. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberi saham dalam memajukan institusi pendidikan dengan mewakafkan sebahagian daripada harta mereka.

Kegiatan keilmuan ini membuktikan bahawa tradisi keilmuan Islam berkembang pesat pada zaman tersebut bersama dengan kegemilangan tamadunnya. Sesuatu tamadun tidak dapat dibina tanpa tradisi keilmuan. Dengan kata lain, sesuatu tamadun berkembang berseiringan dengan tradisi keilmuan yang mantap dan tuntas. Oleh sebab itu, pembinaan tamadun kini mesti mengambil kira tradisi keilmuan dengan mewujudkan dan memperbanyakkan institusi pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Begitu juga, kita perlu melahirkan ulama, sarjana dan pemikir yang berkaliber yang mampu membuat kajian, penyelidikan dan penterjemahan. Tanpa unsur-unsur tersebut institusi pendidikan dan keilmuan tidak akan berkembang. 


Perkara yang kita kehendaki sekarang ialah ibukota Kuala Lumpur bukan sahaja terkenal sebagai destinasi pelancongan tetapi juga dikenali sebagai pusat keilmuan sekurang-kurangnya di rantau ini sebagaimana yang berlaku di kota metropolitan yang lain seperti London, Paris, St. Andrew, Sorboune dan Kaherah. Mereka datang bukan sahaja membawa balik barangan elektronik buatan Malaysia tetapi beg-beg mereka penuh dengan buku-buku tulisan ilmuan kita. Inilah yang kita harapkan. Untuk mencapai impian tersebut maka para sarjana dan intelek Islam tempatan perlu bekerja keras dalam mewujudkan suasana tradisi keilmuan yang harmonis. Perkara-perkara asas seperti buku rujukan perlu diperbanyakkan, penyelidikan mesti diperhebatkan dan perpustakaan perlu ditambah lagi atau sekurang-kurang buku-bukunya. Tabiat menulis di kalangan para sarjana dan ulama perlu dipertingkatkan lagi. Mereka perlu memikir apakah jenis buku serta penyelidikan yang diperlukan oleh masyarakat hari ini terutama dalam menghadapi pasca modernisme. Adakah hanya terbatas kepada buku-buku ringan semata-mata. Para penulis Islam perlu mengenal arus perdana dan keperluan yang harus dihadapi di zaman pasca modenisme ini. Sesungguhnya cabaran ilmuan sekarang lebih sengit dan tajam lalu menuntut penglibatan yang total daripada ilmuan itu sendiri. Pada hari ini para ulama dan sarjana tidak boleh maju hanya berbekalkan “air liur” semata-mata tanpa menghasilkan buku ilmiah terutama karya-karya agung Melayu yang sewajibnya diterjemahkan ke bahasa antarabangsa. Walaupun kemungkinan kita akan mengalami kerugian dari segi material.

Peranan Ulamak kini dalam mewarnai Dakwah di Malaysia

Perkataan ulamak mempunyai erti yang amat besar bersama besarnya fungsi dan peranan yang dimainkan oleh mereka. Pada hari ini, perkataan ini menjadi suatu pemakaian yang murah dan mudah digunakan. Ramai yang jauh dari mencapai tahap minimun piawaian dari segi keilmuan mahupun sahsiah dinobatkan sebagai ulamak sedang keilmuan masih cetek. Apakah sekadar bercakap ana dan anta atau memasuki pertubuhan bernama ulama atau sekadar dapat memberi ceramah yang berbentuk retorika dapat digelar sebagai ulamak. Sedangkan mereka belum lagi menekuni ilmu-ilmu Islam secara mendalam.Muhammad al-Ghazali mengkritik keras terhadap golongan yang mengakui diri mereka sebagai ulama sedangkan mereka baru sahaja belajar Islam semalam dan pada hari ini ingin mengeluarkan fatwa. Akibatnya masyarakat akan menjadi keliru. Mereka menganggap dirinya menjadi jaguh kepada perjuangan Islam tetapi perbuatan tersebut bukan melambang kesuciaan agama Islam sebenarnya.Malah kenyataan-kenyataan mereka menyebabkan Islam dipandang serong.

Oleh itu, pentakrifan ulama membawa pengertian keilmuan dan orang yang berilmu dalam pelbagai demensi yang lebih bersifat universal. Muhammad Kamil Abd Majid dari Universiti Malaya menyebutkan bahawa ulama tidaklah semestinya khusus kepada ilmuan bidang agama semata-mata seperti banyak orang memahaminya sekarang, tetapi lebih umum meliputi sesiapa sahaja yang mempunyai kualiti ilmu pengetahuan, pembelajaran dan sains dengan penguasaan yang lebih mendalam terhadap bidang-bidang ilmu dan jujur dalam mencari kebenaran. Ertinya juga ulama adalah pemilik kaedah integrasi iman kepada Allah, ilmu yang bermanfaat, amal yang soleh dan akhlak yang mulia, yang kesemuanya didasarkan kepada tauhid di dalam mempelajari, mencari, mengajar dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Takrif ini akan lebih sesuai bagi ulama dalam menyahut cabaran abad 21. Istilah ulama tidak seharusnya disempitkan kepada mereka yang hanya tahu akan hukum keagamaan semata-mata. Kenyataan ini disokong oleh ayat al-Quran. Firman Allah yang bermaksud : “ Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlain-lain jenis dan warnanya. Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalngan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun.” (Faatir, ayat 28)

Ayat ini menjelaskan sifat orang yang berilmu ialah rasa takut dan takwa kepada Allah yang merupakan sifat utama golongan ini. Pendahuluan ayat ini menjelaskan fenomena-fenomena hujan dan langit, buah-buhan dan bumi, gunung-ganang dan lurah yang berbagai-bagai warna. Demikianlah pula makhluk manusia, alam haiwan sama ada melata atau yang diternak. Fenomena tersebut dapat difahami oleh orang yang berilmu dalam pelbagai disiplin ilmu dan bukan sekadar dalam lingkungan para ulama yang menguasai ilmu-ilmu agama. Oleh itu, Sayyid Qutb berpandangan bahawa ulama adalah mereka yang memerhati alam yang aneh dan membawa mengenal Allah sebagai makrifat yang hakiki. Mereka mengenal akan kesan-kesan penciptaan Tuhan, takut akan kesan kekuasaan Allah. Malah merasai hakikat keagungan dengan melihat hakikat penciptaan. Di situ timbul rasa takut dan takwa malah mengabdikan sepenuhnya kepada Allah. Saidina Ali menjelaskan sifat orang yang berilmu atau orang yang sebenarnya alim dengan katanya : “ orang yang tidak putus asa dan tidak menjadikan orang lain putus asa dari rahmat allah. Tidak memberi peluang untuk maksiat dilakukan. Tidak cuai dari mengingatkan manusia kepada azab Allah. Mengajak manusia mengasihi dan melaksanakan perintah al-Quran. Menjelaskan kepada orang bahawa beramal tanpa ilmu tidak ada kebaikan.”

Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin menjelaskan sifat-sifat terpenting para ulama iaitu bahawa para ulama sebenarnya tidak mencari dunia dengan ilmu agamanya, perbuatannya sepakat dengan percakapannya, bertekun menjayakan ilmu yang mendatangkan faedah serta mengelakkan diri persoalan-persoalan yang sia-sia iaitu terlibat dalam banyak perkara khilaf dan berdebat didalamnya. Imam al-Ghazali mengibaratkan orang yang membelakangi ilmu-ilmu amaliah dan gemar kepada ilmu yang banyak khilaf didalamnya seperti seorang yang sakit teruk kerana berbagai jenis penyakitnya pula tetapi bila ditemuinya doktor maka ia sibuk dengan persoalan-persoalan berkenaan ubat-ubat dan khasiat-khasiat ubat yang pelik-pelik tanpa berusaha untuk mengubatkan penyakit dirinya. Orang berilmu juga sederhana dalam hidupnya, tidak cepat mengeluarkan hukum bahkan selalu menahan diri seboleh-bolehnya. Ibn Mas’ud menyebutkan bahawa orang yang berfatwa tentang segala-galanya yang ditanya adalah orang gila. Ulama yang unggul juga hati dan hidup mereka dipenuhi dengan suasana takwa dan takut kepada Allah. Bila dilihat wajah mereka manusia teringat kepada Allah. Kehebatan lahirnya mencerminkan kehebatan hatinya yang sentiasa diselubungi dengan rasa takwa kepada Allah. Sebab itu pada ulama yang utama didapati sifat-sifat ketenangan, merendah diri dan tidak bongkak takbur. Cakap kosong, senda gurau berlebihan, ketawa berdekah-dekah serta gerak geri yang keji atau hina atau kesombongan dan kelalaian tidak didapati pada diri ulama yang utama. Pernyataan-pernyataan di atas menunjukkan bahawa orang yang memiliki sifat-sifat demikian adalah ulama yang sejati dan berwibawa. Ada dua ciri utama kejiwaan yang mutlak dimiliki seseorang yang menjadi pewaris nabi, pertama rasa takutnya yang hanya kepada Allah melebihi rasa takut yang dimiliki kaumnya. Kedua, keluhuran akhlak ulama kepada makhluk Allah melebihi siapapun di antara kaumnya. Bagi ulama setiap itu disertai dengan perasaan takut kepada Allah. Rasa takut ini membuatkan ketaatan para ulama, kecintaannya dan kegigihannya dalam menjalankan perintah Allah memperjuangkan agamaNya melebihi orang lain. Tugas utama para nabi adalah menyempurnakan akhlak. Bagaimana seorang ulama boleh menjalankan tugas ini jika mereka sendiri tidak sempurna akhlaknya. Di sini persoalan moral dan akhlak menjadi suatu yang utama. Bagi seorang ulama, penguasaan ilmu dan akhlak tidak boleh dipisahkan. Adalah menjadi musibah besar jika umat Islam mengangkat seseorang sebagai ulama sedangkan moral dan akhlaknya masih dipersoalkan. Kriteria utama para ulama adalah moralnya kerana kedudukannya sebagai suluh dan obor umat. Bangsa Yahudi dan Nasrani menolak kenabian Muhammad s.a.w. bukan kerana kebodohan mereka tetapi kerana kejahatan para ahli kitab yang menyembunyikan kebenaran untuk memperolehi sedikit kesenangan dunia. Imam Malik pernah ditanya tentang seorang alim atau ulama. Ia menjawab : “seorang yang alim tidak dikatakan alim sampai ia dapat mengamalkan secara khusus untuk dirinya suatu amalan yang diwajibkan kepada manusia dan ia tidak memberi fatwa kepada orang lain tentang amalannya itu yang sekiranya ditinggalkan tidak berdosa.”

Sesetengah dari kita mengagungkan ulama silam sehingga lupa peranan yang perlu dilakukan olehnya terhadap generasi kini. Ulama silam telah menunaikan amanah ilmu dengan baik sekali untuk zaman mereka. Pada zaman kini kita memerlukan ilmuwan yang dapat memenuhi tuntutan umat semasa. Terdapat ulama yang menyibukkan dalam isu-isu yang remeh dan lupa isu utama yang perlu diberi perhatian. Akibatnya umat Islam dalam keadaan lemah dan mundur. Mereka hanya cukup berpuas hati dengan apa yang ada dan tidak melibatkan diri dengan giat bagi merangka masa depan ummah yang lebih cemerlang. Peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam dunia Islam sekarang terutama pasca 11 September memerlukan peranan ilmuwan Islam yang padu dan bertindak secara rasional dan berhati-hati. Ulama perlu peka terhadap Islam sebagai satu tamadun sejagat yang mementingkan soal keadilan, perikemanusiaan dan keinsanan sebagai nilai-nilai utama tamadun Islam. Ulama juga perlu menyegarkan tentang pentingnya ilmu, kepimpinan dan penguasaan bidang sains dan teknologi. Di samping itu, para ulama perlu melihat isu-isu kini dengan pandangan yang lebih luas.

Salah faham terhadap beberapa isu seperti poligami dan kedudukan wanita adalah disebabkan pandangan-pandangan oleh ulama tradisi yang sempit dan sikap liberal golongan wanita yang ingin memperjuangkan haknya. Sedangkan Islam tidak bertanggungjawab terhadap tafsiran-tafsiran yang disalahertikan oleh mereka.Oleh itu, perlunya peranan golongan ketiga atau institusi ulama berwibawa yang dapat menjalin kedua-dua pihak untuk berdialog dan bersemuka demi keutuhan ummah. Sikap keangkuhan tidak mahu berdialog bukan sifat mukmin sejati apatah lagi dari kalangan para ulama dan sarjana Islam. Sejarah telah membuktikan ulama juga pernah dikritik. Al-Maududi menerima dengan hati terbuka kritikan yang dilakukan oleh Abu Hassan al-Nadwi terhadap beberapa penulisannya.Beliau tidak pun melahirkan rasa tidak senang dengan kritikan ini seperti dirasai pengikutnya. Ini bererti ulama boleh dikritik. Setengah umat Islam beranggapan mengkritik ulama adalah sama dengan mengkritik Islam. Perkara itu tidak benar. Demikian juga suatu kesalahan besar yang dilakukan oleh aliran pendidikan Barat yang apabila mengkritik ulama, mereka hilang panduan sehingga mengkritik Islam secara langsung. Oleh itu, setiap orang perlu memahami Islam dari sumber berautoriti supaya kefahamannya tidak terpesong. Hassan al-banna menegaskan pandangan seseorang boleh diterima dan ditolak kecuali kata-kata Rasulullah s.a.w.

Ulama masa kini perlu melbatkan diri dalam pembangunan masyarakat dan negara dan ia seharusnya lebih hebat daripada generasi ulama terdahulu kerana keadaan sekarang leih mencabar dan keperluan umat terhadap penyelesaian secar Islam amat mendesak. Oleh itu, mereka perlu melibatkan diri secara lansung dengan masyarakat untuk membangun pemikiran, kerohanian dan pembangunan fizikal. Menurut Dr. Abdul Halim El-Muhammady, para ulama masa kini perlu melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan seperti berikut :
1) Menyambung tradisi ilmu yang diasaskan oleh ulama tradisional melalui pengajaran dan penulisan, agar kesinambungan ilmu berterusan berlaku, terutamanya ilmu-ilmu asas keislamanan. Kesinambungan ilmu di segi penulisan telah terputus sejak seratus tahun yang lalu selepas meninggalnya ulama-ulama besar seperti al-raniri, Daud al-fatani, Abdul samad al-Falambani dan lain-lain. Penulisan ilmu yang dimaksudkan di sini ialah penulisan yang lengkap dan bercorak ilmiah dalam bidang-bidang tertentu.
2) Mereka perlu kepada perubahan dalam pengolahan ilmu dan pendekatannya, agar mudah difahami oleh generasi masa kini yang telah terbentuk pemikiran mereka dari disiplin ilmu yang berbagai dan suasana masyarakat yang berbeza. Teerutamanya ilmu-ilmu asas keislaman seperti pengajian al-quran, Sunnah, Fiqh dan sebagainya.
3) Mereka perlu memahami dan mengolah ilmu-ilmu yang ada kaitannya dengan perkembangan masyarakat kini seperti bidang undang-undang, ekonomi, kemasyarakatan, sains dan lain-lain, agar ilmu-ilmu ini dapat dimanfaatkan dan berkembang dalam masyarakat mengikut perspektif Islam dan mampu untuk memberi penyelesaian kepada permasalahan kehidupan masayakat Islam masa kini.
4) Ulama perlu terlibat secara langsung dalam pembangunan masyarakat di segi keilmuan dan kegiatan-kegiatan pembangunan lainnya di seluruh peringkat masyarakat dan sepatutnya mereka menjadi penggerak dan yang memberi sumbangan kepada inspirasi pembangunan masyarakat.
5) Mereka seharusnya melibatkan diri dalam memberi bimbangan kerohanian yang jelas untuk membina kekuatan kejiwaan kepada masyarakat, agar mereka tidak terpesung daripada pengaruh-pengaruh ajaran kebatinan dan ajaran-ajaran kerohanian yang boleh menyesatkan.
6) Mereka perlu melibatkan diri dalam memberi kesedaran kepada masyarakat dalam seluruh perinmgkat, melalui saluran yang rasmi dan yang bukan rasmi berasaskan ilmu dan penyelesaian pratikal untuk masyarakat.
7) Mereka perlu berusaha memupuk kemesraan hidup di kalangan masyarakat berasaskan Islam dan menghidupkan kembali tradisi perhubungan masyarakat yang telah diasaskan oleh ulama tradisional berdasarkan konsep ukhuwwah,kejiranan dan konsep jamaah supaya konsep-konsep ini dapat meredakan sentimen kelompok yang sedang berkembang dalam masyarakat.
8) Mereka hendaklah menjadi jambatan untuk perhubungan seluruh kelompok masyarakat untuk menjadi tempat rujukan dan contoh penghayatan pemikiran dan nilai-nilai yang positif untuk pembangunan dan kesatuan masyarakat, sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. para sahabat dan ulama yang silam.
9) Mereka perlu melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan organisasi dakwah di samping kegiatan-kegiatan rasmi lainnya, agar dapat dipupuk semangat kerja secara kelompok dan berorganisasi untuk memberi kekuatan kepada kerja-kerja untuk peningkatan dakwah Islam.
10) Menubuhkan institusi-institusi pendidikan yang bergiat untuk memupuk pendidikan Islam dan keilmuan Islam secara mendalam yang mencakup bidang-bidang ilmu asas keislaman, ilmu pelengkap dan ilmu-ilmu semasa yang lain untuk keperluan pembangunan umat.

Untuk membolehkan para ulama memainkan peranan besar dalam yang berkesan dalam pembangunan negara, mereka haruslah mempunyai kualiti-kualiti seperti berikut :
a. pengetahuan yang mendalam bukan sahaja dalam bidang-bidang yang berkaiatan denagn ilmu-ilmu agama seperti fiqh, usul fiqh, tafsir, hadis dan pandangan-pandangan pelbagai mazhab yang muktabar tetapi juga memahami serta menguasai pelbagai cabang ilmu yang lain seperti sains kemasyarakatan, ilmu ekonomi dan lain-lain.
b. Memahami cirri-ciri peradaban Barat terutama dari segi ideologi dan system ekonomi sama ada kapitalisme, sosialisme, komunisme, dan globalisasi. Para ulama juga perlu memahami perbandingan agama (muqarah al-adyan) supaya ia dapat menjelaskan lagi keindahan agama Islam.
c. Memahami secara mendalam tradisi dan pemikiran tamadun besar dunia terutama tamadun cina dan India. Ini adalah perlu bukan sahaja kerana banyak yang boleh kita pelajari daripada tradisi dan ahli fikir dari kedua-dua tamadun yang besar ini tetapi juga kerana dengan ini kita akan dapat mengetahui warisan peradaban kaum-kaum yang terbesar di negara ini.
d. Mempunyai kebijaksanaan atau hikmah yang tinggi dalam mengutarakan pandangan terhadap perubahan yang hendak dibawa supaya pandangan-pandangan ini dapat dirterima bukan sahaj oleh orang Islam tetapi juga orang-orang bukan Islam.

Oleh itu, ulama merupakan satu golongan terpenting dalam sejarah pembangunan masyarakat manusia sama ada dari segi kerohanian atau pun kebendaan. Mereka adalah penggerak kepada kesedaran umat dan pengisi kepada pembangunan pemikiran dan budaya. Kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat Islam akan terjamin dan terserlah apabila wujud persefahaman antara ulama dan penguasa dalam membangunkan umat. Pertembungan antara kedua-dua pihak akan mengakibatkan kekacauan yang besar dalam masyarakat. Oleh itu, perkara ini sedaya upaya harus dielakkan. Adalah diharapkan kerjasama antara ulama dan penguasa dapat mempercepatkan lagi proses pembangunan masyarakat manusia terutama dari segi akhlak dan kerohanian.

Saranan kepada Era Kebangkitan Islam

Al-Qaradawi mengakui bahawa beliau sentiasa mengambil berat masalah kebangkitan Islam dan menjadi perhatian utama dalam penulisannya Perkara ini kerana kedudukannya masa kini serta masa depan umat Islam. Keperluannya amat mendesak agar kebangkitaan ini tidak melemahkan dan tidak melencong serta terus berusaha mematangkannya agar tidak menyimpang. Dengan demikian, kebangkitan ini tidak tergendala di tengah jalan atau keluar dari jalan yang lurus. Oleh itu, beliau menggaris sepuluh langkah menuju kematangan kebangkitan Islam atau memindahkan kebangkitan Islam dari masa transisi, impian mahupun kekeliruan kepada kedewasaan dan kematangan. Sepuluh langkah yang diutarakannya ialah :

1. Dari Format dan simbol kepada hakikat dan substansi

Di antara manusia ada yang memerhatikan aspek luaran yang bersifat formalistis daripada isi kandungan, hanya pada bentuk bukan pada hakikat. Seolah-olah yang penting adalah memanjangkan jangut, memedekkan pakaian, memmbawa siwak, mengharamkan semua jenis lagu dan mewajibkan pemakaian purdah untuk wanita. Oleh itu, umat Islam perlu mencurahkan perhatiannya kepada substansi dan ruh ajaran Islam daripada format dan bentuk.

2. Dari retorika dan perdebatan menuju penerapan dan tindakan

di antara sikap negatifnya ialah bangga dengan sejarah masa dahuku tanpa mengubahnya dalam bentuk tindakan demi memperbaiki keadaan yang ada sekarang dan mengembangkannya lagi ke arah yang lebih baik. Membicarakansejarah masa lalu adalah baik selagi ia mendoromg untuk terus berpacu dalam kejayaan itu. Kita harus mencipta kejayaan dan tidak harus bangga tentang sejarahnya sahaja.

3. Dari sikap sentimental dan emosional menuju sikap rasional dan ilmiah.

Seorang muslim pasti dapat mengawal perasan dan meletakkan akal pada tempatnya. Ia berfikir secara rasional dan ilmiah.Ia tidak bersikap ektrim dalam mencintai dan membenci, tenggelam dalam dunia khayalan dan kecendurungan untuk bergantung kepada niat semata-mata tanpa berusaha untuk memperhatikan perkara yang benar.

4. Dari orientasi masalah cabang dan remeh menuju masalah pokok dan utama

Menurut al-Qaradawi perkara utama gerakan Islam kini aialah bidang pemikiran dan kebudayaan, bidang pendidikan dan kaderisasi. Pada hematnya, banyak ahli gerakan Islam menyibukkan diri dalam perkara-perkara sunat dan larangan yang besifat makruh sehingga kurang memperhatikan perintah yang bersifat fardu atau larangan-larangan yang bersifat haram.

5. Dari menyulitkan dan ancaman menuju kemudahan dan khabar gembira

Islam merupakan agama rahmat kepada manusia dan alam ini. Rasulullah memerintahkan untuk memudahkan dan tidak mempersulitkan. Pengertian mudah di sini bererti mengikuti manhaj yang memberi keluasan dan toleransi, juga keringanan yang jauh dari tindakan yang sulit, sukar dan berat. Sementara 'mempersulit' adalah manhaj yang menimbulkan kesulitan,kesempitan dan kesukaran terhadap manusia. Allah menjadikan fitrah manusia untuk menyukai kemudahan dan keluasan. Dalam syariat Islam, hukum-hukum dilandaskan atas kemudahan,bukan atas kesulitan.

6. Dari sikap kejumudan dan taklid menuju ijtihad dan pembaruan

Al-Qaradawi menegaskan bahawa pintu ijtihad masih terbuka dan ia sangat diperlukan dalam kondisi sekarang. Beliau membawa hujah Ibn Qayyim dan al-Saukani dalam menolak hujah golongan yang bertaklid dan menggangap pintu ijtihad telah tertutup. Menurut al-Qaradawi, taklid merupakan sifat tercela. Sama ada taklid kepada pendapat ulamak terdahulu mahupun taklid kepada peradaban barat yang melulu. Kedua-dua unsur tersebut menyebabkan kita berada dalam keadaan asing.Taklid terhadap orang-orang terdahulu menjadikan kita asing secara waktu sementara taklid terhadap barat membuat kita asing secara tempat. Memang orang terdahulu dekat dengan kita secara fikiran dan perasaan tetapi mereka tidak merasai masa tempat kita hidup sekarang, tidak merasakan kesulitan dan tekanan yang kita hadapi sekarang serta tidak tahu apa yang kita ketahui sekarang. Sementara orang-orang barat sebab tujuan dan pola berfikir mereka berbeza dengan tujuan dan pola berfikir kita. Maka taklid kepada mereka tidak mungkin menghasilkan sesuatu yang bermanfaat.


7. Dari fanatik dan ekslusif menuju toleransi dan inklusif

Menurut al-Qaradawi, berpegang teguh kepada ajaran agama bukanlah bersifat fanatik. Fanatik terjadi apabila seseorang itu memaksa akalnya kepada pemikiran tertentu dan tidak mahu membuka pintu berdialog dengan orang yang berlainan pendapat. Ia menganggap pendapatnya sebagai yang paling benar, tidak mungkin salah serta pendapat orang lain sebagai yang salah dan tidak mungkin benar. Antara ciri-ciri fanatik adalah orang yang tidak melihat selain dirinya, tidak mendengar kecuali ucapannya sendiri dan tidak percaya pada orang lain di luar kelompok atau jamaah yang dianggotainya. Di antara bentuk-bentuk toleransi ialah :
i. Melihat subtansi perkataan, bukan siapa yang mengatakannya
ii. Mengakui kesalahan dengan berani dan terus terang
iii. Menyambut baik kritikan dari luar dengan lapang dada
iv. Muhasabah diri dan menelaah kembali segala tindakan yang dilakukan dengan kesedaran yang tinggi.
v. Meminta nasihata dari pihak lain dengan senang hati
vi. Berlapang dada menarik balik keputusannya demi mencapai kesepakatan dengan pihak lain.
vii. Mengambil manfaat dari apa yang dimiliki pihak lain.
viii. Menghargai orang lain yang berlainan pandangan.


8. Dari sikap berlebihan dan meremehkan menuju kesederhanaan

Islam adalah agama yang moderat. Menurut al-Qaradawi manhaj moderat adalah metode dan cara terbaik yang dapat mengembangkan dakwah Islam sehingga umat Islam mencapai matlamatnya. Orang yang berpaling dari metodologi moderat sama halnya membunuh diri dan membawa kepada kebinasaan. Ia membawa kepada sikap berlebih-lebihan atau meremehkan seperti melalaikan solat. Bentuk dan ciri sikap berlebihan ialah :
a. Tidak mengakui pendapat orang lain dan fanatik terhadap pendapatnya sahaja.
b. Memaksa umat secar keras untuk beramal dan lupa perbezaan mnusia, ada yang kuat dan ada yang lemah, mewajibkan mereka semua dengan amalan sunat tanpa memperhatikan kedudukan mereka.
c. Bertindak keras bukan pada tempatnya dan masanya.
d. Keras dalam berdakwah dan tidak mengikuti manhaj al-Quran yang menyuruh berhikmah dan berlemah lembut.
e. Buruk sangka terhadap manusia dan menghina orang lain.
f. Saling mengkafirkan orang lain.

Al-Qaradawi menggariskan intisari ajaran moderat ini ialah :

i. Berasaskan kemudahan dan khabar gembira. Kemudahan dalam hukum-hakam dan khabar gembira dalam berdakwah.
ii. Berpaduan antara salafiah dan pembaruan atau antara tradisi dengan kemodenan.Maksud salafiah ialah kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dan pembaharuan adalah menyatu dan mengikuti perkembangan dan tuntutan zaman.
iii. Penyesuaian antara salafiah dan sufisme dengan mengambil ajaran yang terbaik dari kedua-duanya sehingga menghasilkan jalan terbaik dari kedua-duanya.
iv. Bersikap moderat antara aliran zahiriyah dengan golongan takwil.Moderat antara sikap yang kaku dalam melihat zahir nas dan sikap yang berlebih-lebihan dalam mentakwilkan teks-teks agama.tidak terlalu luas dan tidak kaku.
v. Perimbangan antara perkara yang sabit dengan perkara yang berubah-ubah dalam Islam
vi. Melihat dan memperhatikan realiti.tidak banyak berbicara tentang masa lalu sehingga lupa akan masa depan atau terlalu idealistic tanpa melihat realiti yang ada.
vii. Toleransi dan hidup dalam ukhuwwah serta saling hormat menghormati.
viii. Berlandaskan syura dan memberi kebebesan kepada masyarakat.
ix. Megembalikan kedudukan wanita sebagai saudara kembar bagi kaum lelaki.
x. Menghidupkan kembali ijtihad.



9. Dari kekerasan dan kebencian menuju lemah lembut dan rahmat

Metodologi dakwah ditegakkan atas lemah lembuh, rahmat dan kasih saying. Rasulullah sentiasa menyeru kepada kelembutan dan menolak kekerasan. Al-Qaradawi menggariskan faktor-faktor kekerasan yang timbul di dunia Islam iaitu ;
a. Penindasan tehadap kaum muslimin seperti di Palestin, Chechnya dan Sudan
b. Penguasa yang zalim serta penindasan terhadap ahli gerakan Islam.
c. Membasmi aliran pemikiran moderat sehingga aliran pemikiran radikal menguasai orang ramai.
d. Kekurangan dalam pemikiran dan pengetahuan para pendakwah yang mengutamakan formalitas daripada substansi dan tujuan.

10. Dari ikhtilaf dan perpecahan menuju persatuan dan ukhuwwah.


Perkara yang dikhuatiri oleh al-Qaradawi adalah pertarungan, pentengkaran, perpecahan, saling mencurigai, bahkan saling menghancurkn antara sesama ahli gerakan Islam. Penyakit hasad dengki dan balas dendam terjadi di kalangan umat Islam..

Menurut al-Qaradawi, ahli gerakan Islam perlulah pemaaf dan saling memperkukuhkan ikatan persaudaraan. Adalah penting mereka memahami fiqh al-Ikhtilaf antaranya ialah :
i. Mengganggap perbedaan dalam perkara cabangan fikih sebagai rahmat dan kelapangan bagi umat ini serta kekayaan dalam proses pengambilan hukum.
ii. Memandang kemungkinan adanya kebenaran dalam pendapat yang berbeda
iii. Memandang bahawa orang yang berijtihad pasti akan mendapat pahala walaupun salah dan dimaafkan.
iv. Bersikap objektif terhadap pendapat yang berbeda dan mengemukakan pendapat yang lebih baik serta bersikap adil.
v. Bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati.


Inilah sepuluh perkara yang menjadi asas kematangan dalam kebangkitan Islam kini. Beliau berharap kebangkitan Islam perlu ke tahap yang lebih baik dengan pengarahan yang lebih bijaksana dan teratur.

Harapan kepada Pelajar-Pelajar al-Azhar

Saudara merupakan bakal kepimpinan negara dan bakal mewarnai dakwah di Malaysia. Pelajar seramai 5000 graduan al-Azhar ini adalah asset yang paling besar dalam menentukan corak dakwah kerana perubahan yang hendak dibawa hanya dilakukan oleh golongan yang memimpin dan berstrategi. Tanpa kedua-dua ini kita tidak dapat membawa perubahan yang diharapkan. Saya dapati pelajar al-Azhar yang pulang kini kurang berperanan dalam berorganisasi dan berpersatuan terutama dalam gerakan-gerakan dakwah. Saudara perlu mengetahui bahawa keterlibatan dalam organissai dakwah akan menyebabkan suara kita akan didengari dan lebih memahami strategi musuh untuk memecah belahkan umat Islam. Dengan erti kata yang lain kita perlu memahami prinsip amal jama'iy.

Apabila kita melibatkan diri dalam gerakan dakwah kita bukan lagi hanya menjadi pendakwah murahan yang hanya bercakap dalam perkara-perkara yang remeh temeh tetapi bertukar menjadi pendakwah yang bercita-cita untuk memenangkan umat. Cita-cita kita bukan sekadar mencari kekayaan individu atau glamour peribadi tetapi cita-cita umat itulah cita-cita kita. Cita-cita bukan lagi kepada sekadar lulus di al-Azhar, bekerja, berumahtangga dan mempunyai karier tetapi menjadi lebih luas dari sekadar mencari keuntungan peribadi semata-mata. Cita-citanya adalah untuk menyedarkan umat dan mengembalikan kepimpinan Islam. Adalah menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia agar pelajar al-Azhar pulang dengan membawa ilmu yang diperolehi di al-Azhar dengan berhikmah dan bijaksana. Ada ilmu yang tinggi sahaja tetapi tidak berhikmah dalam berdakwah tidak akan memberi kesan kepada masyarakat. Di samping itu, pelajar-pelajar aliran agama perlu menerokai bidang-bidang yang baru agar ia lebih bertrampilan dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Antara sifat pemimpin yang cemerlang iaitu :
i. Penghayatan budaya ilmu
ii. Memiliki akhlak yang mulia
iii. Berani dan bersedia menanggung risiko
iv. Keterbukaan
v. Pemimpin yang bersifat motivator dan memandang jauh kehadapan.
vi. Bersifat dinamais , kreatif dan inovatif
vii. Sentiasa bermuhasabah dan menilai terhadap pelaksanaan tugas
viii. Pemimpin yang sanggup berkorban dan tidak ada kepentingan diri.
ix. Sentiasa mengingati Allah

Justeru itu, mahasiswa al-Azhar perlu bersedia untuk memimpin masyarakat yang sedang berubah. Mereka perlu menentukan arah dan haluan perubahan agar keghairahan untuk berubah dan mengecap kemajuan material diimbangi dengan kecemerlangan kerohanian serta ketingggian nilai, tradisi, budaya dan akal budi. Mereka perlu memimpin perubahan dan bersedia melakukan reformasi sosial ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang maju dan seimbang.

Dalam konteks masyarakat Malaysia kita berdepan dengan tiga perkara iaitu globalisasi, dialog ketamadunan dan pluralisme pemikiran yang pelbagai seperti modernisme-sekularisme, tradisionalisme, wahabi-salafi dan Islam liberal. Berhadapan dengan (1) globalisasi Barat yang memerlukan kita menghadapi permasalahan dari pemikiran dan peradaban orang bukan Islam. (2) dialog peradaban yang memerlukan hubungan meraikan persamaan dan perbedaan antara kita dengan pemikiran dan peradaban orang bukan Islam dan (3) pluralisme pola-pola pendekatan pemikiran memberi permasalahan baru kepada umat Islam kini. Tiga permasalahan ini memerlukan persiapan dan kelengkapan khusus sekiranya kita ingin terus relevan dan significant dalam melaksanakan proses islah. Oleh itu, mahasiswa al-Azhar perlu memahami agar tindakan dan pengarahannya menepati maksud dan nilai ajaran Islam. Mereka bukan sahaja merujuk kepada pemikiran tokoh-tokoh terdahulu seperti Sayyid Qutb mahupun Hassan al-Banna sahaja tetapi juga tokoh semasa seperti al-Qaradhawi, Rashid al-Ghamuoshsi, Muhamad Imarah, Syed Naquib al-Attas, Siddiq Fadhil, Pak Natsir dan lain-lain lagi.
 
Dengan lebih tepat lagi, ia memahami realiti masyarakat Melayu dalam berdakwah kepada mereka. Setelah peristiwa 11 September tentulah lebih sukar untuk menghuraikan secara simplistic sepertimana yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh silam dengan idea Islam-Jahiliah, Islam-taghut dan kuffar. Ternyata fenomena tersebut tidak dapat menjawab dan menggarap persoalan yang telah dan sedang dialami oleh umat Islam kini. Perubahan globalisasi dan politik semasa menyaksikan dominasi menyeluruh pemikiran dan peradaban Barat dalam dimensi politik, ekonomi dan social umat Islam memerlukan satu pendekatan baru untuk mengisi kebangkitan umat Islam. Rata-ratanya tokoh semasa membahaskan persoalan fiqh al-Hadarah seperti al-Qaradawi, Ramadan al-Buti, Muhammad Imarah dan lain-lain lagi.

Anjung Rahmat, Kuala Lumpur
1 November 2005

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.